5 Sebab Peranti Skrin Boleh Lipat Akan Berkubur Sebelum Sempat Bertatih

5 Sebab Peranti Skrin Boleh Lipat Akan Berkubur Sebelum Sempat Bertatih

Diterbitkan pada June 20, 2019 oleh .

Kita sudah berada di pertengahan Jun dan Samsung Galaxy Fold telah ditangguhkan dari tarikh pelancaran asalnya April lalu. Huawei Mate X pula telah ditangguhkan jualannya ke bulan September walaupun diperlihatkan kepada umum pada bulan Februari. Ia pada asalnya akan diumumkan pada bulan Jun. Sementara itu Royole FlexPai yang merupakan peranti skrin boleh lipat pertama dunia sehingga kini tidak dijual.

Di dalam kes Galaxy Fold, jualan ditangguhkan selepas masalah kerosakan skrin yang serius dilaporkan oleh pengguna-pengguna awal. Pihak Samsung berkata Galaxy Fold kini telah bersedia untuk dipasarkan semula dengan kebanyakan masalah paparan skrin telah berjaya diselesaikan.

Kegagalan pelancaran ketiga-tiga peranti dengan skrin boleh lipat ini mungkin petanda paling jelas bahawa ia akan berkubur sebelum sempat bertatih. Penangguhan satu peranti baharu adalah normal tetapi apabila tiga berlaku serentak ianya jarang-jarang seperti teka-teki filem Nujum Pak Belalang.

1. Tiada Permintaan Sebenar Dari Pengguna

Saya mengeluarkan kenyataan ini kerana sejak dari awal bukanlah peminat peranti dengan rekaan skrin boleh lipat. Masalah pertama yang dihadapi oleh Huawei, Royole dan Flexpai ialah mereka mewujudkan peranti yang tidak pernah diminta oleh majoriti pengguna. Sejak terjun ke dalam dunia teknologi lapan tahun yang lalu, saya tidak pernah mendengar seorangpun berkata “alangkah baiknya jika wujud telefon pintar yang boleh berubah menjadi sebuah tablet apabila diperlukan”.

Tanya diri anda sekarang. Jawab soalan di atas dengan jujur seperti anda berada di dalam kandang saksi di mahkamah. Saya berani bertaruh lima teh bebola Xing Fu Tang anda tidak pernah berminat untuk memiliki peranti dengan skrin sesentuh boleh lipat.

Majoriti pengguna sudah menggunakan telefon pintar mereka yang ketiga dan ke atas (dalam kes saya yang ke 264). Selepas membeli peranti ketiga, ramai sudah tahu saiz skrin apakah yang paling selesa digunakan. Pada pertengahan 2019, saiz skrin sekitar 6″ dengan nisbah 18:9 adalah yang paling optimum untuk penggunaan seharian. Menonton video, membaca laman web dan menggunakan Facebook cukup selesa dilakukan pada skrin ini. Dengan kata lain tiada permintaan dari majoriti pengguna untuk peranti dengan rekaan sebegini. Tanpa permintaan yang kukuh produk akan mengalami kegagalan.

2.Harga Jualan Yang Terlalu Mahal Dari Biasa

Huawei Mate XSalah satu perkara yang sering saya lakukan pasca pelancaran peranti ialah melakukan infografik perbandingan. Tanpa gagal pasti ada beberapa hamba Allah merungut apabila peranti dijual pada harga mencecah RM2000 kerana dirasakan terlalu mahal. Sejak wujudnya Xiaomi, pengguna kini lebih bijak sebelum membelanjakan wang yang banyak pada peranti baharu. Sebagai contoh Xiaomi Mi 9 dengan spesifikasi mercu tetapi dijual pada harga RM1999 sahaja untuk versi paling tinggi. Samsung Galaxy S10+ dengan spesifikasi yang hampir setanding dijual pada harga RM3699.

