Cari @ Amanz

Tahun lalu buat pertama kali dalam sejarah Amanz, peranti Huawei dinobatkan sebagai yang terbaik sepanjang 2018. Huawei Mate 20 Pro menerima anugerah ini kerana sistem tri-kameranya yang membawakan inovasi yang tidak ditemui pada peranti lain, sistem pengecasan adipantas dan harga jualan yang mampu milik. Bolehlah dikatakan tahun lalu Huawei ianya syarikat yang berjaya membawakan perubahan paling besar ke atas produk yang mereka hasilkan.

Hanya beberapa tahun yang lalu peranti Huawei dipandang enteng oleh kebanyakan pengguna kerana ia berasal dari China. Dengan Huawei P30 Pro, mereka sekali lagi membawakan inovasi pada peranti mudah alih. Kali ini ialah peranti dengan kemampuan zum 10X nirhilang dan zum 50X yang mampu menandingi kebanyakan kamera digital di pasaran.

Ulasan ini beberapa kali ditangguhkan kerana sekatan yang dikenakan ke atas Huawei yang kemudiannya ditarik semula pada hujung minggu lalu. Persoalannya adalah ia masih berbaloi untuk dimiliki tambahan pula selepas pengalan harga baharu RM3399 yang baru diumumkan? Ini ialah ulasan kami untuk peranti yang menjadi bualan ramai.

Spesifikasi

Huawei P30 Pro
Skrin 6.47″ FHD+,
OLED, HDR10
Pemproses HiSilicon Kirin 980
Cip 2.6 X 2 GHz Cortex A76
1.92X 2 GHz Cortex A76
1.8 X 4 GHz Cortex A55
Cip Grafik Mali-G76 MP10
RAM 8 Gigabyte LPDDR4X
Muatan Dalaman 256/512 GB
(NM card sehingga 256GB)
Kamera Utama 40+20+8+TOF Megapixel.
f/1.6+f/2.2+f/3.2, OIS, HDR
Kamera Depan 32 Megapixel f/2.0
Bateri 4200 mAh
(Pengecasan pantas + Tanpa wayar)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Ya
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Imbasan cap jari dalam skrin
Harga Jualan Bermula RM 3399

Dengan skrin 6.47″, P3o Pro mempunyai skrin yang lebih besar berbanding Mate 20 Pro yang hanya sebesar 6.39″. Teknologi skrin yang digunakan adalah OLED dengan resolusi maksimum FHD+ sahaja. Oleh sebab itu kepadatan pixel peranti ini (398 PPI) adalah lebih rendah berbanding Galaxy S10+ (522 PPI) dan iPhone XS Max (458 PPI). Namun begitu seperti peranti-peranti mercu lain di pasaran, skrin P30 Pro menyokong paparan HDR10 serta julat warna DCI-P3.

Skrin ini mempunyai rekaan dwi-lengkung pada bahagian sisi bagi membolehkan ia kelihatan seperti mempunyai bezel sisi yang kecil. Bahagian dagu dan dahi peranti adalah kecil. Bagi menggunakan rekaan dahi yang nipis ini, pembesar suara untuk fizikal pada bahagian atas digantikan dengan sistem HUAWEI Acoustic Display Technology. Audio dipindahkan dari skrin terus ke telingan pengguna. Ini adalah teknologi yang sama seperti Samsung Sound of Display yang digunakan pada Galaxy A80 dan Xiaomi Mi MIX asal. Panggilan telefon berbunyi agak jelas tetapi masih tidak setanding audio dari pembesar suara sebenar.

Pada bahagian atas terdapat takuk yang kecil untuk kamera hadapan. Huawei tidak menyertakan sistem imbasan wajah 3D pada P3o Pro dan hasilnya ialah takuk pada peranti ini lebih kecil berbanding Mate 20 Pro. Melengkapi spesifikasi skrin ialah pengimbas cap jari yang terbina di dalam skrin. Ia masih lagi mengekalkan teknologi imbasan optikal. Buat masa ini hanya Galaxy S10 dan S10+ yang dilengkapi sistem imbasan cap jari dalam skrin ultrasonik yang lebih pantas dan selamat.

Pemproses 7nm HiSilicon Kirin 980 digunakan dan ia adalah pemproses yang sama seperti yang ditemui pada Mate 20 Pro dan Honor View20.  Kirin 980 hadir dengan konfigurasi 2+2+4 teras digunakan. Dua teras utama teras A76 dengan kelajuan 2.6GHz dipadankan dengan dua teras Cortex-A76 dengan kelajuan 1.92GHz dan empat teras kuasa rendah Cortex-A55 dengan kelajuan 1.8 GHz. Cip grafik yang digunakan pula ialah Mali-G76 MP10.

Ini dipadankan pula dengan memori 8GB RAM LPDDR4X dan storan sehingga 512GB. Bagi yang memerlukan storan tambahan, terdapat sokongan kad NM sehingga 256GB. Seperti Samsung, Huawei terus menawarkan memori sebesar 8GB RAM pada peranti mercu mereka dan melangkau penawaran 6GB RAM. Pada tahun 2019, kita sudahpun melihat peranti dengan memori sebesar 12GB RAM yang lebih besar dari yang ditemui kebanyakan komputer peribadi. Penggunaan memori sebesar 6GB RAM pada peranti mercu kini tidak lagi boleh diterima.

Kamera utama pada bahagian belakang menggabungkan sensor 40+20+8+TOF Megapixel. Ini adalah peningkatan dari hanya 40+20+8 Megapixel yang digunakan pada Mate 20 Pro. Sensor 40-Megapixel dilengkapi lensa sudut lebar f/1.6, 20-Megapixel dengan lensa sudut ultra lebar f/2.2 dan sensor 8-Megapixel dengan lensa zum optikal 5X f/3.4. Keunikan sensor 8-Megapixel yang digunakan ialah sistem periskop yang boleh melakukan zum hibrid 10X nirhilang dan zum 50X digital. Tiada peranti mudah alih yang mampu melakukan kemampuan sensor ini sebelum P30 Pro dilancarkan.

Pada bahagian hadapan hanya satu sensor 32-Megapixel f/2.0 dengan fokus kekal digunakan. Saiz sensor ini adalah lebih besar berbanding 24-Megapixel pada Mate 20 Pro, 10+8 Megapixel pada Galaxy S10+ dan 7-Megapixel pada iPhone XS Max.

Sebuah bateri sebesar 4200 mAh yang disertakan pula adalah 100 mAh lebih besar berbanding yang digunakan pada Galaxy S10+. Dengan saiz bateri yang besar ini, peranti diharapkan dapat bertahan sepanjang hari sebelum perlu dicaj. Apabila kehabisan bateri, P30 Pro boleh dicas dengan amat pantas menggunakan pengecas 40W. Terdapat juga sokongan pengecasan nirwayar 15W dan pengecasan peranti lain menerusi sistem Wireless Reverse Charge.

Akhir sekali peranti ini turut masih mempunyai kemampuan kalis debu dan air yang melepasi piawaian IP68, pembesar suara stereo, bluetooth 5.0 dan pemancar infra merah. Huawei adalah sebahagian kecil pengeluar yang masih melihat terdapat keperluan untuk meletakkan pemancar infra merah pada peranti mereka.

Rekabentuk

Rekaan peranti pada hemat kami bukanlah kekuatan Huawei. Mereka masih mencari identiti tersendiri. Pada Mate 20 Pro kami merungut ia kelihatan seperti hibrid iPhone X dan Galaxy S9. P30 Pro kelihatan seperti sebuah Galaxy S10 dengan takuk kecil pada tengah skrin. Harus kami akui rekaan peranti ini menarik untuk dipandang cuma kekurangan identiti tersendiri membuatkannya sukar dibezakan dari ratusan peranti dengan rekaan semua-skrin di pasaran sekarang.

Skrin melengkung pada sisi kiri dan kanan bagi membuatkan ia lebih selesa dipegang sebelah tangan. Ini adalah perlu kerana ia sebuah peranti dengan saiz yang besar. Skrin kelihatan terang dan tajam walaupun ia hanya beresolusi FHD+. Apabila kandungan HDR dimainkan, ia terpapar cantik dan sempurna. Ini adalah peningkatan berbanding pada Mate 20 Pro yang kurang lancar serta memaparkan masalah jalur warna (colour banding) yang ketara.

Tidak melampau untuk kami katakan kualiti skrin P30 Pro adalah setanding dengan yang ditemui pada Galaxy S10e. Kekurangan hanyalah resolusinya serta kepadatan lebih rendah berbanding Galaxy S10+ dan iPhone XS Max. Bagi sebuah peranti mercu, kami mengharapkan spesifikasi tertinggi pada semua komponen yang digunakan. P3o Pro tidak lagi dijual pada harga yang jauh lebih murah berbanding Galaxy S10+ dan kekurangan pada resolusi skrin kini tidak lagi boleh diterima.

