Carian
UK Mengharamkan Pembelian Kelengkapan 5G Huawei Bermula 2021
July 14, 2020 Effi Saharudin

Selepas berkali-kali menerima tekanan dari Amerika Syarikat, United Kingdom akur dan kini mengeluarkan arahan terkini yang mengharamkan pembelian kelengkapan 5G baharu keluaran Huawei bermula 2021. Selepas itu kesemua syarikat telekomunikasi Huawei perlu diganti menjelang 2027.

Menara TelekomunikasiSebelum ini Perdana Menteri Boris Johnson berkata kelengkapan 5G Huawei dibenarkan tetapi bukan untuk rangkaian teras. Keputusan ini menerima tentangan dari A.S yang mengancam untuk menarik kesemua kelengkapan mereka dari UK bagi mengelakkan rahsia mereka diintip.

Kelengkapan telekomunikasi buatan Huawei didakwa mengintip bagi pihak kerajaan China. Huawei telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang menyangkal dakwaan ini dengan presiden mereka pernah menawarkan untuk menjual perniagaan 5G mereka kepada pihak yang berminat.

Dalam kenyataan baharu yang dikeluarkan sebentar tadi, Huawei menyatakan kekesalan mereka terhadap keputusan kerajaan UK yang akan meletakkan negara tersebut di lorong perlahan, meningkatkan kos, dan membesarkan jurang digital. Huawei berharap kerajaan UK akan memikirkan semula keputusan yang diambil hari ini kerana dilihat berlaku kerana perang perdagangan antara A.S serta China dan bukannya atas sebab sekuriti.

Di rantau Asia Tenggara kelengkapan 5G Huawei tidak diharamkan tetapi tidak terpilih di Singapura. Jepun, Australia dan New Zealand telah terlebih dahulu mengharamkan penggunaan kelengkapan 5G buatan China juga atas sebab keselamatan.

Komen