Carian
Pandang Pertama Samsung Galaxy Note 10+ Dan Note 10 – Adakah Masih Relevan Di Pasaran?
August 8, 2019 Effi Saharudin

Pejam celik kini sudah tahun ke lapan peranti di bawah keluarga Galaxy Note dihasilkan oleh Samsung. Saban tahun Galaxy Note dipasarkan sebagai peranti alternatif kepada Galaxy S dengan skrin yang jauh lebih besar serta sokongan stylus S-Pen. Dengan dua ciri ini ia menjadi pilihan insan yang ingin produktif tanpa menggunakan sebuah komputer riba.

Dengan pelancaran Galaxy S10 tahun ini, buat pertama kali Galaxy S ditawarkan dengan saiz skrin yang sama besar dengan sebuah Galaxy Note. Ia membuatkan ramai tertanya-tanya masih relevankah Galaxy Note di pasaran yang kini dipenuhi peranti dengan skrin yang setanding dengannya.

Hari ini Galaxy Note 10 dan Note 10+ akhirnya dilancarkan secara rasmi. Buat pertama kali dalam sejarah, dua model Galaxy Note 10 dengan saiz skrin berbeza ditawarkan secara serentak.  Adakah ia masih releven pada tahun 2019 dengan pesaing terhampir Samsung iaitu Apple dan Huawei juga kini menghasilkan peranti dengan saiz yang sama? Ini adalah pandang pertama kami untuk kedua-dua phablet ini.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Note 10/Note 10+
Skrin 6.3″/6.8″ FHD+/QHD+
Dynamic AMOLED HDR10+
Pemproses Exynos 9825 (7nm)
Cip ? X 2 GHz Custom
? X 2 GHz Cortex A75
? X 4 GHz Cortex A55
Cip Grafik Mali-G76 MP12
RAM 8/12 Gigabyte LPDDR4X
Muatan Dalaman Sehingga 1TB
(mikro SD sehingga 512GB)
Kamera Utama Note 10 – 12+12+16 Megapixel.
f/1.5+f/2.4+f/2.2, OIS, HDR
Note 10+ – 12+12+16+3D TOF Megapixel.
f/1.5+f/2.4+f/2.2, OIS, HDR
Kamera Depan 10 Megapixel f/2.2
Bateri 3500/4300 mAh
(Pengecasan pantas 25W + Tanpa wayar)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Cap jari terbina dalam skrin
Harga Jualan Bermula dari RM 3699

Dua pilihan skrin diberikan iaitu 6.3″ untuk Note 10 dan 6.8″ untuk Note 10+. Penawaran saiz ini adalah agak menarik memandangkan Note 10 kini mempunyai skrin yang lebih kecil berbanding sebuah S10+. Dengan saiz skrin 6.8″ pula, Note 10 + kini memegang takhta sebagai Note dengan skrin yang terbesar pernah dihasilkan.

Kedua-dua peranti menggunakan skrin Dynamic AMOLED dengan pengimbas cap jari ultrasonik di bawah skrin. Masalah pengimbas cap jari yang sukar diakses atau jari tersentuh lensa kamera diselesaikan dengan pantas menerusi teknologi ini. Walaupun begitu hanya Note 10+ menyokong resolusi QHD+ manakala Note 10 sekadar berpuas hati dengan FHD+. Strategi yang digunakan ini sama seperti bagaimana S10e dibezakan dengan dua abang besar S10 dan S10+ pada Februari lalu.

Kedudukan lubang kami kita diletakkan pada bahagian tengah yang membuatkan peranti kelihatan lebih seimbang dibandingkan dengan Galaxy S10+. Rekaan dagu dan dahi semakin mengecil jika dibandingkan dengan yang digunakan pada Note 9 tahun lalu. Ini membolehkan skrin 6.8″ pada Note 10+ digunakan pada tubuh bersaiz yang sama dengan Note 9. Ini ialah berita baik kerana kerisauan kami ialah penggunaan sebelah tangan Note 9 sudah menjadi sedikit sukar dan jika peranti mempunyai tubuh lebih besar ia boleh memberikan masalah sama seperti yang kami hadapi dengan Galaxy A80.

Menurut Samsung, 94% permukaan hadapan Note 10 dan Note 10+ kini adalah skrin. Wajah Note sekali lagi berubah dengan drastik selepas penggunaan Infinity Display dua tahun yang lalu. Harus kami akui peranti kini kelihatan lebih futuristik dan menarik jika dibandingkan dengan S10.