Sistem imbasan cap jari terbina dalam skrin yang disertakan berfungsi dengan pantas. Kerana ia dari jenis optikal, ia hanya suka menyahkunci jika jari pengguna basah ataupun kotor. Pujian juga kami berikan kepada sistem nyahkunci yang pantas. Ia turut boleh mengecam wajah pada posisi mendatar tidak seperti pada hiperon XS Max. Namun begitu menyahkunci dengan wajah dalam situasi gelap adalah mustahil kerana tiada pemancar infra merah seperti Mate 20 Pro.

Bingkai logam yang kecil digunakan dengan warna yang menyamai panel belakang. Kemasan pada bingkai adalah kemas tanpa sebarang sudut tajam. Satu kelemahan peranti keluaran China sebelum ini adalah pada kemasan. Huawei P30 Pro tidak mempunyai masalah ini sekaligus melayakkannya dijual sebagai sebuah peranti mercu premium.

Pada bahagian sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam. Butang kuasa turut mempunyai kemasan warna merah bagi membezakannya dengan butang suara di atasnya. Kedudukannya mudah diakses oleh jari dan butang yang digunakan memberikan tindak balas yang baik. Ia kukuh tanpa masalah longgar yang mungkin menjengkelkan pengguna.

Butang kuasa ini turut berfungsi sebagai butang untuk menyeru Google Assistant apabila ditekan. Untuk mematikan peranti, butang kuasa perlu ditekan sekitar tiga saat sebelum menu mematikan peranti dipaparkan pada skrin. Ini bukanlah sistem mematikan peranti yang paling intuitif tetapi terpaksa dilakukan bagi memberikan sokongan butang Assistant terbina.

Bonggol kamera pada bahagian belakang adalah agak besar dan tinggi. Ini menyebabkan peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja tanpa merosakkan lensa. Huawei menyertakan sebuah kerangka plastik dengan setiap pembelian. Bagi memastikan lensa dan mekanisme periskop P30 Pro bertahan lama, kami rasa ada baiknya jika sebuah kerangka tahan lasak dimiliki. Ini turut menyelesaikan masalah panel kaca belakang yang memerangkap kotoran dena terlalu mudah.

Port pengecasan USB-C terletak pada bahagian bawah peranti dihimpit dengan talam SIM pada sebelah kiri dan pembesar suara pada bahagian kanan. Talam hibrid sekali lagi digunakan bagi turut menyokong kad NM Card untuk penambahan storan dalaman sehingga 256GB. Tiada bicu audio disertakan kerana ia telah dilakukan oleh Huawei sejak P2o Pro lagi. Huawei menyertakan penyesuai USB-C ke bicu audio dan sepasang fon kepala USB-C dengan setiap pembelian.

Bahagian sisi peranti dibulatkan bagi meningkatkan keselesaan ketika digunakan manakala bahagian atas dan bawah pula adalah rata. Secara keseluruhan P30 Pro adalah antara peranti dengan rekaan yang paling menarik di pasaran. Kemasan premium dipadankan dengan kemasan kelas tinggi yang meletakkannya setanding dengan yang dikeluarkan oleh Apple dan Samsung. Ini tidak mengejutkan kerana mereka kini pengeluar peranti kedua terbesar di pasaran walaupun selepas dikenakan sekatan selama sebulan oleh Amerika Syarikat.

Antaramuka

Sistem operasi Android 9 Pie dengan pelancar EMUI 9.1 digunakan. Ini adalah antaramuka yang paling terkini digunakan pada peranti Huawei. Perbezaan paling besar dilakukan pada rekaan ikon yang lebih minimalistik dengan warna yang rata. Ikon diletakkan di dalam kotak berbucu bulat dan bukan lagi di dalam bulatan seperti yang dapat dilihat pada Mate 20 Pro (EMUI 9.0).

Tidak seperti Samsung yang mengubah sepenuhnya antaramuka mereka untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan, Huawei masih belum berani melakukan perubahan drastik pada pelancar mereka. Jika dilihat dari segi positif, pengguna peranti Huawei tidak perlu belajar semula antaramuka baharu apabila membeli P30 Pro.

Masih terdapat tiga butang navigasi atas skrin iaitu multi tugas, home dan back. Susunan butang-butang boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Malahan EMUI 9.1 membenarkan sehingga empat butang diletakkan pada talam navigasi. Sistem gesture seakan Android Pie masih belum disokong. Sebaliknya sistem gesture Huawei digunakan dan ia berbeza dengan yang diperkenalkan Google. Wujud juga sistem Navigation Dock seakan Assistive Touch pada iOS. Pilihan pelbagai ini memberikan kebebasan kepada pengguna untuk mengawal peranti. Kami cuma kesal tiada sistem navigasi Android Pie asli disertakan kerana ia jauh lebih intuitif.

Sepanjang tempoh ulasan kami tidak mengalami sebarang masalah seperti sela masa atau kesukaran menjalankan aplikasi. Bagi mereka yang mencari peranti yang lancar, P30 Pro tidak akan mengecewakan.

Namun begitu ada masalah yang kami rasakan agak menjengkelkan dengan EMUI 9.1 yang terbawa-bawa dari EMUI 9.0 iaitu notifikasi tidak dipaparkan dengan pantas. Jika peranti diletakkan di atas meja, tiada bunyi notifikasi akan diterima. Apabila diangkat secara tiba-tiba kesemua notifikasi akan muncul berderet-deret. Ini adalah kerana sistem pengurusan bateri EMUI yang agak agresif untuk memanjangkan hayat penggunaan peranti.

Berikut adalah beberapa fungsi menarik yang disertakan pada Huawei P30 Pro.

App Twin – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.

Dark Theme – Tema gelap pada keseluruhan antaramuka bagi mengurangkan penggunaan bateri.

Digital Balance – Aplikasi yang menjejak penggunaan peranti. Boleh digunakan untuk mengehadkan masa peranti digunakan sepanjang hari bagi kesihatan digital.

Easy Projection – Mod desktop yang dipaparkan pada skrin lebih besar secara nirwayar. Hanya menyokong peranti Miracast setakat ini. Sokongan Easy Projection secara berwayar masih boleh dilakukan.

Gesture – Pelbagai perkara dapat dilakukan menggunakan gesture seperti merakam skrin dengan mengetuk skrin, melancarkan dua aplikasi serentak dengan melakar garis pada skrin dan menghidupkan skrin dengan dwi-tap.

Melancarkan kamera dengan pantas – Menekan butang mengurangkan suara sebanyak dua kali.

Navigation Bar – Tiga pilihan navigasi iaitu tri-butang, gesture atau Navigation Dock.

Notch – Menyorokkan takuk kamera pada paparan skrin. Peranti kelihatan kembali berdahi menggunakan mod ini.

Nyahkunci Menggunakan Wajah – Menyahkunci skrin peranti dengan menggunakan wajah.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dilakukan dengan menatal dari bucu bawah skrin ke atas atau dari butang home ke mana-mana butang navigasi yang digunakan.

Optimiser – Pusat satu hentian yang membersihkan storan, virus, pengurusan bateri dan nombor yang dihalang.

Pengecasan Nirwayar Dua Arah – Peranti boleh dicas secara nirwayar dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar. Ini membolehkannya berfungsi seakan sebuah powerbank.

Smart Remote – Aplikasi alat kawalan jauh. Ratusan peranti disenaraikan mengikut pengeluar dan model.

Kamera

Kekuatan utama P30 Pro terletak pada kemampuan kameranya amat unik. Di pasaran sekarang hanya P30 Pro dan Oppo Reno 10X Zoom sahaja yang mempunyai sistem zum yang tinggi. Ini dilakukan dengan menggunakan sistem empat kamera yang menggabungkan sensor 40+20+8+TOF f/1.6+f/2.2+f/3.4 . Lensa utama dipadankan dengan sensor 40-Megapixel. Lensa sudut ultra lebar pula dipadankan dengan sensor 20-Megapixel  manakala lensa telefoto dengan sensor 8-Megapixel. Mekanisme periskop digunakan bagi memberikan kemampuan zum sehingga 50X. Harus diingatkan zum hanya sehingga 15X apabila melakukan rakaman video. Kamera hadapan pula sebesar 32-Megapixel f/2.0.

Peranti hanya menangkap gambar dengan nisbah 4:3, 21:9 dan 1:1. Untuk video pula terdapat kemampuan merakam video pada tetapan maksimum 4K 30FPS dengan HDR dengan hanya rakaman 1080P sahaja boleh merakam pada kadar 60FPS. Pilihan nisbah gambar yang agak terhad adalah agak mengecewakan. Peranti mercu lain menawarkan nisbah 16:9 tetapi tidak P30 Pro. Pada waktu yang sama apabila merakam gambar pada nisbah 21:9, resolusi dihadkan kepada 6-Megapixel sahaja.

Tiadanya rakaman video 4K 60FPS juga satu kekurangan yang ketara kerana Apple, OnePlus dan Samsung tiada masalah menyokongnya mengapa Huawei sebagai pengeluar peranti kedua terbesar tidak boleh melakukannya juga?

Mod-mod kamera yang disertakan adalah amat banyak. Antaranya ialah panorama, monokrom, light painting, dual-view dan super macro. Kami berterima kasih kepada Huawei kerana meletakkan mod super-macro sebagai tetapan pilihan.

Sebelum kemas kini pertama, mod super macro hanya diaktifkan jika Master AI mengesan subjek yang terletak berhampiran lensa. Pengguna tidak boleh mengawal bila ia boleh diaktifkan. Dengan tetapan tambahan ia boleh diaktifkan sepanjang masa dan memudahkan proses pengambilan gambar makro.

Kualiti Gambar

Kualiti gambar P3o Pro dapat anda lihat sendiri menerusi gambar yang kami lampirkan di bawah. Penghasilan semula adalah amat baik sekali terutamanya dalam situasi pencahayaan yang terang. Gambar yang diambil tajam dengan fokus yang baik. Tiada masalah dedahan berlebihan dapat dilihat pada sumber cahaya. Kesemua gambar diambil dengan kecerdasan Master AI diaktifkan.

Harus kami nyatakan apabila ia diaktifkan, mengambil gambar pada kadar pantas tidak boleh dilakukan kerana butang kamera mengambil masa sesaat sebelum boleh ditekan semula. Seperkara lagi secara default, gambar diambil pada tetapan 10MP. Sekiranya mode 40MP dipilih, sistem zum tidak boleh diakses. Mengapa ini dilakukan adalah misteri bagi kami kerana turut dilakukan pada Mate 20 Pro.

Mod malam diperkenalkan pada P20 Pro tahun lalu. Secara berperingkat mod ini telah ditambah baik dan bagi membolehkan gambar waktu malam kelihatan lebih menyerlah. Tiada masalah hingar yang ketara dapat dilihat dan objek kelihatan cukup terang. Bagi mendapatkan gambar yang terbaik, bukaan selama lima saat digunakan oleh aplikasi kamera. Ini membuatkan mod ini hanya sesuai di dalam situasi di mana subjek tidak bergerak. Gambar yang baik masih boleh diambil sekiranya tangan anda tidak stabil. Kami sedari sistem P30 Pro cukup pintar untuk menggabungkan gambar multi-dedahan bagi menghasilkan komposit gambar malam walaupun jika tangan bergerak.

Mdo swafoto adalah baik tetapi tidak setanding dengan yang boleh ditemui pada peranti Pixel. Kesan bokeh masih kelihatan sedikit palsu tetapi masih memuaskan. Kami walau bagaimanapun sedari tona warna gambar adalah sedikit kekuningan apabila menggunakan kamera swafoto.

Berikut pula ialah siri gambar yang diambil menggunakan mod ultra sudut lebar, 1X, 5X, 10X dan 50X. Paparan viewfinder adalah stabil sehingga 5X sahaja. Pada tetapan zum 10X viewfinder mula kelihatan terhuyung-hayang sehingga sukar untuk melakukan framing. Pergerakan tangan yang sedikit boleh mengakibatkan subjek terkeluar dari bingkai gambar. Pada tetapan zum 50X pula melakukan framing hampir menjadi agak mustahil tanpa penggunaan tripod. Seperti yang anda dapat lihat di bawah, sehingga ke tahap zum 5X kualiti gambar masih lagi amat baik. Kualiti hanya kelihatan sedikit kabur pada tahap zum 10X.

