Vivo NEX 3 adalah peranti mercu terbaru dari Vivo. Ia baru sahaja dilancarkan semalam bersama-sama dengan Vivo TWS Earphone. Vivo NEX 3 hadir dengan dua variasi, 4G dan 5G. Teknologi 5G Vivo mula diperlihatkan pada acara MWC Shanghai 2019, beberapa bulan lalu.
Peranti pertama yang menggunakan teknologi ini adalah iQoo Pro 5G. Kini, Vivo mengembangkan lagi barisan produk 5G mereka pada siri NEX pula. Teknologi 5G yang digunakan adalah sangat hebat. Ia menggunakan enam antena yang direka dengan penuh perhatian pada peranti ini. Kepantasan rangkaian 5G melalui data mudah alih peranti NEX 3 adalah mencapai 1,356Mbps muat turun dan 99.9Mbps muat naik. Ujian ini dilakukan menggunakan syarikat telekomunikasi China Telecom.
Duka cita dimaklumkan yang penggunaan 5G akan menggunakan kuasa yang banyak dan akan menyebabkan peranti cepat panas dan bateri cepat habis. Oleh yang demikian, Vivo telah menggunakan sistem penyejukan ruang wap dan sistem penjimatan kuasa C-DRX. Bagi menyelesaikan isu bateri cepat habis, bateri berkapasiti 4500mAh dimuatkan dengan sokongan pengecasan pantas Super FlashCharge 44W.
Menurut Vivo, jika peranti ini masuk ke pasaran Malaysia – variasi 5G adalah model yang dibawa masuk. Akan tetapi kemampuan 5Gnya dikunci sehingga rangkaian 5G di Malaysia sudah boleh digunakan.