Carian
Cip MediaTek Helio G85 Akhirnya Diumumkan Secara Rasmi
May 6, 2020 Effi Saharudin

Cip MediaTek Helio G85 kini digunakan pada telefon pintar Redmi Note 9 yang dilancarkan minggu lalu. Aneh sekali ketika pelancaran, maklumat penuh spesifikasi Helio G85 tidak dikongsi oleh Redmi ataupun MediaTek sendiri. Misteri mengenai spesifikasi lengkap cip ini hanya diketahui selepas ia akhirnya diumumkan secara rasmi.

MediaTek Helio G85 dihasilkan menggunakan teknologi 12nm dengan lapan teras dengan dua teras Cortex A75 pada kelajuan 2.0GHz dan enam teras Cortex A55 pada kelajuan 1.8GHz. GPU yang digunakan pula ialah Mali G52 MC2 pada kelajuan 1000 MHz, 50 MHz lebih pantas berbanding yang digunakan pada Helio G80.

Seperti yang diramalkan Helio G85 mempunyai kemampuan yang sama dengan Helio G80 ialah menyokong memori sehingga 8GB LPDDR4x, sokongan memori eMMC 5.1, skrin beresolusi sehingga 252 x1080 pixel.  menyokong satu kamera 48MP atau dwi-kamera 16-MP. Kemampuan rakaman video pula ialah 2K 30FPS atau 1080P 60FPS.

Terdapat juga sokongan bluetooth 5.0. Ia masih lagi sebuah cip 4G yang mampu menyokong dua SIM secara serentak. Akhir sekali ia menyokong sistem navigasi Beidou, Galileo, Glonass dan GPS.

Dengan kata lain Helio G85 hanyalah Helio G80 dengan GPU yang sedikit lebih pantas. Apa yang dilakukan oleh MediaTek bukanlah sesuatu yang baharu. Sebelum ini MediaTek Helio G80 tu sendiri sama dengan Helio G70 cuma dengan kelajuan teras yang lebih tinggi.

Komen