Carian
Xiaomi Melancarkan Tiga Pengecas Dan Salah Satunya Berkemampuan Seperti Apple AirPower
August 12, 2020 Amy Maizuraa

Selain daripada Xiaomi Mi 10 Ultra dan Xiaomi Mi TV LUX OLED Transparent Edition, jenama ini turut memperluaskan lagi penawaran produknya menerusi pengenalan tiga lagi aksesori pengecas terbaru. Ianya terdiri daripada Mi 55W Wireless Charging Stand, Mi 20W Smart Tracking Charging Pad dan Mi 100W Car Charger.

Mi 20W Smart Tracking Charging Pad

Pertama sekali ialah pad pengecas ini sebenarnya telah diumumkan oleh Xiaomi sekitar tahun lalu. Namun begitu, penawaran harganya tidak diumumkan pada ketika itu. Kali ini, ia diumumkan sekali lagi pada acara pelancaran ini dengan tanda harga yang ditawarkan adalah RMB499 (~RM301).

Ia merupakan pad pengecasan 20W yang tidak memerlukan peranti yang ingin dicas diletakkan pada posisi tertentu pada permukaan pad. Ia dengan bijak mengesan kedudukan peranti sebelum memulakan pengecasan nirwayar. Ini ialah ciri pengecasan yang ingin disokong oleh Apple AirPower tetapi tidak mampu dilakukan kerana dilaporkan mengalami masalah pemanasan. Satu kekurangan Smart Tracking Charging Pad ialah ia hanya boleh mengecas dua peranti serentak dan tidak tiga seperti AirPower.

Mi 55W Wireless Charging Stand

Seterusnya ialah Mi 55W Wireless Charging Stand. Pengecas ini hadir dengan gabungan dua warna iaitu hitam pada bahagian atas dan emas sebagai warna asas. Bahan binaan yang digunakan adalah berasaskan plastik sepenuhnya dan terdapat sokongan LED pada bahagian bawah yang akan menyala apabila aksesori ini digunakan. Difahamkan, ia juga boleh digunakan pada mana-mana peranti Xiaomi yang menyokong pengecasan nirwayar. Mi 55W Wireless Charging Stand ditawarkan pada harga RMB199 (~RM120).

Mi 100W Car Charger

Penggunaan pengecas pada kereta rasanya masih relevan dan diterima oleh ramai. Makin hari, makin banyak pilihan pengecas pada kereta yang muncul di pasaran dan Xiaomi juga tidak ketinggalan memperkenalkan aksesori ini dengan penawaran menarik melalui Mi 100W Car Charger. Ia hadir dengan port USB-C yang mempunyai kuasa output maksimum 100W dan port USB-A dengan kuasa output maksimum 18W.

Pengecas ini mempunyai kuasa output maksimum 68W apabila ia mengecas dua peranti dalam masa yang sama. Ia juga dikatakan boleh mengecas penuh peranti dalam hanya 25 minit sahaja. Mi 100W Car Charger berharga RMB99 (~RM60). 

Komen