Ini membawa kita kepada harga jualan Galaxy Fold sekitar RM8100 dan Mate X pula hampir RM11,000. Di kepala pengguna biasa, Mate X bukanlah sebuah peranti yang lima kali ganda lebih baik berbanding Mi 9. Malahan saya sendiri walaupun sendiri yang merupakan golongan sasaran untuk Mate X merasakan adalah lebih berbaloi membeli sebuah iPhone XS Max 512GB (RM 7049) dan sebuah iPad Mini 256GB selular (RM 2899) yang hanya akan mengakibatkan dompet robek sebanyak RM9948 sahaja.

Psikologi manusia akan sering mencari nilai yang lebih baik dan mendapat dua peranti Apple (skrin 6.5″ dan 7.9″) pada harga lebih murah adalah lebih berbaloi berbanding hanya sebuah peranti skrin boleh lipat Huawei (skrin 6.6″ dan 8″) atau Samsung (skrin 4,6″ dan 7.3″). Pengguna turut boleh melihat iPad Pro dan iPhone XS Max adalah dua peranti yang mempunyai spesifikasi yang jauh lebih baik dengan sokongan perisian lebih konsisten.

3. Jumlah Aplikasi Yang Dibangunkan Khusus Untuk Skrin Boleh Lipat

Samsung Galaxy FoldAplikasi adalah penting untuk memastikan kejayaan peranti. Microsoft Windows Phone gagal kerana tidak banyak aplikasi popular boleh dimuat turun pada platform ini. Apabila peranti dengan rekaan baharu diperkenalkan, ia membawakan beberapa cabaran kepada pembangun. Adakah mereka akan membelanjakan masa untuk menyokong peranti yang akan digunakan dalam jumlah yang kecil (berbanding jumlah pengguna skrin konvensional).

Selepas lapan tahun Android Honeycomb dilancarkan untuk tablet, jumlah aplikasi yang dibangunkan khusus untuk tablet masih lagi menyedihkan. Google telah mengumumkan sokongan skrin boleh lipat secara natif tetapi umum kita ketahui aplikasi biasa yang diubah secara automatik untuk menggunakan skrin Galaxy Fold misalnya, kualiti penggunaan adalah tidak sama seperti ia direka khas untuk tablet.

Menghasilkan aplikasi boleh ubah untuk dua skrin berbeza secara serentak ini pastinya bukan sesuatu yang mudah. Ditambah lagi dengan Android yang pasti ramai sedari mempunyai masalah fragmentasi versi yang tinggi, membuatkan masa depan peranti skrin boleh lipat kelihatan kelam.

4. Keraguan Ketahanan Jangka Masa Panjang

Huawei Mate XKerosakan skrin Galaxy Fold dilaporkan dalam jumlah yang tinggi dalam masa 24 jam ia diberikan kepada pengulas dan pemangkin media sosial popular. Dalam sejarah peranti mudah alih, tidak pernah kerosakan serius seperti ini berlaku secara meluas dalam tempoh yang singkat. Masalah Galaxy Note 7 yang sebelum ini menjadi insiden kerosakan paling serius dalam sejarah peranti hanya dilaporkan selepas beberapa minggu ia dilancarkan. Walaupun insiden ini berlaku tiga tahun yang lalu, impak negatifnya ke atas jenama Samsung masih dapat dilihat sehingga hari ini.

Laporan kerosakan Galaxy Fold turut tular dengan pantas di media sosial. Sebelum sempat dijual kepada umum nama produk ini telah diselubungi konotasi negatif yang agak serius. Sebelum Galaxy Fold dilancarkan Samsung mengatakan skrin tahan lentur sehingga 200,000 kali bersamaan penggunaan selama lima tahun. Ujian ini tidak boleh lagi boleh diguna pakai selepas apa yang berlaku.

Jika unit yang masih berbau kedai rosak dalam masa sehari, apakah kerosakan yang akan berlaku setahun selepas ia dibeli? Adakah engsel dengan rekaan kompleks yang digunakan cukup tahan lasak untuk penggunaan jangka panjang? Berapa pula kos menggantikan skrin jika ia rosak kelak? Skrin gantian Galaxy S10+ ditawarkan pada harga RM1972 sekeping. Ini ialah antara soalan yang muncul pada kepala saya dan majoriti pengguna yang ingin membeli Galaxy Fold.

Masalah yang sama turut boleh berlaku pada Mate X dan FlexPai. Jika skrin melipat ke dalam pada Galaxy Fold boleh rosak dengan pantas, apakah kebarangkalian rekaan skrin melipat keluar lebih tahan lasak. Rakan setugas saya Nazrin yang mencuba Mate X di MWC menulis di dalam laporan beliau:

“Bukan sahaja saya dapat merasakan klik daripada bahagian engsel Falcon Wing, bahagian lipatan paparan tersebut juga membuat bunyi seperti saya sedang menegangkan helaian plastik, dan ini membuatkan saya risau jika saya sedang merosakkan paparan tersebut”

Isu yang sama dilaporkan oleh Fazli Halim apabila mencuba Royole FlexPai. Tidak seperti kaca, plastik tidak mempunyai tahap tahan calar yang tinggi. Skrin yang sentiasa terdedah pada Mate X dan FlexPai tidak mempunyai peluang yang tinggi untuk mengalami kerosakan lebih serius sepanjang hayat penggunaannya.

5. Kegagalan Produk “Berinovasi” Sebelum Ini

Setiap beberapa tahun sekali, produk berinovasi akan dihasilkan dan kemudiannya dilupakan. Asus PadFone memperkenalkan konsep telefon pintar yang berubah menjadi tablet apabila dimasukkan ke dalam dermaga tablet PadFone Station. Motorola Moto Z memperkenalkan penggunaan pelbagai aksesori modular. Kyocera Echo dan Sony Tablet S2 pula ialah peranti dwi-skrin yang boleh menjadi sebuah tablet jika diperlukan. Ia boleh dikatakan adalah peranti yang menginspirasikan pembangunan peranti skrin boleh lipat.

Di dalam kesemua kes di atas, sambutan orang ramai adalah lebih sejuk dari suam-suam kuku. Rekan PadFone dan Moto Z menerima pujian penulis teknologi termasuk saya sendiri. Tetapi hakikatnya harga jualan kedua-duanya adalah agak tinggi. Dalam kes Echo pula ketahanan bateri adalah rendah, tiada sokongan aplikasi dan mekanisme melipat yang agak rumit menyebabkan ia berkubur.

Berdasarkan apa yang berlaku ke atas PadFone, Tablet S2 dan Echo, saya amat pesimistik peranti dengan skrin boleh lipat akan berjaya mendapat sambutan pengguna. Jika kita kembali ke alasan pertama yang saya berikan di atas, pengguna tidak pernah memerlukan sebuah peranti boleh ubah dua dalam satu. Percubaan awal Asus, Sony dan Kyocera yang gagal sepatutnya dijadikan pengajaran bukannya cabaran untuk mencuba sekali lagi.

Pengeluar peranti kerap kali cuba memperkenalkan peranti dengan fungsi baharu. Kita pernah melihat percubaan menggunakan skrin 3D, kemampuan kamera rakaman 3D, peranti yang boleh dikawal dengan pergerakan kepala, dan kamera digital Android. Memang tidak dapat dinafikan kesemua produk ini berinovasi tetapi ia tetap gagal kerana mensasarkan golongan yang terlalu niche.

Kesimpulan

Kesimpulannya ialah saya tidak dapat melihat peranti dengan skrin boleh lipat akan terus dihasilkan dalam masa tiga tahun dari sekarang. Ramalan ini telahpun saya lakukan pada Mac yang lalu dalam podcast Sembang Lebat. Ini dilakukan sebelum masalah pada peranti Galaxy Fold dilaporkan dan Huawei dihalang dari menggunakan sistem operasi Android. Jika anda mahu mendengar perdebatan sidang redaksi Amanz mengenai peranti skrin boleh lipat, anda boleh menontonnya di bawah.

 


TIPS & ULASAN