Apa Yang Menarik Dalam Android Q Beta 6?

Apa Yang Menarik Dalam Android Q Beta 6?

Diterbitkan pada Ogos 8, 2019 oleh .

Hari ini Google telah mengedarkan Android Q Beta 6 untuk peranti-peranti Pixel (dan juga Essential). Ini adalah versi beta terakhir sebelum versi akhir diperkenalkan. Versi akhir dijadualkan untuk diedarkan pada suku ketiga tahun 2019, iaitu dari bukan September sehingga Disember. Ia dijangka akan diperkenalkan bersama-sama dengan pelancaran Pixel 4 pada bulan Oktober.

Jadi apa yang menarik dalam versi beta terakhir ini? Android Q itu sendiri sudah menarik untuk digunakan. Ia memfokuskan sekuriti yang lebih baik, kawalan gestur baharu dan banyak lagi. Berikut adalah apa yang diperkenalkan untuk Android Q Beta 6;

‘Mainline Module Versions’ Diubah Kepada ‘Google Play System Update’

Pada bulan April lalu, Google ada menguji pengedaran kemaskini sistem melalui Play Store. Ujian ini dinamakan sebagai Project Mainline dan diperkenalkan dalam Android Q Beta. Pada Android Q Beta 2, Google mula memberi kemaksini kepada pengguna melalui Play Store.

Bagi memudahkan pemahaman pengguna, dalam Android Q Beta 6 ‘Mainline module versions’ diubah kepada ‘Google Play system update’. Ini kerana nama ‘Mainline’ itu adalah terma dalam barisan kod mereka dan penjenamaan ‘Google Play system update’ adalah lebih mesra pengguna. Jadi apabila satu kemaskini hadir dan notifikasi terpapar di talam notifikasi – pengguna tidak akan keliru kemaskini apakah yang tiba.

Ikon Kecemasan Baharu Ketika Tekan & Tahan Butang Kuasa

Jika tekan dan tahan butang kuasa pada peranti Pixel – akan terpapar satu ikon kecemasan. Ikon kecemasan ini adalah untuk memaparkan nombor kenalan yang mudah dihubungi jika pemilik peranti berada dalam kemalangan/cedera. Kemudian ia turut akan memaparkan maklumat kesihatan pengguna yang ringkas seperti jenis darah, alahan dan sebagainya.

Ikon asal mempunyai logo seakan ‘+’, dalam Android Q Beta 6 ia diubah kepada ikon seakan asterisk.

Night Sight Kini Terpapar Pada Bahagian Utama Kamera

Bulan lepas, Google telah menguji posisi fungsi Night Sight pada kamera untuk diletakkan pada bahagian utama. Selama ini, Night Sight hanya boleh digunakan dengan mengakses pada bahagian ‘More’. Fungsi ini diuji melalui aplikasi Google Camera 6.3 dan pengguna hanya boleh melihatnya dengan memasang APK GCam yang telah diubahsuai.

Kini, Night Sight boleh diakses dengan mudah. Ia mirip dengan peranti seperti Samsung atau Huawei – yang mana mod malamnya diletak pada bahagian kamera utama. Duka cita dimaklumkan, Google masih gagal untuk menyertakan kemampuan susun atur fungsi kamera mengikut kehendak pengguna.

Kembali Ke Aplikasi Sebelum Dengan Kawalan Gestur Kini Lebih Mudah

Dengan pengenalan kawalan gestur serba baharu, iaitu kawalan gestur penuh – untuk kembali ke aplikasi sebelum atau laman web yang lepas – ia agak sukar. Lebih-lebih lagi jika aplikasi itu mempunyai menu yang perlu ditatal dari kiri atau kanan. Kawalan gestur baharu Google ini perlu ditatal dari kiri atau kanan, jadi membuka menu pada aplikasi sebegini adalah menyusahkan.

Seperti yang tertiris sebelum ini, pada tetapan untuk kawalan gestur – Google mengimplementasikan fungsi mengubah tahap sensitif ‘butang’ kembali. Jadi mengikut cara pengguna tatal dari kiri atau kanan, ia kini akan mengakses menu dari sisi terlebih dahulu dan baru boleh kembali ke aplikasi sebelum atau laman web lepas.

Paparan Kawalan Gestur Penuh Kini Tersembunyi

Kawalan gestur penuh pada Android Q adalah mirip dengan kawalan gestur iPhone X. Ia mempunyai satu baris di bahagian bawah dan boleh ditatal ke atas atau tahan dan tahan untuk mengakses senarai aplikasi terbuka.

Untuk mengelakkan persamaan dengan iOS, garisan ini kini tersembunyi secara automatik. Ia hanya akan terpapar apabila pengguna mula mengggunakan kawalan gestur.


Itu sahaja beberapa perkara menarik yang terdapat pada Android Q Beta 6. Lain-lain adalah perkara yang kecil sahaja, seperti jika peranti Pixel 3 atau Pixel 3 XL diletakkan pada Pixel Stand – paparan Always-On Display ditambahbaik dan ikon putar skrin pada bahagian navigasi, kini berwarna lebih gelap.

Semasa saya cuba bermain seketika dengan Android Q Beta 6 pada Pixel 3a XL, saya dapat rasakan prestasi yang lebih baik dari versi sebelumnya dan proses membuka, menutup dan menukar aplikasi adalah sedikit lebih pantas. Perkara ini menyebabkan saya tidak sabar menantikan Android Q versi stabil kelak. Harapnya Google boleh edarkan Android Q stabil lebih pantas daripada biasa.


TIPS & ULASAN