Seperti yang diramalkan sejak beberapa bulan yang lalu, Apple akhirnya mengemaskini iPod Touch hari ini. Pemain muzik yang hampir empat tahun tidak dikemaskini telah diberikan pemproses A10 Fusion yang sebelum ini digunakan pada iPhone 7 dan iPad 2018. Dengan kemas kini ini, iPod Touch memasuki generasi ketujuh sejak dilancarkan pada tahun 2007. Jika dahulu ia dipasarkan sebagai alat pemain muzik, ia kini dipasarkan semula sebagai sebuah peranti permua yang menyokong Apple Arcade.
iPod Touch generasi ketujuh dilengkapi skrin 4″ retina (1136×640 pixel) dan ditawarkan dengan storan 32/128/256 GB. Ia turut hadir dengan kamera utama 8-Megapixel dan kamera swafoto 1.2-Megapixel. Spesifikasi kamera tidak berubah berbanding iPod Touch generasi keenam. Sistem operasi yang digunakan pula ialah iOS 12.
Tiada maklumat mengenai saiz RAM ataupun bateri tetapi ia mampu memainkan video selama 8 jam atau muzik selama 40 jam. Ia mengekalkan penggunaan butang home fizikal, bezel yang besar dan juga bicu audio 3.5mm.
Di Malaysia harga iPod Touch generasi ketujuh bermula dari RM899 untuk model 32GB dan ditawarkan dalam enam warna.