Android 11 Developer Preview 2 Kini Boleh Dimuat Turun – Ini Semua Perkara Baru Yang Ditemui!

Android 11 Developer Preview 2 Kini Boleh Dimuat Turun – Ini Semua Perkara Baru Yang Ditemui!

Diterbitkan pada Mac 19, 2020 oleh .

Android 11 Developer Preview telah pun diperkenalkan pada bulan lepas. Buat pertama kali, versi percubaan pembangun diperkenalkan pada tarikh yang lebih awal berbanding sebelumnya. Dalam Android 11, walaupun tiada banyak perubahan drastik yang memanfaatkan ramai orang – tetapi untuk pembangun ia akan banyak membantu. Kemaskini pertama adalah Developer Preview 1.1, ia hadir untuk membaiki pepijat bagi memudahkan lagi kerja-kerja pembangunan untuk pembangun.

Baca 11 Perkara Menarik Dalam Android 11

Terkini, Android 11 Developer Preview 2 pula telah diperkenalkan. Kali ini ia membawakan banyak perkara menarik. Berikut adalah antara perkara-perkara menarik yang hadir dalam binaan ini;

Quick Control Pada Menu Kuasa

Seperti yang pernah kami laporkan sebelum ini, butang kuasa pada peranti Pixel yang menjalankan Android 11 kini ada fungsi baru. Fungsi ini adalah “Quick Control”. Ia adalah akses kawalan pantas untuk mengawal peranti berhubung, seperti lampu pintar. Bukan itu sahaja, antaramuka menu kuasa turut berubah. Ia kini berada di bahagian atas skrin tersusun secara melintang berbanding sebelum ini yang berada di sisi skrin tersusun secara menegak.

Rakaman Suara Panggilan Telefon

Merakam suara ketiga sedang menjawab telefon adalah fungsi yang sudah lama wujud di peranti Android. Namun disebabkan perubahan undang-undang di beberapa negara luar, kebanyakan peranti pengeluar membuang fungsi ini. Dalam kod Android 11 DP2 ini, ia menyenaraikan yang akan hadir dengan sokongan merakam suara untuk panggilan telefon. Namun, tidak pasti ia akan diedarkan atau pun tidak atau akan terhad digunakan pada beberapa negara sahaja.

Output Media Pada Pelbagai Peranti

Ini adalah fungsi yang sudah wujud sejak Samsung Galaxy S8 lagi. Ya, sejak tiga tahun lalu. Fungsi ini adalah Dual Audio, yang membenarkan pengguna memainkan audio dari peranti ke dua peranti Bluetooth lain. Kelak dalam Android 11, fungsi ini akan terbina secara natif. Walau bagaimanapun, peranti Android 11 masih tidak boleh menstrim audio ke dua peranti Bluetooth berbeza. Cuma boleh bertukar-tukar antara satu peranti/gajet ke peranti/gajet lain sahaja. Butiran mengenai fungsi ini masih kurang jelas, tetapi ia adalah satu fungsi menarik.

Rakaman Skrin Merakam Suara Dari Peranti

Fungsi rakaman skrin diperlihatkan dalam Android 10 Developer Preview. Namun ia tidak tiba ke versi akhir dan hanya muncul kembali dalam Android 11 Developer Preview pertama. Kini Android 11 DP2, ia hadir dengan fungsi baru. Ia kini mempunyai antaramuka serba baru, meminta izin pengguna untuk mengakses mikrofon, memaparkan kesan sentuhan pada skrin, dan akan datang membenarkan untuk merakam audio dari dalam peranti. Ya, peranti Android lain sudah pun ada fungsi ini. Tetapi jika terbina secara natif kelak, ia pasti akan lebih baik dan stabil. Dukacitanya, masih tiada pilihan resolusi dan FPS.

Face Unlock Kini Memerlukan Pengguna Membuka Mata

Sistem sekuriti pada Pixel 4 bergantung pada Face Unlock. Ia menggunakan sensor kedalaman dan Soli untuk mengimbas wajah pengguna. Namun, berbeza dengan Face ID pada iPhone X ke atas – pada Pixel 4 tutup mata pun boleh menyahkunci peranti. Sedangkan iPhone perlu membuka mata bagi sekuriti tambahan. Kini dalam Android 11 DP2, ia hadir dengan kemampuan ini. Walau bagaimanapun ada banyak pepijat. Info lanjut baca artikel di sini.

Sejarah Notifikasi Dalam Tetapan

Dalam Android 11 DP2, segala notifikasi yang pengguna terima akan dilog ke dalam sistem. Jadi pengguna boleh cari kembali sejarah-sejarah notifikasi yang diterima. Sejarah notifikasi ini akan terus terpapar dalam tetapan atau boleh akses secara pantas pada talam notifikasi.

Lain-lain adalah;

  • Manage Conversations diperkenalkan bagi pengguna menguruskan fungsi “Conversation” yang diperkenalkan sebelum ini.
  • Antaramuka memilih gambar latar kini dikemaskini dengan rekaan yang lebih kemas.
  • Pixel Themes bersedia untuk membenarkan pengguna mengubahsuai muka jam.
  • Tap to restart” akan terpapar untuk mengubah nisbah paparan aplikasi agar bersesuaian dengan peranti.
  • Wireless ADB Debugging.
  • IPSec VPN baharu.
  • Aksesibiliti kini boleh diakses dari kunci skrin.
  • Aplikasi pengurus fail default adalah Files Go.
  • ANGLE kembali, iaitu fungsi menjalankan kandungan WebGL dan OpenGL ES pada API natif pada mana-mana platform.
  • Enhanced Connectivity kini boleh dipilih dalam pilihan pembangun, mungkin untuk meningkatkan keseimbangan dan kestabilan sambungan Internet – masih tidak jelas lagi buat masa ini.
  • HD Audio dalam pilihan pembangun untuk menukar codec dari SBC ke AAC atau lebih tinggi.
  • Paparan waterfall dan skrin berlubang virtual untuk pembangun uji aplikasi mereka agar sesuai digunakan pada pelbagai jenis skrin.
  • Mengubah saiz gambar-dalam-gambar (PiP).

Banyak lagi yang dikemaskini dalam Android 11 DP2 yang buatkan saya tidak sabar mengujinya atau mungkin terus nantikan sahaja versi beta atau akhir nanti. Sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut daripada Google untuk pelbagai lagi fungsi baru. Untuk muat turun, anda boleh pergi pautan XDA di sini.

Sumber: [1], [2], [3], [4], [5], [6], [7]



TIPS & ULASAN