Pemproses Exynos 9825 digunakan pada peranti dan ia adalah pemproses Exynos pertama dihasilkan menerusi teknologi 7nm. Sedikit mengejutkan pemproses Exynos 9820 tidak digunakan pada peranti mercu ini. Ketika artikel ini ditulis Samsung masih belum mendedahkan kelajuan setiap teras cip Exyno 9825 yang menggunakan konfigurasi teras 2+2+4. Jika Samsung menggunakan teknik yang sama seperti Snapdragon 855+, perbezaan mungkin hanya dilakukan pada kelajuan dua teras utama yang lebih tinggi berbanding Exynos 9820.

Secara tradisinya Note akan menggunakan semula spesifikasi Galaxy S dengan hanya perubahan pada skrin, bateri dan penggunaan stylus. Bagi benar-benar membezakan di antara siri Galaxy S dan Note tahun ini, penggunaan dua pemproses berkuasa berbeza akhirnya dilakukan.

Perbezaan sekali lagi dilihat pada penawaran memori serta storan. Note 10 dilengkapi memori sebesar 8GB dan storan sebesar 256GB sahaja. Model dengan memori sebesar 12GB dan sokongan 5G akan hanya ditawarkan di pasaran Korea Selatan. Jangan terkejut jika kami katakan Note 10 juga tidak menyokong kad mikro SD. Ini mengingatkan kami kepada situasi yang berlaku pada Note 5 hanya beberapa tahun yang lalu. Mengapa ini dilakukan semula walaupun bukan keputusan yang popular tidak pula diberikan oleh pihak Samsung.

Pada Note 10+ pula ia ditawarkan dengan memori sebesar 12GB dan storan sebesar 256/512GB. Terdapat sokongan kad mikro SD sekiranya pengguna ingin menambah storan dalaman peranti. Sekali lagi ini ialah keputusan menari yang dilakukan Samsung. Tiada penawaran saiz memori yang lebih kecil. Ini selari dengan visi mereka bahawa Note 10+ adalah peranti bagi pengguna kreatif, produktif dan tidak mahu berkompromi dengan prestasi.

Bercakap mengenai kamera pula, tri-kamera utama kini menggabungkan sensor 12+12+16 Megapixel. Sensor 12-Megapixel dipadankan dengan lensa bukaan boleh laras f/1.5-f/2.4. Sensor 12-Megapixel dengan lensa telefoto f/2.4 hadir dengan sokongan zum optikal 2X dan akhir sekali sensor 16-Megapixel f/2.2 untuk lensa sudut ultra lebar 123 darjah. Terdapat sokongan penstabilan imej optikal pada dua sensor sebesar 12-Megapixel. Yang membesar Note 10 dan Note 10+ hanyalah sokongan kamera TOF pada Note 10+ yang membolehkan ia memetakan dunia secara tiga dimensi bagi memberikan kesan khas yang menarik.

Kamera hadapan pula adalah sebesar 10-Megapixel f/2.2 dengan sokongan auto-fokus. Tiada sistem dwi-kamera yang boleh ditemui pada S10+ sebelum ini. Ini mungkin dilakukan selepas reaksi pengguna yang merasakan penggunaan takuk bujur untuk sistem dwi-kamera adalah terlalu besar.

Membekalkan kuasa ialah bateri sebesar 3500 mah dan 4300 mAh. Saiz bateri pada Note 10 dan Note 10+ adalah lebih besar jika dibandingkan dengan S10 (3400 mAh) dan S10+ (4100 mAh). Kedua-dua peranti menyokong sistem pengecasan pantas 25W. Note 10+ mempunyai satu lagi kelebihan kerana turut menyokong pengecasan SuperFast Charge 45W tetapi pengecas ini perlu diberi secara berasingan oleh pemilik.

Seperti tahun lalu anda masih boleh mengecasnya secara nirwayar. Penambahbaikan yang dilakukan ialah ia turut menyokong sistem perkongsian bateri PowerShare yang membolehkan peranti lain dicas secara nirwayar oleh Note 10 dan Note 10+. Bagi mereka yang mempunyai aksesori nirwayar seperti Galaxy Buds. Ini ialah sistem yang diperkenalkan pada S10.  Kesemua komponen-komponen ini tersimpan kemas di dalam tubuh peranti yang kalis air dengan piawaian IP68.

Rekabentuk

Perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan kedua-dua Note 10 ialah seksi. Bezel pada keempat-empat sisi peranti adalah sama nipis yang membuatkan ia akhirnya kelihatan seimbang. Pada S10 dagu dan dahi masih lagi agak besar jika dibandingkan dengan bezel sisi.