Berdasarkan pengalaman menggunakan mod zum ini, kami boleh katakan ia hanya praktikal sehingga 5X sahaja. Melangkaui tahap zum ini proses mengambil gambar menjadi sukar tanpa bantuan tripod. Kami juga kurang gemar dengan pilihan tahap zum yang dipaparkan pada skrin. Hanya pilihan ultra sudut lebar (0.6X), 1X, 5X, 10X dan 50X sahaja diberikan. Kami rasakan pilihan untuk 2X dan 3X patut diberikan kerana ia lebih praktikal untuk kegunaan harian. Untuk melakukan zum 2X dan 3X secara manual adalah sukar kerana sistem slider yang digunakan adalah amat sensitif. Pergerakan yang sedikit sahaja boleh mengakibatkan tahap zum melompat terlalu besar.

Akhir sekali ialah mod rakaman video. Dukacita dimaklumkan ia adalah mengecewakan bukan sahaja dari sudut rakaman 4K dengan kadar bingkai rendah tetapi turut terletak pada sistem penstabilan imej yang kurang mantap. Penggunaan sistem periskop menyebabkan proses melakukan zum keluar masuk yang tidak lancar sama sekali ketika merakam video. Anda boleh lihat sendiri babak zum ke belakang dari bunga teratai yang tersekat-sekat.

Kualiti video adalah cantik seperti rakaman gambar asalkan tiada pergerakan dilakukan. Apabila aksi panning ke sisi dilakukan, kami menyedari seakan ada kesan frame skip kerana sistem penstabilan yang tidak mampu mengejar pergerakan kamera. Asalkan tiada pergerakan kualiti video adalah memuaskan tetapi kami tidak yakin ramai ingin melakukan rakaman secara statik. Kualiti audio juga mengecewakan kerana tidak jelas jika dibadingkan dengan apa yang dapat dirakam pada iPhone XS Max dan Galaxy S10+. Dengan kata lain P30 Pro mungkin raja di arena fotografi tetapi hanya sekadar menteri sumber manusia di arena videografi.

Audio

Tiada sokongan pembesar suara stereo disokong pada peranti ini kerana penggunaan sistem Huawei Acoustic Display Technology yang kami sebutkan pada perenggan awal ulasan ini. Kesemua audio dikeluarkan dari pembesar suara pada bahagian bawah peranti. Pada tetapan audio paling tinggi bunyi yang dihasilkan lantang tetapi tidak pecah. Namun tanpa sokongan stereo, menonton siri TV misalnya terasa kurang menyengat. Walaupun sistem audio Dolby Atmos disertakan, kualiti audio pembesar suara tidak setanding yang dapat didengari pada Galaxy S10+. Bunyi tidak seimbang dan kurang mantap kerana penggunaan hanya satu pembesar suara.

Bicu audio tidak disertakan tetapi kami tidak merinduinya kerana sudah mempunyai pelbagai aksesori audio bluetooth. Dengan bluetooth 5.0 dan LDAC, penstriman audio pada kualiti yang tinggi dapat dilakukan. Kami cukup berpuasa hati dengan kualiti audio tetapi harus mengakui ia bukan yang terbaik pernah kami dengari. Galaxy S10+ masih pada hemat kami memberikan pengalaman audio yang lebih memuaskan.

Jika anda membaca ulasan Mate 20 Pro kami tahun lalu, kami merungut EMUI tidak menyokong paparan peratusan bateri peranti bluetooth yang ditambat. Masalah ini masih wujud pada P30 Pro dan ketiadaannya adalah mengelirukan kerana ia disokong secara terbina pada Android 9 Pie. Jalan penyelesaian kepada isu ini ialah menggunakan aksesori audio bluetooth dengan aplikasi yang menunjukkan tahap bateri seperti yang dikeluarkan oleh Jabra dan Samsung.

Penanda Aras

Cip Kirin 980 yang digunakan adalah sebilangan kecil di pasaran yang dihasilkan menggunakan teknologi 7nm. Ia juga adalah yang paling berkuasa yang dihasilkan oleh Huawei untuk peranti mercu mereka setakat ini. Menerusi ujian penanda aras Geekbench 4, ia mencatatkan 3285 markah dalam ujian satu teras dan 9774 markah dalam ujian multi teras. Ini adalah markah yang hanya sedikit lebih rendah berbanding 3384 dan 10414 yang dicatatkan oleh OnePlus 7 Pro. Buat masa ini OnePlus 7 Pro dengan cip Snapdragon 855 adalah peranti Android dengan markah Geekbench 4 tertinggi di makmal peranti Amanz.

Bagaimana pula markah yang dicatatkan apabila dibandingkan dengan iPhoen XS Max dengan cip Apple A12 Fusion? Peranti mercu Apple ini mencatatkan 4834 markah untuk ujian satu teras dan 11,430 markah untuk ujian multi-teras dalam ujian Geekbench. Jadi untuk tahun 2019, tiada lagi peranti Android di pasaran yang berjaya memintas kemampuan iPhone.

Dalam ujian Antutu 3D pula, 273,811 markah dicatatkan. Sekali lagi markah yang dicatatkan adalah lebih rendah berbanding 359,893 markah oleh Snapdragon 855 dan 324,440 oleh Apple A12 Fusion. Ya pada ketika ini markah terbaik Antutu 3D dipegang oleh OnePlus 7 Pro.

Tiada masalah sepanjang penggunaan selama lebih dua bulan. Beberapa masalah kecil yang dialami pada awal tempoh ulasan telah diselesaikan menerusi dua kemas kini yang diberikan oleh Huawei. Peranti juga tidak menjadi panas ketika digunakan walaupun untuk menjalankan permua. Ini semua tidak mengejutkan kerana sebuah peranti mercu model jarang sekali mempunyai masalah di atas.

Bateri

P30 Pro mempunyai bateri yang terbesar pada peranti mercu di pasaran dengan kapasiti 4200 mAh. Hasilnya ialah hayat penggunaan peranti yang amat baik. Pada penggunaan biasa ia mampu bertahan sehingga 27 jam dengan skrin terpasang hampir 8 jam. Hayat penggunaan merosot ke sekitar 16 jam dengan skrin terpasang selama 11 jam apabila digunakan secara lebih intensif. Mahukan peranti yang bertahan sepanjang hari sebelum perlu dicas? P30 Pro adalah peranti yang direka untuk anda.

Dengan sistem pengecasan SuperCharge 40W, bateri boleh dicas sepenuhnya dalam masa hanya sejam. Bateri boleh dicas ke tahap 70% dalam masa hanya setengah jam. Tidak ada peranti lain di pasaran yang mampu memberikan prestasi pengecasan sepantas ini. Sistem pengecasan nirwayar pula mengecas pada kuasa maksimum 15W yang setanding dengan penegcasan berwayar pada Galaxy S10+.

Untuk menikmati pengecasan pantas 40W yang kami sebutkan tadi, pengecas khusus Huawei diperlukan. Kami ada mengulas pengecas USB-C 60W Innergie tetapi ia tidak mampu mengecas dengan output 40W kerana sistem khusus SuperCharge yang hanya digunakan oleh Huawei. Saiz pengecas juga lebih besar berbanding biasa dan berkaki dua. Huawei Malaysia tidak menghasilkan pengecas tiga serampang yang digunakan di negara kita.

Fungsi bonus lain yang disertakan ialah P30 Pro boleh mengecas peranti lain juga secara nirwayar. Tiada maklumat dapat kami cari mengenai kuasa pengecasan nirwayar ini. Yang pasti ia hanya sesuai untuk mengecas aksesori seperti fon telinga nirwayar dan bukan peranti pintar yang lain.

Pesaing

Sebagai perbandingan kami membandingkan P30 Pro dengan Oppo Reno 10X Zoom dan Galaxy S10+ kerana ketiga-tiga peranti mercu ini mempunyai kemampuan setanding.

Peranti Pesaing
Huawei P30 Pro Oppo Reno 10X Zoom Samsung Galaxy S10+
6.47″ OLED FHD+, HDR10 (398 PPI) 6.6″ OLED FHD+ (387 PPI) 6.4″ Dynamic AMOLED QHD+, HDR10+ (522 PPI)
2.6 x 2 + 1.92 x 2 + 1.8 x 4 GHz Kirin 980 2.84 x 1 + 2.42 x 3 + 1.8 x 4 GHz Snapdragon 855 2.73 x 2 + 2.31 x 2 + 1.95 x 4 GHz Exynos 9820
Mali-G76 MP10 Adreno 640 Mali-G76 MP12
8 Gigabyte 8 Gigabyte 8 Gigabyte
128 Gigabyte (NM Card sehingga 256GB) 256 Gigabyte (256GB MikroSD) 128 Gigabyte (1 TB MikroSD)
Kamera Utama 40+20+8 Megapixel. f/1.8+f/2..2+f/2.4, OIS, PDAF, Zum Optikal 5X Kamera Utama 48+13+8 Megapixel. f/1.7+f/3..3+f/2.2, OIS, PDAF, Zum Optikal 5X Kamera Utama 12+12+16 Megapixel, (f/1.5+f/2.4+f/2.2), OIS, Dual Pixel, Zum Optikal 2X
Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 10+8 Megapixel, f/1.9+f/2.2
IP68 Tiada IP68
4200 mAh (SuperCharge 4oW)/Nirwayar Qi 4065 mAh (VOOC 20W) 3100 mAh (Adaptive Fast Charging 18W)/Nirwayar Qi
RM 3399 RM 3399 RM 3699

Kesimpulan

Pemproses berkuasa tinggi memastikan P30 Pro boleh menjalankan aplikasi dengan pantas dan lancar. Ketahanan bateri juga menakjubkan dipadankan pula dengan sistem pengecasan adipantas. Skrin mungkin tidak menyokong resolusi QHD+ tetapi kami tidak merasakan ia kekurangan yang dirasai kerana paparan masih kelihatan tajam. Penghasilan warna pada skrin lebih tepat tanpa masalah colour banding yang dilihat pada Mate 2o Pro.

Kita kini di bulan Julai dan Huawei P3o Pro ialah peranti dengan kemampuan fotografi yang terbaik kami lihat setakat ini. Gambar yang diambil adalah terang, tajam dengan penghasilan semula warna yang baik dalam pelbagai situasi. Mod malamnya pula terbaik di dalam kelas dengan penambahbaikan berbanding yang digunakan pada Mate 20 Pro sebelum ini. Zum digital sehingga 50X adalah gimik yang menarik tetapi sebenarnya tidak akan digunakan dengan kerap. Namun begitu zum optikal sehingga 5X adalah fungsi yang kini kami rasakan secara peribadi perlu pada semua peranti mercu kerana memudahkan tugasan

Kekurangan masih ada dan terletak pada EMUI 9.1 Ia masih bukan antaramuka yang tercantik di pasaran. Terdapat fungsi asas seperti paparan bateri aksesori audio dan gesture Android asli yang tidak disertakan. Tambahan lagi sistem pengurusan bateri EMUI terlalu agresif sehingga kerap kali notifikasi tidak dipaparkan secara masa nyata.

P3o Pro juga mempunyai mod rakaman video yang mengecewakan bagi sebuah peranti mercu. Resolusi maksimum hanya sehingga 4K 30FSP sahaja sedangkan pesaing menyokong 4K 60FPS. Penstabilan imej ketika rakaman video tidak begitu stabil. Sistem zum agak tersekat-sekat yang membuatkan video yang diambil kurang memuaskan. Prestasi audio juga lebih mirip sebuah peranti kelas pertengahan.

Jadi adakah Huawei P30 Pro peranti yang harus anda miliki? Jawapan dari kami ialah ya kerana kemampuan fotografi, memproses, dan bateri yang amat baik. Dengan harga jualan kini bermula dari RM 3399 sebuah (potongan RM400 dari harga asal April lalu), ia adalah amat berbaloi untuk sebuah peranti dengan pakej yang hampir lengkap. Huawei P30 Pro kini secara rasmi antara peranti terbaik di pasaran Malaysia. Kami kini teruja untuk melihat pembaharuan yang akan diperkenalkan seterusnya oleh Huawei menerusi Mate 30 Pro kelak.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan yang amat menarik dengan kemasan yang premium.
  • Prestasi yang tinggi untuk permua dan tugasan harian.
  • Kemampuan fotografi terbaik pernah kami lihat pada sebuah telefon mudah alih. Mod malam dan zum yang tidak dapat ditandingi peranti lain.
  • Bateri yang mampu bertahan seharian dengan sistem pengecasan yang mengambil masa hanya sejam.
  • Sistem imbasan cap jari dan wajah yang pantas. Boleh beroperasi pada kedudukan mendatar.
  • Sokongan pengecasan nirwayar 15W dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar.
  • Pemancar infra merah.
  • Kemampuan rakaman video mengecewakan bagi sebuah peranti mercu.
  • Kualiti pembesar suara dalam skrin tidak sebaik pembesar suara tradisional.
  • Sistem audio mono.
  • Fungsi asas Android seperti tahap bateri aksesori bluetooth dan navigasi gesture tidak disokong.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd