Pandang Pertama Samsung Galaxy Z Fold2 – Percubaan Kedua Yang Lebih Elegan

Pandang Pertama Samsung Galaxy Z Fold2 – Percubaan Kedua Yang Lebih Elegan

Diterbitkan pada Sep 9, 2020 oleh .

Telefon mudah ali pertama dunia buatan Motorola diberikan gelaran “The Brick” kerana ianya bersaiz besar dengan berat yang setanding dengan batu. Sejak pengenalannya pada tahun 1973, teknologi dibangunkan bagi mengurangkan saiz serta berat telefon mudah alih.

Secara perlahan-lahan rekabentuknya berevolusi dari rekaan mirip gagang telefon kepada bongkah empat segi nipis yang boleh disimpan di dalam kocek. Tetapi ramai mula menyedari rekaan berbentuk kotak ini mempunyai kekurangannya sendiri dan tahun lalu evolusi telefon pintar bergerak selangkah ke hadapan dengan pelancaran Samsung Galaxy Fold.

Secara peribadi Galaxy Fold ialah telefon pintar terbaik saya gunakan tahun lalu tetapi tidak melepasi piawaian untuk menjadi yang terbaik untuk Amanz. Walaupun mempunyai beberapa perubahan, potensi peranti skrin boleh-lipat dapat saya rasai walaupun dapat menggunakannya selama dua minggu sahaja.

Menerusi Samsung Galaxy Z Fold2, Samsung kembali ke meja lukisan untuk memperbaiki beberapa masalah yang menjadi rungutan pelanggan. Hari ni kami akhirnya diberikan akses kepada Z Fold2 dan menerusi artikel ini kami ingin menyentuh apakah yang membuatkan ia menjadi peranti perlu beli tahun ini tetapi pada waktu yang sama masih mempunyai beberapa isu yang perlu diperhalusi lagi.

Spesifikasi Dan Rekaan

Samsung Galaxy Z Fold2
SkrinLuar – 6.23″ SAMOLED 60Hz
Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+
PemprosesQualcomm Snapdragon 865+
Cip1 X 2.84 GHz Kryo Prime 585
3 X 2.42 GHz Kryo Gold 585
4 X 1.8 GHz Kryo Silver 585
Cip GrafikAdreno 650
RAM12GB LPDDR5
Muatan Dalaman256GB UFS 3.1
Kamera Utama12+12+12 Megapixel f/1.8+f/2.4+f/2.2, Zum optikal 2X, Ultra sudut lebar, OIS
Kamera Swafoto/Kamera Dalaman10MP f/2.2 / 10MP f/2.2
Bateri4500 mAh
Pengecasan berwayar 25W
Pengecasan nirwayar 11W
Pengecasan berbalik 4.5W
SIM/TelefoniNano/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTidak
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Harga JualanRM 7999

Kita mulakan dahulu dengan nama. Kenapa terdapat huruf “Z” sedangkan ia amat berlainan dengan Z Flip yang dilancarkan awal tahun ini. Kami merasakan ia adalah bagi menyeragamkan dua siri peranti boleh-lipat Samsung. Kedua ia adalah kerana beberapa ciri eksklusif pada Z Flip telah dipinjam oleh Z Fold2. Yan kami akan menggunakan nama Fold2 sahaja selepas ini kerana menaip Galaxy Z Fold2 adalah amat memenatkan.

Perubahan drastik pertama yang dapat dilihat pada teknologi skrin. Tahun ini Fold2 dilengkapi skrin hadapan sebesar 6.23″ berbanding 4.6″. Dengan saiz yang lebih besar, skrin sekunder yang sebelum ini langsung tidak praktikal kini lebih berguna. Bezel kelihatan lebih kecil dan selari dengan rekaan peranti mercu lain Samsung seperti Note20 Ultra dan S20 Ultra. Konsesi di sini ialah wujud pula lubang kamera swafoto terbina pada skrin.

Skrin utama ini walau bagaimanapun adalah amat runcing dengan nisbah 25:9. Tiada peranti lain di pasaran mempunyai nisbah aneh ini. Seperti gambar yang dapat anda lihat di bawah, skrin Note20 Ultra adalah lebih lebar dengan ketinggian yang setanding.

Skrin utama Fold2 juga dibesarkan ke 7.6″ dari 7.3″ tahun lalu sekali lagi menerusi penggunaan bezel yang 27% lebih nipis. Takuk besar untuk kamera dalaman pula digantikan dengan kamera swafoto yang juga diletakkan di dalam lubang. Hasilnya ialah saiz keluasan skrin adalah lebih besar pada Fold2. Masalah takuk besar yang merencatkan tontonan video dan menikmati permua terus lenyap.

Tidak berakhir di sini, skrin boleh-lipat kini menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz yang membolehkan paparan kelihatan bergerak lebih lancar. Teknologi kadar segar semula boleh ubah Note20 Ultra digunakan pada skrin boleh-lipat ini turut dapat mengurangkan penggunaan bateri kerana bergantung kepada aplikasi. Tahun lalu kritikan yang diterima adalah skrin 60Hz dianggap canggung untuk digunakan pada sebuah peranti yang dijual pada harga hampir RM8000 sebuah.

Skrin boleh-lipat mempunyai lapisan kaca UTG yang memastikan ia tidak mudah calar. Perubahan yang amat diinginkan kerana skrin plastik tahun lalu terasa kurang tahan lasak jika dibandingkan dengan skrin tahun ini. Ketakutan untuk menekan skrin dengan kuat tidak lagi berlaku.

Namun begitu alur lipatan pada skrin yang menjadi isu bagi kebanyakan pengulas termasuk kami sendiri masih wujud. Mungkin Samsung perlu meminjam teknologi yang digunakan pada Motorola Razr yang tidak mempunyai masalah alur lipatan ini untuk Fold3 tahun hadapan.

Izinkan kami memuji kualiti kemasan Fold2 buat seketika. Tahun lalu Fold terasa seperti mainan yang mudah rosak kerana terdapat banyak ruang kosong di antara skrin dan engsel. Tahun ini kemasannya tampak 10 kali ganda lebih tegap dan mantap. Apabila engsel terbuka tiada sebarang bunyi aneh. Mekanisme engsel juga terasa lebih keras dan tidak mengatup keras seperti perangkap tikus tahun lalu.

Engsel ini juga boleh dilaraskan mengikut kehendak pengguna menerusi Flex Mode yang dipinjam dari Z Flip. Terdapat berus-berus kecil terbina untuk menolak kotoran dari memasuki komponen dalaman. Engsel masih mempunyai ruang tidak kedap udara yang menyebabkan Fold2 masih tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air.

Pengimbas cap jari dikekalkan pada butang kuasa di bahagian sisi bersama dengan butang laras suara dari jenis rocker. Begitu juga dengan dua pembesar suara yang menyokong Dolby Atmos. Sebuah port pengecas USB-C diletakkan pada bahagian bawah dan sungguhpun peranti ini bersaiz besar, bicu audio 3.5mm tidak disertakan.

Jika ada satu elemen rekaan yang ingin kami kritik ialah wujudnya bonggolo kamera yang besar. Ia tidak membusung seperti Note20 tetapi menimbulkan masalah apabila menggunakan Flex Mode. Flex Mode ialah mod apabila perantid dilipat untuk digunakan pada permukaan meja. Bonggol mengakibatkan peranti terjungkit.

Kerangka rasmi yang dikeluarkan oleh Samsung tidak menyelesaikan masalah ini. Kita sudah di bulan September dan Samsung seharusnya menyedari bonggol pada S20 Ultra dan Note20 Ultra ialah antara isu terbesar pengguna kedua-dua peranti. Pilihan meneruskan rekaan unta ini seharusnya tidak berlaku kerana spesifikasi kamera yang digunakan hanya sekadar 12+12+12 megapixel tanpa mekanisme zum periskop seperti pada S20 Ultra dan Note20 Ultra.

