Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Fold diperlihatkan pada Februari lalu sebagai peranti skrin boleh lipat pertama keluaran Samsung. Mereka percaya ini ialah evolusi seterusnya rekaan telefon pintar yang bermula dengan rekaan candybar ke phablet dan kini skrin boleh lipat. Pelancarannya sepatutnya berlaku pada April lalu tetapi terpaksa ditangguhkan kerana masalah cela skrin yang dilaporkanya selepas hanya sehari diberikan kepada pengulas-pengulas awal.

Selepas kembali ke meja rekaan dan memperbaiki pelbagai masalah awal yang ditemui, Fold telah ditawarkan di Malaysia pada 9 Oktober lalu. Adakah peranti yang selama ini hanya wujud sebagai konsep di bawah nama Project Valley berbaloi untuk dimiliki atau satu lagi gimik yang akan mati ditelan masa? Jawapan ringkas kami ialah ya. Untuk jawapan lebih lengkap sila baca ulasan ini.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Fold
Skrin Depan – 4.6″
Super AMOLED, 720 x 1680 pixel
Dalam – 7,3″ 1536 x 2152 pixel,
Dynamic AMOLED HDR10+
Pemproses Snapdragon 855
Cip 1 X 2.84 GHz Kryo 485
3 X 2.42 GHz Kryo 485
4x 1.78 GHz Kryo 485
Cip Grafik Adreno 640
RAM 12 Gigabyte
Muatan Dalaman 512GB
Kamera Utama 12+16+12 Megapixel.
f/1.5+f/2.2+f/2.5, OIS, 2X zum optikal
Kamera Depan Luar – 10 Megapixel f/2.2
Dalam – 10+8 f/1.9+f/2/2 Megapixel
Bateri 4380mAh
(Pengecasan pantas 15W + Nirwayar Qi)
SIM/Telefoni Nano SIM
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Cap jari
Harga Jualan RM8388

Dua skrin digunakan pada Fold dengan skrin luaran sebesar 4.6″ SAMOLED dipadankan dengan skrin dalaman 7.3″ Dynamic AMOLED yang melipat keluar dalam mod tablet. Kedua-dua skrin ini mempunyai bezel yang tebal pada keempat-empat sisinya tidak seperti yang ditemui pada Note 10+.

Skrin luar ini kami rasakan amat kecil jika dibandingkan saiz tubuh peranti yang memanjang. Kali terakhir peranti mercu Samsung menggunakan skil bawa 5 inci ialah  tujuh tahun lalu menerusi Galaxy S3 (4.8″). Kedua-duanya menyokong paparan HDR dengan hanya skrin dalaman menyokong HDR10+.

Pemproses Snapdragon 855 menjadi enjin kepada peranti dengan memori sebesar 12GB RAM dan storan sebesar 512GB. Tiada slot untuk kad mikro SD sama seperti pada Note 10 dan A80 yang dipasarkan sejak dua bulan lalu.  Tetapi Fold adalah satu-satunya peranti mercu Samsung yang dipasarkan dengan cip keluaran Qualcomm di Malaysia. Peranti mercu mereka yang lain di Malaysia kesemuanya menggunakan cip Exynos 9820 atau 9825.

Selain penggunaan dwi-skrin yang unik, Fold juga dilengkapi enam kamera kesemuanya. Pada bahagian luar hadapan kamera swafoto 10-Megapixel digunakan. Kamera utama pada bahagian belakang pula ialah 12+16+12 Megapixel yang sama seperti pada S10, S10+, Note 10 dan Note 10+. Tiada kamera 3D TOF disertakan. Kamera swafoto pada bahagian lipatan pula adalah 10+8 Megapixel yang sama seperti S10+ lengkap dengan sensor pengesan kedalaman. Sebuah lampu flash disertakan hanya untuk kegunaan tri-kamera pada bahagian belakang.

Dua bateri yang digunakan pula mempunyai kapasiti gabungan 4380 mAh dan hanya 80 mAh lebih besar berbanding yang digunakan pada Note 10+. Ia dicas menerusi port USB-C tetapi hanya menyokong pengecasan dengan output 15W sahaja. Wayar pengecas yang disertakan juga masih dari jenis USB-A ke USB-C. Samsung tidak berkongsi sama ada pengecas 25W yang digunakan pada Note 10 akan disokong. Terdapat sokongan mengecas secara niwayar 15W dan PowerShare 9W untuk mengecas aksesori lain secara nirwayar.

Sepasang pembesar suara stereo diletakkan pada bahagian sisi dengan talaan dari AKG. Apabila di dalam mod tablet, kedua-dua audio dari pembesar suara ini menembak ke sisi seperti yang ditemui pada tablet-tablet mercu di pasaran.

Di Malaysia Fold hanya menyokong rangkaian 4G sahaja menerusi satu SIM bersaiz nano. Spesifikasi lain ialah bluetooth 5.0 dan WiFI 6 bagi mereka yang inginkan kelajuan Internet yang lebih pantas. Kerana rekaan engselnya yang terbuka, Fold secara rasminya tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air ataupun debu.

Rekabentuk Dan Penggunaan

Fold ialah telefon yang mempunyai rekaan paling unik di pasaran sekarang kerana skrinnya yang boleh dilipat. Pada kedudukan tertutup, ia mengingatkan kami kepada telefon Nokia 9500 Communicator yang dipasarkan pada awal milenium yang lalu. Tubuh Fold dan Nokia 9500 mempunyai persamaan pada dengan rekaan memanjang, tebal dan dilengkapi engsel pada bahagian tengah. Perbezaan pula iala tubuh peranti diperbuat daripada kaca dengan bingkai dan “tulang buku” yang diperbuat daripada logam berbanding plastik kesemuanya pada Nokia 9500.

Skrin hadapan mempunyai saiz bezel yang amat tebal pada keempat-empat sisi. Dari segi rekaan luaran, Mate X kelihatan jauh lebih moden dan elegan kerana penggunaan bezel yang nipis. Kerana penggunaan skrin yang kecil pada bahagian luar, kami merasakan ia hanya sesuai untuk digunakan untuk melihat notifikasi yang diterima.

Sudah bertahun lamanya kami tidak menggunakan peranti dengan skrin 4.6″ dan akibatnya sukar untuk menonton video dan melayari web menggunakannya. Ia pada hemat kami hanya sesuai digunakan sebagai skrin notifikasi sahaja. Membaca laman web, buku elektronik, Facebook, Twitter dan menikmati adalah mustahil untuk dilakukan kerana skrin yang terlalu pipih. Papan kekunci terlalu pula kecil untuk digunakan walaupun dengan sebelah tangan. Jadi tidaklah mengejutkan rekaan Fold 2 yang telah dikongsi sekadar menggunakan skrin sekunder luaran yang kecil. Skrin besar pada Fold pada waktu ini boleh kami katakan sekadar gajah putih.

Ramai bertanyakan kami mengenai takuk besar pada skrin dalaman. Ia amat mengganggu terutamanya jika menjalankan permua. Sebahagian elemen antaramuka COD Mobile dan YouTube terhalang pada skrin utama. Oleh itu ciri Hide Camera Cutout diberikan yang memastikan bahagian atas skrin yang sebaris dengan takuk kamera tidak digunakan. Masalah yang kami sebutkan tadi terus diselesaikan cuma ini membuatkan paparan skrin utama agak canggung kerana wujudnya palang hitam yang besar pada bahagian atas.

Dalam tempoh ulasan selama dua minggu, boleh kami katakan Fold digunakan pada mod tablet dalam 90% situasi kerana menawarkan skrin yang lebih besar. Dengan fungsi App Continuity, sebarang aplikasi yang dibuka pada skrin luar akan secara automatik dipaparkan pada skrin utama dalam mod tablet. Proses perubahan dari skrin luar ke dalam berlaku hampir sekelip mata tidak seperti ketika ia diacah ketika acara Samsung Developer Conference tahun lalu. Aneh sekali secara default fungsi App Continuity ini tidak diaktifkan, pengguna Fold perlu ke skrin tetapan dan memilih aplikasi manakah yang boleh menggunakannya.

Skrin 7.3″ dengan nisbah 4:3 membolehkan sehingga tiga aplikasi dilancarkan secara serentak. Untuk mengaktifkannya pengguna perlu menatal dari bahagian kanan skrin. Sebuah tab untuk melancarkan aplikasi yang disokong dalam Multi Window akan dipaparkan. Antara perkara yang kami telah uji ialah menonton strim YouTube sambil menghantar ciapan di dalam Twitter. Walaupun sehingga tiga aplikasi disokong secara peribadi kami rasakan dua aplikasi adalah penggunaan paling selesa kerana satu aplikasi boleh dipaparkan pada “daun pintu skrin” berbeza.

Pada daun pintu skrin kanan terdapat butang kuasa, suara dan pengimbas cap jari fizikal. Kesemua butang-butang ini diperbuat daripada logam sepenuhnya. Sebuah talam SIM pula diletakkan pada pintu skrin kiri. Port pengecasan USB-C pula diletakkan pada bahagian bawah.

Dalam posisi tertutup, kami mendapati peranti masih cukup selesa untuk disimpan di dalam poket seluar jeans. Ia mempunyai ketinggian yang sama dengan sebuah Note 10+ tetapi cuma tiga kali ganda lebih tebal. Bagi seorang lelaki berbadan besar ini mungkin tidak mendatangkan masalah tetapi kakitangan wanita di Amanz merasakan ia terlalu besar dan berat untuk digunakan oleh mereka.

Saiz yang besar bukanlah masalah pada kami tetapi berat peranti memang dapat dirasai. Tangan menjadi lebih lenguh apabila peranti dipegang. Oleh sebab itu kami tidak menggunakan peranti ini sekerap peranti lain yang pernah diulas. Contohnya pada waktu malam kami tidur lebih awal kerana tangan lenguh untuk membaca laman Reddit.

Satu lagi perkara positif ialah kerana tiada saiznya yang besar ia hanya selesa digunakan dengan dua belah tangan. Ini sekaligus membuatkan kami tidak berjaya menghapuskan tabiat buruk menggunakan peranti ketika menanti lampu merah berubah ke hijau di lampu isyarat. Fold berjaya mengubah dua tabiat buruk iaitu ketagihan menggunakan peranti dan menggunakan peranti ketika memandu kerana saiznya yang terlalu besar. Ia lebih efektif dari Digital Wellbeing dan anggota polis di atas jalan raya dalam membendung dua masalah besar pengguna peranti di negara kita ini.

Kami adalah antara insan yang terawal merasakan peranti skrin boleh-lipat hanyalah gimik yang tidak mempunyai masa depan. Selepas menggunakannya kami kini lebih memahami mengapa ia dihasilkan dan mungkin ramalan awal yang ditulis dahulu adalah jauh menyimpang.

Fold akan mengubah bagaimana peranti akan digunakan serta rekaannya dalam masa terdekat. Rekaan Fold pada waktu ini masih belum cukup praktikal untuk majoriti pengguna di luar sana. Rekaan mirip Motorola Razr pada hemat kami adalah lebih pratikal dan mungkin akan menjadi standard selepas ini. Peranti akan mempunyai saiz lebih kecil, tidak terlalu berat dan paling penting sekali dijual pada harga yang lebih mesra dompet.

Antaramuka

Peranti masih menggunakan sistem operasi Android 9 Pie dengan pelancar One UI 1.5. Penggunaan versi Android yang bukan terkini adalah sedikit mengecewakan ditambah pula dengan sehingga kini program Android 10 untuk Fold juga masih belum diumumkan tidak seperti S10 dan Note 10. Ini bermakna pengguna yang ingin menikmati Android 10 perlu menanti lebih lama.

Antaramuka One UI 1.5 adalah sama seperti pada S10 dan Note 10 dengan beberapa perubahan serta penambahbaikan. Pertama sekali ia menyokong paparan skrin bernisbah 4:3 pada skrin utama. Dari pengalaman kami kesemua aplikasi di Play Store boleh digunakan tanpa masalah walaupun pada skrin dengan nisbah skrin yang tidak konvensional ini.

Bagi memudahkan penggunaan peranti pada skrin yang lebar, Samsung menyertakan fungsi mengubah kedudukan butang navigasi pada bahagian bawah ke sisi kiri, kanan atau tengah. Navigasi berasaskan gesture disertakan tetapi ia adalah sistem Samsung yang tidak sebaik Android asal.

Turut disertakan ialah papan kekunci yang amat besar. Menaip pada Fold adalah jauh lebih mudah kerana saiz papan kekunci yang besar. Terdapat pilihan untuk menggunakan kekunci yang lebih kecil, terapung atau dibelah dua. Ini adalah penawaran yang sama seperti pada iPadOS.

Skrin besar menyokong sehingga tiga aplikasi serentak. Pengguna perlu menatal tab Multi Window. Aplikasi yang menyokong Multi Window akan disenaraikan di dalam tab ini. Kerana pengenalan tab khas ini, fungsi Edge Panel tidak disertakan. Fungsi Multi Window ini amat berguna bagi mereka yang ingin melakukan lebih melakukan dua perkara serentak. Kami secara peribadi telah menggunakannya untuk menulis artikel sambil menonton penstriman langsung menerusi YouTube.

Berikut adalah beberapa fungsi-fungsi menarik yang disertakan pada setiap Galaxy Fold.

Always On Display – Skrin memaparkan notifikasi sepanjang masa tanpa menggunakan bateri yang tinggi.

Continue App – Menyambung aplikasi pada skrin hadapan terus ke skrin utama sejurus selepas skrin dibuka.

Device Care- Pusat satu hentian yang membersihkan storan, virus dan juga penggunaan RAM.

Dual Messenger – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.

Game Launcher – Mod permua yang menghalang gangguan ketika sedang bemain.

Hide Camera Cutout – Memastikan tiada elemen skrin tersorok di belakang takuk kamera yang besar pada skrin boleh lipat.

Melancarkan kamera dengan pantas – Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.

Navigation Bar – Dua pilihan navigasi iaitu tri-butang atau Full Screen Gesture. Kedudukan butang navigasi juga boleh diubah ke kiri, kanan dan tengah mengikut keselesaan.

Night Mode – Tema gelap pada keseluruhan antaramuka bagi mengurangkan penggunaan bateri.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dilakukan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali atau tatalan dari bawah ke atas skrin.

Pengecasan Nirwayar Dua Arah – Peranti boleh dicas semula secara nirwayar dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar.

Samsung DeX – Kini boleh berfungsi pada PC dan Mac selain boleh dipaparkan pada TV atau monitor secara sambungan berkabel. Masih tiada DeX secara nirwayar seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Kamera

Empat kamera utama menggabungkan sensor 12+12+16+3D TOF Megapixel (f/1.5+f/2.4)+f/2.4+f/2.2 dengan sensor terbesar digunakan pada lensa sudut ultra-lebar. Konfigurasi kamera ini adalah sama seperti pada S10 5G dan Note 10+. Dengan kamera TOF, peranti boleh melakukan kesan khas peranti terimbuh dan menghasilkan kesan bokeh lebih tepat. Sistem telefoto masih lagi hanya 2X seperti yang ditemui pada Galaxy S9+ dan Galaxy Note 9. Sokongan zoom digital pula adalah sehingga 10X. Dengan P30 Pro, Mate 30 Pro dan Oppo Reno 10X Zoom menyokong sistem zum nirhilang yang lebih baik, kamera Fold sedikit ketinggalan zaman kemampuannya.

Pada bahagian hadapan pula sensor sebesar 10-Megapixel f/1.9+f/2.2 digunakan untuk rakaman swafoto beresolusi tinggi sehingga 4K 30FPS. Walaupun hanya dilengkapi satu kamera, ia masih boleh melakukan fungsi Live Focus yang memberikan kesan khas bokeh boleh dilakukan di dalam mod swafoto.

Akhir sekali ialah dwi-kamera 10+8 Megapixel dalam lipatan skrin dengan sokongan rakaman video 4K 30FPS. Ini ialah kamera yang digunakan sebagai kamera hadapan pada Galaxy S10+. Dengan katan lain sistem kamera Fold adalah seperti GoTenks yang bergabung di dalam komik Dragoball Z. Maka tidak mengejutkan “SNote10+” menyokong kesemua mod kamera S10+ dan Note 10+.

Peranti boleh menangkap gambar dengan nisbah 4:3, 16:9, 19:9 dan 1:1. Untuk video pula terdapat kemampuan merakam video pada tetapan maksimum 4K 60 dengan HDR. Mod-mod kamera yang disertakan adalah seperti Panorama, Live-Focus, Pro, Instagram dan Super Slow Motion.

Kualiti Gambar

Kerana penggunaan sensor yang sama, kemampuan fotografi dan videografi pada Fold adalah sama seperti yang ditemui pada Note 10+. Penghasilan warna dan ketajaman gambar adalah amat memuaskan dalam situasi pencahayaan yang baik. Sistem kecerdasan buatan Scene Optimiser memastikan tetakan yang paling tepat digunakan untuk setiap gambar yang diambil. Tahun ini Samsung mengubah algoritma pada perisian kamera mereka untuk menghasilkan gambar yang lebih kelihatan semula jadi berbanding peranti mereka yang terdahulu.

Komen biasa yang kami dengari ialah gambar terlalu tajam dengan saturasi yang dinaikkan lebih tinggi. Hasilnya ialah gambar yang sedap mata dipandang tetapi tidak mudah untuk disunting kemudian di dalam komputer. Bagi kebanyakan pengguna biasa ini bukanlah masalah besar kerana berapa ramai di kalangan pengguna yang menyunting gambar pada komputer di tahun 2019?

Tetapi bagi peminat fotografi, gambar dari Fold yang telah dipra-proses adalah sukar untuk disunting. Baik atau buruknya kualiti gambar Fold dalah amat bergantung kepada setiap pengguna. Kami secara peribadi merasakan gambar yang diambil adalah amat memuaskan tetapi tidak sebaik yang boleh diambil menggunakan iPhone 11 Pro Max atau Mate 30 Pro. Sampel-sampel gambar adalah seperti di bawah.

Berikiat pula ialah sampel gambar dari lensa ultra sudut lebar dan juga zum 5X. Kesan mata ikan dengan bahagian sisi ime yang melengkung dapat dilihat jelas apabila menggunakan lensa ultra sudut lebar. Kemampuan zum sehingga 5X adalah memuaskan tetapi harus diakui tidak mampu memandingi P30 Pro atau Mate 30 Pro.

Mod malam juga sekali lagi memuaskan tetapi bukan yang terbaik di dalam kelas. Gambar adalah terang tetapi mempunyai sedikit hingar. Keterangan gambar pula tidak setanding P30 Pro. Kelebihan yang boleh kami berikan ialah mod malam boleh digunakan pada kesemua lensa tidak terhad seperti pada iPhone 11 Pro Max.

Rakaman video juga adalah lebih baik berbanding P30 Pro dan Mate 30 Pro tetapi di belakang iPhone 11 Pro Max. Audio yang dirakam adalah jelas dan paling penting sekali adalah lebih sekata berbanding peranti Huawei. Seperti tahun lalu, juara rakaman video pada peranti mudah alih masih lagi dipegang oleh Apple tahun ini menerusi 11 Pro Max.

Sebagai kesimpulan Galaxy Fold mempunyai kemampuan kamera yang setanding dengan Note 10+. Ini meletakkannya diantara lima peranti dengan kemampuan video dan fotografi terbaik untuk tahun 2019.

Audio

Audio pada tablet secara lazimnya lebih baik berbanding pada telefon pintar. Saiz tubuh lebih besar membolehkan pembesar suara yang lebih senonoh dengan kebuk akustik lebih baik dipasang seperti yang boleh dilihat pada iPad Pro dan Galaxy Tab S6. Kemampuan audio Fold jatuh ditengah-tengah telefon pintar dan tablet.

Mulakan dengan positif terlebih dahulu. Terdapat sokongan audio stereo sebenar lengkap dengan Dolby Atmos pada peranti ini. Kedua-dua pembesar suara yang besar diletakkan pada dua “sayap” Fold yang bertentangan. Apabila Dolby Atmos diaktifkan, kerangupan treble, dentuman bass dan kelantangan audio boleh didengari dengan jelas. Pada tahap audio tertinggi sekalipun audio masih lagi bagi dengan pengasingan audio yang amat memuaskan. Audio yang baik ini membuatkan menonton video dan permua seperti COD Mobile amat mengasyikkan.

Perkara negatif terletak pada tiada lagi bicu audio. Walaupun kini kini di bulan November kami masih sukar untuk tidak mengatakan ketiadaan bicu audio sebagai bukan isu besar. Selain itu tiada komen negatif yang boleh kami berikan mengenai audio pada Fold.

Penanda Aras

Kerana pelancaran peranti ditangguh dari suku kedua ke suku ketiga 2019. Fold hanya sekadar menggunakan cip Snapdragon 855. Sekiranya anda memerlukan peranti Samsung dengan Snapdragon 855, Fold ialah satu-satunya yang dijual secara rasmi di Malaysia. Ia sedikit perlahan berbanding Snapdragon 855+ yang digunakan pada Asus ROG Phone 2 misalnya.

Dalam ujian penanda aras Geekbench 5 ia mencatatkan 724 markah dalam ujian satu teras dan 2573 markah dalam ujian multi teras. Seterusnya dalam ujian Antutu 3D pula, ia mencatatkan 441983 markah. Kesemua markah yang dicatatkan adalah cukup baik bagi peranti mercu Android 2019 tetapi di belakang iPhone 11 Pro Max yang merajai carta prestasi Amanz pada waktu ini.

Sebagai peringatan peranti mercu Apple ini mencatatkan 1334 markah untuk ujian satu teras dan 3190 markah untuk ujian multi-teras dalam ujian Geekbench 5. Dalam ujian Antutu 3D pula ia mencatatkan 457,695 markah.

Sungguhpun begitu dari segi kemampuan dunia sebenar kami merasakan Fold adalah jauh lebih baik berbanding iPhone 11 Pro Max. Perisian yang digunakan tidak mempunyai sebarang pepijat. Penggunaan peranti amatlah lancar dengan sehingga 16 aplikasi boleh dilancarkan serentak tanpa ia menjalani proses segar semula apabila dibuka semula.

Apa yang kami pelajari pada tahun 2019 ialah perisian adalah lebih penting berbanding perkakasan. iOS 13 yang bermasalah membuatkan perkakasan berkuasa iPhone 11 Pro Max kami tidak bermakna. Pada Mate 30 Pro tanpa GMS peranti dengan rekaan menarik dan kemampuan kamera yang menakjubkan juga tidak bermakna. Jika peranti yang berfungsi dengan lancar sepanjang masa adalah perlu bagi anda, Fold amat kami sarankan bersama dengan Note 10+. Kedua-duanya adalah raja multi-tugas 2019 kerana dilengkapi 12GB RAM.

Bateri

Walaupun dilengkapi dwi skrin, bateri yang digunakan hanya sebenar 4380mAh. Ini bersamaan dengan 80mAh lebih besar berbanding Note 10+ dan 120mAh lebih kecil berbanding Huawei Mate 30 Pro. Kami mempunyai kerisauan ini ialah kapasiti bateri yang terlalu kecil untuk Fold tetapi jangkaan kami meleset.

Dalam penggunaan biasa, Fold mampu bertahan sehingga 12 jam dengan skrin terpasang selama 8 jam. Hayat penggunaan boleh mencecah 26 jam dengan skrin terpasang selama 6 jam jika peranti digunakan dengan lebih berhati-hati. Kami merasakan ini adalah hayat bateri yang sederhana sahaja tetapi boleh dimaafkan kerana ia adalah peranti generasi pertama. Tiada penanda aras untuk peranti dengan dwi skrin boleh lipat di pasaran sebelum ini.

Yang tidak boleh dimaafkan ialah masa pengecasan selama 2 jam kerana ia hanya menyokong pengecasan 15W sahaja pada waktu ini. Note 10+ dengan bateri 4300 mAh boleh dicas dalam masa hanya 70 minit kerana menyokong pengecas 18W yang disertakan dengan setiap pembelian. Untuk memastikan kejayaan peranti boleh lipat mereka, Samsung perlu menyokong sistem pengecasan yang lebih pantas. Sasaran Fold ialah golongan profesional dan mereka pastinya tidak mahu menanti dua jam untuk bateri dicas sepenuhnya.

Kesimpulan

Samsung Galaxy Fold ialah peranti paling inovatif pernah kami gunakan sejak Asus PadFone 2 tujuh tahun yang lalu. Ia benar-benar membawakan beberapa pembaharuan yang bukan sekadar gimik sekaligus mengubah definisi apakah sebuah telefon pintar dan perkara yang boleh anda lakukan dengannya.

Kami jatuh hati dengan skrin sekundernya yang besar. Melayari web, membaca buku elektronik, menikmati gambar Instagram, menonton kandungan video dan menangkap gambar adalah amat berbeza sekali. Fold ialah sebuah tablet Android yang masih boleh disimpan di dalam poket seluar dengan cukup selesa.

Bagi mereka yang kerap bertugas di luar pejabat, Fold ialah “telefon pintar” pertama yang  boleh menggantikan sebuah komputer riba kerana kombinasi kuasa memproses yang tinggi, sistem multi tugas terbaik di dalam kelasnya dan skrin yang cukup besar. Tiada peranti lain di pasaran Malaysia sekarang yang menawarkan pakej yang cukup lengkap ini.

Tetapi paling penting sekali ialah Fold membawakan perubahan rekaan telefon pintar yang paling besar sejak pengenalan iPhone lebih dua belas tahun yang lalu.

Rekaannya yang unik ini sebenarnya adalah pedang bermata dua buat Samsung. Perkara positif ialah Fold membuatkan peranti yang dahulu dianggap mustahil menjadi realiti. Perkara negatifnya ialah mewujudkan beberapa perkara baharu yang tidak wujud selama ini.

Skrin boleh lipat Fold mempunyai garisan yang amat ketara pada kawasan lipatan. Kerana diperbuat daripada plastik ia juga lebih terdedah kepada kerosakan tidak seperti skrin kaca. Ketahanan jangka panjang sebenar Fold di luar makmal juga masih lagi misteri kerana ia peranti generasi pertama.

Kemampuan kalis air yang menjadi standard pada peranti mercu sejak lima tahun kebelakangan ini juga tidak disokong. Terdapat terlalu banyak lubang terbuka yang boleh dimasuki air dan debu pada Fold yang menjadikannya antara peranti paling sensitif pernah dihasilkan dalam sejarah telefon mudah alih.

Tetapi walaupun terdapat beberapa kelemahan yang ketara kami masih boleh menyarankan Fold kepada pengguna yang mampu kerana ia adalah amat unik. Jika anda ingin penjadi pengguna terawal peranti yang akan mengubah rekaan peranti mudah alih untuk tahun-tahun mendatang, Fold dihasilkan khusus untuk anda dan membuktikan peranti skrin boleh-lipat mempunyai masa depan yang agak cerah untuk menjadi rekaan standard telefon pintar akan datang.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Peranti yang paling unik dan inovatif di pasaran pada waktu ini.
  • Skrin yang amat besar seakan tablet tetapi boleh dilipat untuk menjadi sekecil sebuah phablet.
  • Spesifikasi yang baik. Peranti multi-tugas terbaik di dalam kelasnya kerana kombinasi pemproses dan RAM yang mantap.
  • Kemampuan kamera yang amat memuaskan.
  • Hayat bateri yang lebih baik dari yang dijangka.
  • Kemampuan audio amat baik dengan sistem Dolby Audio.
  • Sistem pengecasan 15W adalah perlahan berbanding peranti mercu yang lain.
  • Skrin plastik mudah calar dan masih tidak diketahui ketahanannya di dunia sebenar.
  • Takuk yang agak besar pada bahagian dalam.
  • Peranti agak berat untuk penggunaan yang lama.
  • Tidak kalis air dan debu seperti peranti mercu yang lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd