Cari @ Amanz

Selepas speaker pintar, sebuah lagi teknologi yang menjadi bualan ramai ialah cermin mata pintar yang menyokong realiti terimbuh. Rekaan cermin mata realiti terimbuh Samsung telah tertiris selepas ia diterbitkan pada laman Jabatan Paten Amerika Syarikat semalam. Paten menunjukkan sebuah cermin mata dengan paparan terbina dalam kaca.

Kesemua komponen elektrik akan diletakkan pada bahagian tangkai cermin mata. Paten rekaan ini telah difailkan oleh Samsung pada 2 Januari tahun lalu. Ini mungkin difailkan sebagai kesinambungan kepada paten kanta lekap pintar mereka tiga tahun yang lalu. Sehingga kini tidak ada cermin mata pintar yang benar-benar berjaya di pasaran.

Usaha Snapchat setahun lalu hanya menyebabkan kerugian selepas tidak banyak Snap Spectacles berjaya dijual. Google Glass dihentikan jualan bagi membolehkan rekaan yang lebih baik dihasilkan. Microsoft HoleLens pula hanya digunakan oleh pengguna industri perkilangan, pemotoran, aeronautik dan ketenteraan. Sementara itu Apple pula dilaporkan menggantung pembangunan cermin mata realiti terimbuh mereka kerana prototaip dikatakan masih terlalu berat. Hanya Huawei sahaja telah memasarkan cermin mata pintar dengan kerjasama GentleMonster mereka di pasaran China buat masa ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd