Siri Z nampaknya adalah siri baharu dari OnePlus. Kita sudah lihat OnePlus One, Two, Three dan sehingga nombor 7. Malah sejak OnePlus 3 ada variasi T pula iaitu versi kemaskini. Beberapa tahun lepas kita ada OnePlus X yang mana penggantinya adalah OnePlus Z iaitu peranti yang dikatakan adalah OnePlus 8 Lite.
Terkini, terdapat satu lagi produk OnePlus dalam siri Z. Ia bukan sebuah telefon pintar, tetapi adalah aksesori audio. Peniris terkenal Evan Blass telah memperlihatkan Bullets Wireless Z. Berdasarkan nama, ia adalah set fon telinga nirwayar. Melalui imej pengolokan yang tertiris, ia masih mempunyai wayar dan rekaan mirip OnePlus Bullet Wireless 2. Jadi ia mungkin adalah jenis neckband dan bukan TWS. Kemudian, ia dilihat OnePlus mungkin akan tawarkan dalam pelbagai warna pilihan hijau, biru, putih dan hitam.
Tiada informasi lain mengenai Bullets Wireless Z ini. Tidak pasti ia adalah aksesori audio premium, mampu milik atau akan disertakan dalam pembelian peranti OnePlus. Ia mungkin akan dilancarkan bersama-sama dengan siri OnePlus 8 pada 14 April kelak. Sama-sama kita nantikan.