ZTE Axon A20 5G Akan Dilancarkan Pada 1 September
ZTE

ZTE Axon A20 5G Akan Dilancarkan Pada 1 September

Diterbitkan pada Ogos 17, 2020 oleh .

ZTE Axon A20 5G mula menjadi bualan ramai selepas tersebarnya laporan yang mendakwa jenama ini dalam perancangan untuk melancarkan peranti dengan teknologi kamera di bawah skrin (Under-Screen Camera) tidak lama lagi. Selepas beberapa hari membiarkan orang ramai berteka-teki mengenai kemunculannya, ZTE kini tampil mengesahkan peranti ini akan dilancarkan secara rasmi pada 1 September kelak.

Apa yang akan menjadi tumpuan utama pada peranti ini adalah sokongan teknologi kamera di bawah skrin dan rangkaian 5G. Terdapat juga sumber mengatakan ZTE akan menggunakan panel skrin dengan kamera terbina daripada Visionox untuk pembangunan peranti ini. Tiada spesifikasi yang dikongsi, namun peranti ini dipercayai hadir dengan paparan 6.9-inci, kamera hadapan 32-Megapixel, empat kamera belakang dengan lensa utama 64-Megapixel dan bateri 4,210mAh.

Imbas kembali, teknologi kamera di bawah skrin sebenarnya sebelum ini telah diperlihatkan lebih awal pada peranti Oppo dan Xiaomi. Akan tetapi, kita masih belum menemui mana-mana peranti dengan teknologi ini yang tersedia secara komersial. Dengan pendedahan ini, nampaknya ZTE telah membuat langkah awal untuk memperkenalkannya ke pasaran kelak.



Paling Popular