Tiadanya kemampuan kalis air dan bicu audio adalah kekecewaan yang agak besar bagi kami tetapi ia berjaya dirawat dengan spesifikasi Fold2 yang mantap. Pemproses Snapdragon 865+ dipadankan dengan memori 12GB LPDDR5 RAM dan storan 256GB. Masalah cip Exynos 990 telah beberapa kali kami laporkan di laman ini sehingga menjadi antara faktor terbesar mengapa ramai menjauhkan diri dari Note20 dan Note20 Ultra.

Snapdragon 865+ pada waktu ini adalah cip paling berkuasa untuk peranti Android pada tahun 2020. Kuasa memprosesnya yang brutal ini amat diperlukan bagi menyokong dua paparan bersaiz besar dan sokongan sehingga tiga aplikasi serentak menerusi ciri Multi Active Window.

Kesemua komponen yang berkuasa ini dimasukkan ke dalam tubuh bersaiz 159.2 x 68 x 16.8 mm apabila tertutup dan 159.2 x 128.2 x 6.9 mm apabila dibuka. Sebagai perbandingan Note20 Ultra adalah sebesar 164.8 x 77.2 x 8.1 mm. Apabila diletakkan di atas permukaan meja, Fold2 kelihatan lebih kecil dan elegan berbanding Note20 Ultra. Kejayaan utama Samsung tahun ini ialah menghasilkan sebuah peranti skrin boleh-lipat yang besar tetapi kelihatan lebih kecil apabila dilihat sendiri di hadapan mata.

Penggunaan Dan Perisian

Penggunaannya adalah sama seperti peranti lain di pasaran. Dalam posisi tertutup skrin utama kini cukup besar untuk melayari web dan menggunakan aplikasi media sosial. Tetapi seperti yang katakan beberapa perenggan di atas, nisbah skrin 25:9 menjadikan laman kelihatan terlalu memanjang. Pada waktu yang sama kerana skrin hadapan masih terlalu runcing, proses menaip masih lagi tidak selesa bagi insan yang bertangan besar seperti kami.

Beberapa ulasan awal mengatakan skrin hadapan Fold2 kini lebih berguna tetapi kami ingin katakan di sini kami tidak bersetuju. Kombinasi skrin yang terlalu panjang, skrin yang runcing dan peranti yang berat (282g) ialah resipi yang membuatkan Fold2 masih sukar untuk digunakan sebelah tangan seperti model tahun lalu. Lihat sahaja tangkapan layar antaramuka yang kami letakkan di atas. Anda dapat lihat sendiri bertapa canggungnya menggunakan peranti dengan nisbah meninggi ini.

Fold2 kekal lebih selesa digunakan sebagai tablet apabila skrin utama dibuka. Laman web versi desktop dapat dilayari dengan lebih menyeluruh dan video dapat ditonton pada jarak yang lebih jauh. Tambahan lagi proses menaip juga jauh lebih menyeronokkan kerana terdapat pilihan untuk dipotong dua (split view).

Skrin yang besar ini turut membolehkan sehingga tiga aplikasi dilancarkan serentak di dalam tetingkap kecil. Multi Active Window dikemaskini bagi memudahkan proses mengubah saiz setiap tetingkap, mengubah susunan dan mengumpulkan tiga aplikasi ke dalam kumpulans sendiri bagi memudahkan pelancarannya di kemudian hari.

Pengguna diberikan pilihan untuk menggunakan papan kekunci yang lebih besar atau yang terapung. Kami secara peribadi merasakan papan kekunci yang dibelah dua adalah yang terbaik untuk mereka yang banyak menaip. Menulis emel atau kertas kerja tidak akan lagi menyeksakan.

Continuity Mode yang membolehkan aplikasi digunakan pada skrin hadapan dan utama juga diperhalusi lagi. Pemilik diberikan pilihan untuk berubah menggunakan aplikasi dari skrin utama ke skrin luar buat pertama kali. Skrin luar juga boleh diubah menjadi skrin memaparkan wajah apabila kamera utama digunakan sebagai kamera swafoto.

Kami boleh menghabiskan beberapa perenggan lagi mengenai penambahbaikan pada perisian yang sangat-sangat diperlukan tetapi yakin akan tidak mahu membaca dinding teks yang terlalu panjang. Apa yang boleh kami katakan ialah kesemua ciri yang diperkenalkan pada siri Note turut boleh digunakan pada Fold2. Ini termasuk melancarkan aplikasi Android dalam komputer Window 10 dan Wireless DeX. Untuk senarai lebih lengkap kami menyarankan anda melayari pautan di bawah

Layari artikel 10 Perkara Menarik Samsung Galaxy Z Fold2

Kesimpulan

Percubaan pertama secara lazimnya adalah kurang memuaskan sebelum percubaan kedua dilakukan selepas mempelajari kesilapan awal. Fold2 jelas mengambil pelbagai input dari peranti asal kerana jumlah penambahbaikan yang dilakukan menyelesaikan beberapa isu besar terdahulu.

Skrin jauh lebih baik tanpa sebarang takuk dan cela yang menjengkelkan. Pemproses terbaik digunakan selepas Exynos menerima kritikan hebat. Ini dipadankan dengan perisian yang semakin matang. Perkakasan juga tidak dilupakan kerana kemasannya yang tampak lebih teguh, kemas dan elegan. Adalah sukar untuk mempercayai dalam masa setahun rekaan yang dahulunya dianggap mustahil kini boleh dipegang di dalam tangan.

Namun masih terdapat beberapa elemen yang kami rasakan boleh ditambah baik. Skrin hadapan masih belum cukup berguna kerana terlalu runcing dan perisian kamera yang masih perlu digilap. Isu skrin yang mempunyai garis lipatan juga berterusan bersama dengan tiadanya kemampuan kalis air yang tidak boleh dimaafkan bagi sebuah peranti mercu premium yang dijual pada harga RM7999.

Apa yang kami boleh katakan ialah pengalaman menggunakan Fold2 selama beberapa jam hari ini menunjukkan Samsung di jalan yang betul untuk menjadikan peranti skrin boleh-lipat rekaan pilihan generasi hadapan. Yang kita perlukan sekarang ialah mencari jalan untuk menurunkan harga pula.

Dengan Huawei kini kelemasan akibat dibanjiri sekatan ekonomi Amerika Syarikat, Samsung merajai pasaran peranti skrin boleh-lipat tanpa sebarang tentangan dari pengeluar pada waktu ini. Jika dipasarkan dengan baik Samsung boleh mendominasi pasaran peranti skrin boleh-lipat seperti mereka mendominasi pasara peranti dengan sokongan stylus sekarang.

Pro

  • Kemasan yang amat premium, kemas dan elegan. Amat sedap di dalam tangan.
  • Teknologi skrin terkini dengan bezel semakin nipis tanpa perubahan saiz tubuh.
  • Spesifikasi peranti mercu sebenar tanpa kompromi dari Samsung.
  • Perisian yang semakin matang untuk mengoptimasikan penggunaan skrin boleh-lipat.
  • Sokongan aplikasi untuk mod tablet yang dipertingkat dari Samsung dan pembangun pihak ketiga seperti Microsoft serta Google.
  • Perisian akan disokong sehingga 3 tahun.

Kontra

  • Skrin hadapan 25:9 terlalu runcing untuk digunakan dengan selesa.
  • Kamera yang tidak cukup mercu tidak sebaik Note20.
  • Bonggol kamera utama yang agak besar.
  • Masih tiada kemampuan kalis air IP68.
  • Masih terdapat garis lipatan pada skrin utama.

TIPS & ULASAN