OnePlus 7 Pro dan OnePlus 7 dilancarkan semalam sekali lagi tanpa sebarang bicu audio. Bagi memenuhi keperluan audio pengguna, OnePlus Bullets Wireless 2 juga dilancarkan yang merupakan sebuah fon telinga nirwayar. Model kemas kini ini menurut mereka mampu beroperasi selama 10 jam dengan pengecasan selama 10 minit sahaja menggunakan port USB-C. Pada pengecasan penuh ia boleh berfungsi sehingga 14 jam.
Seperti Bullets Wireless asal, model terkini ini masih lagi mempunyai sambungan berwayar di antara dua fon telinga yang melingkar di belakang tengkuk. Sokongan blueetooth 5.0 dan penstriman aptX HD disertakan. Dengan menekan sebuah butang kawalan, Google Assistant boleh diseru pada peranti yang ditambat.
Fon telinga ini juga boleh diubah tambatannya ke peranti lain dengan pantas dengan hanya menekan sebuah butang khas sebanyak dua kali. Akhir sekali kedua-dua fon telinga mempunyai bahagian magnetik yang membolehkannya disambung dengan kemas apabila tidak digunakan.