Tubuh peranti kini semakin kelihatan berkotak dengan hanya bahagian sisi dibulatkan. Bahagian atas dan bawah adalah rata membolehkan peranti didirikan di atas meja. Tidak melampau untuk mengatakan rekaan ini dipinjam dari Loop Surface Sony dan Nokia Lumia. Sebagai peminat kedua-dua peranti ini, kami tidak merasakan ini adalah perkara negatif kerana ia membuatkan Note 10 kelihatan segak.

Panel kaca masih digunakan pada bahagian belakang dan ia masih lagi mengumpul kotoran seperti magnet. Tetapi kami yakin pada tahun 2019 ini ialah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan pengguna kerangka sudah menjadi sesuatu yang boleh dikatakan wajib. Dengan kombinasi sisi dibulatkan dan saiz tubuh yang sama dengan Note 9, kami merasakan Note 10 ialah peranti yang masih selesa digunakan sebelah tangan tanpa masalah besar.

Tiada lagi butang kuasa pada bahagian kanan. Sebaliknya butang suara dan kuasa diubah ke sisi kiri peranti. Butang khas untuk Bixby kini pupus dan berfungsi sebagai butang kuasa. Sebagai seorang pengguna Note 9 sejak setahun lalu, perubahan lokasi butang kuasa ini membuatkan penggunaan menjadi sedikit canggung. Jari kami tercari-cari butang kuasa yang sudah diubah kedudukannya.

Bagi mereka yang ingin menyeru Bixby, ini masih boleh dilakukan dengan menekan butang kuasa selama sesaat. Binaan butang masih lagi teguh dan mudah diakses oleh jari walaupun menggunakan sebelah tangan. Talam SIM dan kad mikro SD (pada Note 10+) pula diletakkan pada bahagian atas peranti.

Seperti yang kami nyatakan dalam ulasan P30 Pro, kami kurang gemar dengan penggunaan satu butang untuk dua fungsi berbeza. Kami rasakan mengekalkan butang kuasa pada sisi kanan sebenarnya adalah pilihan yang lebih ergonomik kerana pengguna yang telah bertahun membiasakan diri dengan konfigurasi ini.

Jika tubuh badan meminjam dari Sony dan Nokia, susunan kamera pula meminjam dari Huawei. Ketiga-tiga kamera utama disusun menegak pada bucu atas sebelah kiri peranti. Pada Note 10+, sensor TOF diletakkan di bawah lampu flash yang terletak bersebelahan lensa kamera. Secara ikhlas kami katakan sekali lagi kami tidak merasakan ini adalah perkara negatif. Dengan kesemua kamera diletakkan pada bahagian bucu, jari semakin sukar untuk terhalang lensa ketika ingin mengambil gambar. Apa yang kami rasakan sedikit luka ialah ialah P30 Pro meminjam rekaan muka hadapan dan sisi dari Samsung Galaxy S. Kini Note 10 meminjam pula rekaan kamera P30 Pro.

Terdapat ura-ura sistem Sound On Screen akan diperkenalkan pada Note 10 kerana tiada lagi ruang untuk pembesar suara fizikal jika bezel menjadi terlalu nipis. Anda semua boleh menghembus nafas lega kerana pembesar suara fizikal masih disertakan pada bahagian atas peranti. Ini dipadankan dengan sebuah pembesar suara pada bahagian bawah. Sokongan audio stereo AKG dan Dolby Atmos masih disertakan. Bagi mereka yang menonton video pada peranti.

Ini ialah berita baik kerana sekali lagi ingin kami tekankan teknologi pembesar suara bawah skrin masih belum cukup matang untuk menggantikan pembesar suara fizikal. Pada P30 Pro dan Galaxy A80, mutu panggilan telefon adalah amat tidak memuaskan. Ia juga mengakibatkan audio stereo yang seimbang tidak dapat dikecapi.

Satu perkara yang dikorbankan oleh Samsung kali ini ialah bicu audio. Ya tuan-tuan dan puan-puan, kesemua output aksesori audio kini perlu dilakukan menerusi port USB-C pada bahagian bawah peranti. Kami menangisi pemergian bicu audio kerana ia masih lagi kami rasakan perlu pada tahun 2019. Tetapi trend pasaran kini ialah penggunaan aksesori audio nirwayar dan Note 10 menjadi sebuah lagi peranti Samsung yang menghentikan sokongannya pada tahun 2019.

Slot simpanan S Pen pula kekal di bahagian kanan dengan mekanisme spring. Pembesar suara terhimpit diantara port pengecas USB-C dan slot simpanan S Pen.

