Cari @ Amanz

Sejak dua tahun lepas lagi, Lenovo sudah mula menghasilkan paparan pintar. Paparan pintar pertama mereka adalah Lenovo Smart Display, ia dilancarkan di CES 2018 dan dikatakan adalah pesaing kepada Amazon Echo Show. Lenovo juga hadir dengan Lenovo Smart Display 7, iaitu pesaing kepada Google Nest Hub Max – paparan pintar dengan kamera terbina untuk panggilan video Google Duo. Lebih menarik, Lenovo juga merupakan antara syarikat terawal yang mengimplementasikan sokongan Ambient Google Assistant pada tablet Android melalui Lenovo Yoga Smart Tab & Smart Tab M8. Ia boleh mengubah skrin tablet menjadi paparan pintar.

Terkini di CES 2020, Lenovo telah melancarkan Lenovo ThinkSmart View. Ia adalah paparan pintar dengan rekaan mirip Smart Display 7. Tetapi fokus utamanya adalah untuk kegunaan di pejabat. Integrasi yang disertakan adalah dari Microsoft Teams untuk panggilan video dan audio dan turut hadir dengan perisian tersendiri ThinkSmart Manager untuk pusat IT uruskan semua peranti berhubung ThinkSmart. Paparan pintar ini dijana dengan cip Snapdragon APQ8053. Sistem operasi yang digunakan juga adalah yang tersendiri dan Lenovo langsung tidak menyebut mengenai Google Assistant. Jadi besar kemungkinan, tiada integrasi dengan Google Home boleh dilakukan.

Harga jualan ThinkSmart View adalah $349 (~RM1433) atau $449 dengan set fon telinga nirwayar sebenar ThinkPad X1 ANC (~RM1843).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd