Carian
‘Smart Lock’ Mungkin Akan Dijenamakan Semula Kepada ‘Pixel Presence’
June 7, 2019 Fahim Zahar

Sebentar tadi kami ada melaporkan yang Google sudah bersedia untuk hadir dengan sistem imbasan wajah seakan ‘Face ID’ tersendiri. Sistem imbasan wajah seakan produk Apple ini dilihat muncul dalam Android Q Beta 4 selepas beberapa kod tersembunyi didedahkan oleh pihak 9to5Google.

Kita sudah tahu Google memang bersedia dengan sistem imbasan wajah tersendiri, selepas banyak laporan mengenainya tersebar di Internet. Antaranya adalah fungsi ‘Trusted Face’ yang akan ditukar kepada ‘Face Match’, laporan awal yang ia akan hadir dalam Android Q dan juga kemampuan imbasan mata seakan peranti lama Samsung. Terkini, fungsi sekuriti lain dalam Android – ‘Smart Lock’ mugkin akan dijenamakan semula kepada nama lain.

‘Smart Lock’ diperkenalkan pada Android Lollipop dan nama tersebut digunakan sehingga Android Q Beta 3. Sudah lima generasi sistem operasi Android menggunakan nama yang sama dan mempunyai fungsi yang lebih kurang sama. Terkini dalam Android Q Beta 4, jika peranti ditetapkan kepada bahasa English (United Kingdom) – ‘Smart Lock’ dilihat menggunakan nama baharu. Nama tersebut adalah ‘Pixel Presence’.

Tiada sebarang fungsi unik dalam ‘Pixel Presence’ buat masa ini. Cuma jika peranti dinyahkunci menggunakannya, ia kini akan memaparkan ‘Kept unlocked by Pixel Presence’. Mungkin kelak fungsi inilah yang akan menyertakan imbasan wajah ‘Face ID’ tersendiri Android. Jika Google menemui langkah untuk menyertakan sensor Face ID seakan produk Apple, imbasan wajah mungkin akan diletakkan dalam tetapan sekuriti. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikannya.

Komen