Menerusi Note 10 beberapa kompromi telah dilakukan bagi membawakan beberapa rekaan baharu yang dirasakan lebih progresif dengan permintaan pasaran. Apa yang boleh kami katakan ialah Note 10 ialah antara peranti yang tercantik dilancarkan setakat ini.

Antaramuka

Sistem operasi Android 9 Pie digunakan dengan pelancar Samsung One UI 1.5. Ini adalah antaramuka yang lebih terkini berbanding One One 1.1 yang digunakan pada S10. Sekilas pandang tiada perbezaan yang drastik bole kami temui pada One UI kali ini. Pepatah ada mengatakan jika tiada cela yang nyata mengapa perlu dibaiki. Kami difahamkan One UI 1.5 hanyalah kemaskini yang membawakan beberapa fungsi baharu khusus untuk Note 10.

Seperti yang anda sedia maklum, One UI direka untuk memudahkan lagi penggunaan sebelah tangan tanpa perlu mengaktifkan mod sebelah tangan. Elemen antaramuka diletakkan pada bahagian bawah skrin. Rekaannya juga lebih minimalis berbanding Samsung Experience. Dengan saiz skrin kedua-dua peranti yang melangkaui 6″, antaramuka yang memudahkan navigasi adalah amat perlu. Dengan One UI, kami tidak mempunyai masalah menatal talam notifikasi pada atas skrin dan talam navigasi pada bahagian bawah skrin. Ini ialah satu lagi perkara positif dilakukan Samsung bagi memastikan kemesraan pengguna tidak dikorbankan semata-mata ingin menggunakan skrin gergasi.

Masih terdapat tiga butang navigasi atas skrin iaitu multi tugas, home dan back. Susunan butang boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Sistem gesture seakan Android Pie asli juga disertakan tetapi pilihan menggunakan sistem navigasi Android Asli masih belum diberikan.

Tetapi jika anda ingin menggunakan peranti tanpa sebarang butang navigasi atas skrin. terdapat pilihan navigasi menerusi tatalan dari bawah skrin. Sekali lagi kami ingin mengatakan sistem navigasi berasaskan gesture Samsung ini adalah tidak intuitif. Kami hanya boleh berdoa pada versi One UI seterusnya, Samsung akan akur dengan permintaan pengguna yang inginkan navigasi Android Asli diberikan sebagai pilihan.

Selari dengan One UI baharu, proses melakukan multi window juga diubah. Tiada lagi butang khas untuk melancarkannya tetapi pengguna menekan butang multi-tugas, tekan ikon aplikasi untuk membuka menu multi-window sebelum memilih aplikasi yang ingin digunakan. Proses pengaktifkan multi-window pada Samsung Experience pada hebat kami adalah jauh lebih baik.

Berikut adalah beberapa fungsi menarik yang disertakan pada Note 10 dan Note 1o+

Always On Display – Skrin memaparkan notifkasi sepanjang masa tanpa menggunakan bateri yang tinggi.

Device Care- Pusat satu hentian yang membersihkan storan, virus dan juga penggunaan RAM.

Dual Messenger – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.

Game Launcher – Mod permua yang menghalang gangguan ketika sedang bemain.

Kids Home – Mengubah antaramuka menjadi lebih mesra kanak-kanak dan mengehadkan akses kepada aplikasi. Had masa boleh ditetapkan dan menghalang laman web yang boleh dilayari.

Melancarkan kamera dengan pantas – Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.

Navigation Bar – Dua pilihan navigasi iaitu tri-butang atau Full Screen Gesture.

Night Mode – Tema gelap pada keseluruhan antaramuka bagi mengurangkan penggunaan bateri.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dilakukan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali atau tatalan dari bawah ke atas skrin.

Pengecasan Nirwayar Dua Arah – Peranti boleh dicas semula secara nirwayar dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar.

Fungsi Baharu Stylus S Pen, DeX dan Kamera

Segmen khas ini kami hasilkan kerana ia pembaharuan yang agak besar dilakukan pada S Pen, DeX dan fungsi kamera. Kita mulakan dengan S Pen dengan rekaan tubuh unibody baharu. Ia mengekalkan saiz yang sama cuba tiada lagi senggatan yang membezakan bahagian belakang dan hadapan. Keseluruhan tubuh kini licin seperti yang digunakan pada S Pen tablet Tab S6.

S Pen hadir dengan bateri yang lebih berkuasa dan boleh berfungsi sehingga 10 jam dengan sekali caj menurut Samsung. Bateri Lithium Titanate menggantikan bateri adikapasitor yang digunakan sebelum ini. Tidak terhenti di situ, sistem Air Action diperkenalkan. Dengan Air Action, S Pen boleh menjadi alat kawalan jauh yang mengesan gesture yang dilakukan oleh pengguna.

