Cari @ Amanz

Apakah inovasi seterusnya dalam rekaan telefon pintar dalam masa terdekat? Skrin boleh lipat? Dwi-skrin? Ditanam terus ke medula oblongata seperti yang cuba dilakukan Elon Musk? Selain kesemua di atas TCL percaya ia mungkin telefon pintar dengan kesemua kamera tersorok.

Paten rekaan di atas telah difailkan oleh TCL menerusi laman CNIPA China. Tiada lubang kamera dapat dilihat di hadapan ataupun di belakang peranti kerana kesemuanya tersorok di belakang panel kaca.

Pada bahagian hadapan kamera mungkin diletakkan di bawah skrin sementara di belakang pula rekaan seperti yang digunakan pada OnePlus Concept One pula digunakan. Kamera hanya akan dapat dilihat apabila arus elektrik dialirkan ke permukaan kaca yang mengubahnya menjadi kaca lutsinar.

Dengan rekaan ini, peranti dengan rekabentuk lebih minimalis dapat direalisasikan. Tahun 2020 melihat penggunaan bonggol kamera yang semakin besar mula dilihat. Rekaan ini sekiranya menjadi realiti akan sekurang-kurangnya menyelesaikan masalah bonggol dalam masa terdekat.

Tahun ini TCL memperlihatkan beberapa rekaan peranti yang unik seperti skrin yang boleh ditarik keluar dan skrin yang boleh mengimbas cap jari pada keseluruhan permukaan skrin.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd