Sejak dua tahun yang lalu Vivo akan memperlihatkan peranti konsep APEX untuk menunjukkan visi peranti masa hadapan mereka. Menerusi Vivo APEX peranti dengan rekaan hampir semua skrin dan pengimbas cap jari dalam skrin kini menjadi realiti. Di MWC Barcelona bulan hadapan, giliran Vivo APEX 2020 pula untuk diperlihatkan secara rasmi.
Vivo mengesahkan ini akan berlaku menerusi jemputan yang mula diberikan kepada media. Tiada petunjuk diberikan mengenai rekaan dan sekadar menggunakan slogan Empower the Next. Tahun lalu Vivo APEX 2019 diperlihatkan sebagai peranti konsep tanpa butang dan port.
Kami mempunyai beberapa ramalan APEX 2020 mungkin akan dilengkapi kamera swafoto bawah skrin seperti yang diperlihatkan oleh Oppo hanya dua bulan yang lalu. Oppo dan Vivo sering berkongsi teknologi kerana kedua-duanya di bawah payung BBK Electronics. Konsep peranti nirbutang dan nirport tahun lalu tidak digunakan pada Vivo NEX. Apakah agaknya teknologi paling mutakhir akan digunakan pada APEX tahun ini?