Accelerometer di dalam S Pen mengesan pergerakan atas ke bawah untuk menukar mod kamera utama atau swafoto. Pergerakan kiri dan kanan akan mengubah mod kamera seperti Live Photo dan Video. Pergerakan berputar arah jam mengawal zum masuk kamera dan sebaliknya berlaku jika melawan arah jam. Menekan butang S Pen sekali untuk menangkap gambar manakala tekanan lama akan membuatkan kamera mengambil gambar tanpa henti. Dengan kata lain S Pen menjadi seakan tongkat ahli sihir dunia Harry Potter. Selain kamera, aplikasi lain juga boleh dikawal menggunakan Air Action.

Aplikasi S Note juga ditambah baik dengan sokongan mengeksport nota yang ditulis dalam bentuk Words, PDF ataupun imej dengan pantas. Nota tulisan tangan juga boleh diubah warna dan ketebalan mata pen selepas ditulis. Disamping itu nota tulisan tangan boleh diubah kepada muka taip biasa dengan sekali tekan.

DeX kini bole digunakan pada sebuah PC Windows 10. Selepas aplikasi dipasang pada komputer, ia akan melancarkan DeX sebaik sahaja Note 10 disambungkan. Pengguna kemudian boleh mengakses kandungan Note 10 terus dari PC mereka. Fail boleh dipindahkan secara drag and drop di antara kedua-dua peranti berlainan sistem operasi ini dengan mudah. Kami juga difahamkan kelak pengguna Note 10 boleh menjawab panggilan telefon dari PC Windows 10 mereka dengan kerjasama Microsoft. Ini adalah kesinambungan dari sistem Your Phone yang membaca dan menjawab teks yang telah disokong oleh Windows 10 untuk peranti Android sebelum ini.

Dengan bantuan kamera TOF, fungsi AR Doodle diperkenalkan. Pengguna boleh melakar lukisan yang terapung di udara dan dilihat menggunakan teknologi peranti terimbuh. Lukisan ini juga boleh diletakkan pada wajah individu sekiranya ingin dilakukan.

Akhir sekali ialah kamera boleh melakukan rakaman video dengan kesan bokeh Live Focus secara masa nyata. Latar belakang boleh dikaburkan atau diletakkan kesan khas seperti bulatan dan hitam putih. Fungsi ini turut boleh dilakukan kamera swafoto walaupun hanya satu kamera digunakan. Audio pada video yang dirakam juga boleh dizum bagi membolehkan kawasan spesifik audio ingin dirakam. Ini ialah fungsi yang pernah digunakan pada peranti HTC U11.

Kesimpulan

Samsung Galaxy Note 10 dan Note 10+ mempunyai beberapa perubahan mendadak berbanding model tahun lalu. Rekaannya jauh lebih menarik dengan saiz skrin lebih besar pada Note 10+ tanpa tubuh menjadi terlalu besar sehingga sukar digunakan sebelah tangan. Sistem tri-kamera S10 dipinjam bagi membolehkan rakaman sudut ultra lebar buat pertama kali pada siri Note.

Kekuatan pada waktu ini terletak pada rekaan yang menarik, sistem Air Action S Pen, kapasiti bateri yang lebih besar dan sokongan format pengecasan yang lebih pantas. Kelemahan terletak pada kehilangan bicu audio dan tiada slot mikro SD pada Note 10.

Di awal artikel kami ada bertanya adakah Galaxy Note masih lagi relevan di dalam dunia yang dipenuhi peranti berskrin besar keluaran pesaing? Jawapan kami pada waktu ini ialah ya. S Pen yang dahulunya sekadar digunakan sebagai stylus kini hadir dengan fungsi baharu yang lebih berguna. Dengan bateri yang bersaiz lebih besar, lebih banyak kerja dapat dilakukan tanpa perlu dicas. DeX pada PC juga amat menarik minat kami kerana memudahkan proses pemindahan pelbagai fail di antara dua peranti berlainan sistem operasi. Tiada telefon pintar lain di pasaran yang menawarkan sokongan stylus secara terbina sebaik yang boleh ditawarkan Note pada waktu ini.

Di Malaysia Samsung Galaxy Note 10 dijual pada harga RM3699. Samsung Galaxy Note 10+ pula dijual pada harga RM4199 untuk 12/256GB dan RM4799 untuk versi 12/512GB.

Komen