Oppo Memperlihatkan Peranti Prototaip Tanpa Butang, Lubang, Dan Port

Oppo Memperlihatkan Peranti Prototaip Tanpa Butang, Lubang, Dan Port

Diterbitkan pada Dis 16, 2019 oleh .

Awal tahun ini Meizu Zero diperlihatkan dengan rekaan unik tanpa sebarang port pengecasan ataupun butang fizikal. Projek ini dibatalkan selepas gagal mendapat sambutan dari pengguna. Sungguhpun begitu ia tidak menghalang Oppo dari turut menghasilkan sebuah peranti prototaip dengan rekaan yang sama di acara Oppo Inno Day minggu lalu.

Peranti ini turut tidak mempunyai sebarang butang fizikal. Terdapat butang kuasa statik pada sisi kanan seperti yang ditemui pada HTC U12+. Untuk mengubah tahap audio pula, jari dileretkan pada sisi peranti sama seperti Mate 30 Pro. Meneruskan rekaan nirlubang, pembesar suara diletakkan di bawah skrin.

Tiada takuk pada bahagian skrin sebaliknya kamera swafoto diletakkan di bawah skrin seperti prototaip yang diperlihatkan oleh mereka lima bulan lalu. Pengecas dilakukan secara nirwayar sepenuhnya dengan sokongan VOOC 30W. Akhir sekali peranti hanya menyokong eSIM kerana tiadanya talam SIM tradisional.

Spesifikasi peranti prototaip ini masih lagi dirahsiakan. Pihak Oppo tidak menyatakan sama ada ia akan dilancarkan secara rasmi atau sekadar untuk melihat reaksi pengguna sama ada mereka boleh menerima peranti nirbutang, nirport dan nirlubang di masa hadapan. Rekaan aneh ini mungkin akan menjadi kenyataan kelak kerana Apple turut dilaporkan akan menghasilkan peranti tanpa port Lighining dan mengecas sepenuhnya secara nirwayar seawal 2021.


TIPS & ULASAN