Volvo Bekerjasama Pula Dengan Waymo Untuk Membangunkan Kenderaan Swapandu

Volvo Bekerjasama Pula Dengan Waymo Untuk Membangunkan Kenderaan Swapandu

Diterbitkan pada Jun 26, 2020 oleh .

Pembangunan kenderaan swapandu memerlukan kepakaran dalam industri automotif dan juga dalam dunia perkomputeran. Tidak banyak syarikat di dunia yang mempunyai kepakaran dalam kedua-dua bidang ini dan adalah sebab mengapa kita melihat banyak kolaborasi dilakukan bagi mengurangkan kos. Volvo dan Waymo kini telah bersetuju untuk melakukan kerjasama membangunkan kenderaan swapandu.

Menerusi kerjasama ini, Volvo ingin membangunkan kenderaan swapandu tahap 4. Teknologi yang sama akan digunakan juga pada kereta Polestar yang merupakan anak syarikat mereka yang hanya menghasilkan kenderaan elektrik. Kerjasama Waymo dan Volvo mungkin tidaklah berapa mengejutkan kerana sebelum ini Polestar 2 dan Volvo XC40 Recharge menggunakan sistem infohibur Android Auto.

Apa yang kami rasakan menarik ialah Volvo kini ialah anak syarikat Geely yang turut mempunyai sistem swapandu tersendiri. Geely Geometry A yang dilancarkan tahun lalu adalah kenderaan elektrik yang mampu melakukan swapandu tahap 2+. Pada waktu yang sama mereka pernah bekerjasama dengan Uber sebelum ini untuk pembangunan teksi swapandu. Uber pula telah disaman kerana kakitangan yang didakwa mencuri teknologi Waymo.



Paling Popular