Dua Gedung MARA Digital Telah Ditutup Kerana Menanggung Kerugian

Dua Gedung MARA Digital Telah Ditutup Kerana Menanggung Kerugian

Diterbitkan pada Okt 18, 2019 oleh .

Gedung MARA Digital mula dibuka pada Disember 2015 bagi menjadi pusat hentian setempat alatan teknologi yang diusahakan oleh pemilik bumiputera. Ini dilakukan selepas timbul permintaan pasca insiden rusuhan di Plaza Lowyat pada bulan Julai tahun yang sama. Tetapi nampaknya inisiatif Mara Digital ini kurang mendapat sambutan kerana setakat ini dua gedung telah ditutup selepas menanggung kerugian.

Di dalam jawapan Parlimen yang diberikan oleh Kementerian Luar Bandar, dua gedung Mara Digital telah ditutup setakat ini. MARA Digital Kuantan menghentikan operasi pada Disember 2018 manakala Mara Digital Johor Bahru pula menghentikan operasi pada Februari 2019. Sementara itu MARA Digital Shah Alam pula kini hanya berfungsi dalam bentuk kiosk selepas proses penaiktarafan UTC Shah Alam pada bulan Ogos 2018.

Sebab penutupan adalah kerana jualan yang rendah serta kos operasi yang tinggi memaksa peniaga terpaksa menghentikan operasi perniagaan. Pihak MARA kini mungkin akan melakukan ujian kemungkinan terperinci sebelum membuka cawangan baru pada masa akan datang.

Visi asal MARA Digital ialah membuka satu gedung di setiap negeri menjelang 2016. Tetapi sejak dari awal terdapat petanda usaha ini menuju kegagalan kerana gagal mendapat sambutan dari orang ramai. Malahan kini pengguna lebih selesa melakukan pembelian atas talian untuk produk elektronik kerana penawaran harga yang lebih murah.


TIPS & ULASAN