Carian
10 Gimik Jualan Peranti Yang Tidak Lagi Diteruskan
June 7, 2017 Effi Saharudin

HTC U11 ialah peranti dengan gimik jualan tubuh yang boleh dipicit bagi melancarkan pelbagai aplikasi. Pada pendapat kami U11 ialah sebuah peranti yang baik tetapi sistem Edge Sense yang digunakan hanya mempunyai fungsi yang terhad.

Oleh itu kami merasakan ia hanyalah gimik jualan semata-mata. Ini membuatkan kami terfikir beberapa lagi gimik jualan yang digunakan untuk melariskan jualan peranti. Berikut ialah senarai 10 gimik jualan yang pernah digunakan dan kini tidak lagi diteruskan atas pelbagai sebab.

1. Peranti Menjejak Pergerakan Kepala

Amazon memasuki dunia penghasilan telefon pintar dengan Amazon Fire Phone pada Jun 2014. Percaturan pertama mereka ini hadir dengan sebuah fungsi unik yang tidak ditemui pada peranti-peranti lain di pasaran diberi nama Dynamic Perspective.

Dengan Dynamic Perspective, elemen pada telefon akan bergerak mengikut pergerakan kepada pengguna. Di dalam aplikasi pemetaan misalnya, pandangan 3D boleh berubah dengan hanya mengubah kedudukan kepala. Empat buah kamera diletakkan pada bahagian hadapan bagi menyokong sistem ini. Selain daripada aplikasi pemetaan, latar belakang 3D paralaks dan navigasi mengesan pergerakan juga disertakan.

Mengapa rekaan Ini Pupus?

Seperti Smart Stay dan Smart Scroll pada peranti Samsung, fungsi mengesan pergerakan kepala ini lebih indah di atas kertas dari kegunaan di dunia sebenar. Empat kamera pada bahagian hadapan (lima jika kamera selfie diambil kira) membuatkan peranti kelihatan aneh dengan bezel yang tebal. Tiada Amazon Fire Phone 2 dihasilkan kerana jualan peranti ini yang gagal memenuhi sasaran Amazon.

2. Peranti Tubuh Melengkung

Peranti dengan skrin dwi-lengkung kini sudah menjadi rekaan yang semakin biasa dilihat. Ia bermula dengan Samsung Galaxy Note Edge sebelum digunakan secara meluas pada peranti S6 dan ke atas. Rekaan dwi-lengkung kini digunakan juga oleh pengeluar lain seperti Leagoo dan Huawei.

Satu rekaan melengkung yang kini sudah pupus ialah rekaan tubuh melengkung. Ia pertama kali kami lihat pada Nokia 8110 yang lebih dikenali sebagai Nokia Pisang yang digunakan di dalam filem The Matrix. Galaxy Nexus ialah peranti pintar pertama dengan rekaan tubuh melengkung sebelum menjadi lebih ekstrem pada Galaxy Round.

Mengapa Rekaan Ini Pupus?

Besar kemungkinan kerana telefon pintar kini lebih digunakan sebagai pemain media dan bukan lagi untuk melakukan panggilan telefon. Tubuh melengkung memudahkan peranti melekap pada muka tetapi tetapi tidak kelihatan menarik untuk digunakan apabila menonton video.

3. Telefon Pintar Menjadi Tablet

Pada tahun 2012 Asus menghasilkan peranti unik yang menggabungkan rekaan telefon pintar dengan sebuah tablet. Asus Padfone ialah sebuah peranti dengan skrin 4.3″ yang berubah menjadi tablet 10.1″ apabila dimasukkan ke dalam Padfone Station. Hanya satu peranti perlu dibeli pengguna untuk menggunakan kedua-dua peranti.

Rekaan peranti hibrid ini kemudian ditiru oleh beberapa projek Kickstarter seperti Isocase. Kali terakhir Asus menghasilkan peranti dua dalam satu ini ialah pada tahun 2014 dengan Asus Padfone Mini. Selepas itu ia tidak lagi diteruskan.

Mengapa rekaan Ini Pupus?

Jualan tablet sudah semakin merosot sejak tiga tahun kebelakangan ini. Telefon pintar dengan skrin lebih besar membuatkan tiada lagi keperluan untuk membeli tablet. Tidak mengejutkan peranti Padfone juga dihentikan pada waktu yang sama berlakunya perubahan trend pengguna ini.

4. Telefon Mini Sekunder

Kita kembali semula ke tahun 2013 dan masihkah anda ingat kewujudan aksesori aneh HTC Mini+. Mini+ ialah telefon sekunder yang ditambat kepada sebuah peranti pintar. Ia boleh digunakan untuk melakukan panggilan telefon, menjadi alat kawalan jauh (dengan pemancar infra merah terbina) dan mengawal peranti dari jarak jauh (menjadi pengawal kamera dan slaid pembentangan).

Ia adalah aksesori yang perlu dibeli secara berasingan. Sehingga hari ini kami tidak pernah melihat HTC Mini+ dengan keempat-empat mata kami kerana ia sebuah produk yang amat jarang ditemui.

Mengapa Rekaan Ini Pupus?

Kerana beberapa fungsi Mini+ sepatutnya menjadi standard pada peranti pintar. Majoriti peranti pintar sekarang tidak lagi dilengkapi pemancar infra merah dan ini adalah mengecewakan kami. Hakikatnya ialah tidak ramai pengguna mahu memiliki peranti mini kedua yang perlu dicas dan dibawa kemana-mana.

5. Projektor Terbina

Logic Bolt ialah telefon pintar pertama dengan projektor terbina dan muncul pada tahun 2009. Pada peranti pintar, Samsung I8520 Galaxy Beam mempopularkannya pada tahun 2010. Hanya dua lagi model dihasilkan selepas itu iaitu Galaxy Beam dan Galaxy Beam 2. Peranti pintar terakhir dengan projetor terbina ialah tablet Lenovo Yoga Tab 3 Pro. Sistem projektor mini ini turut dihasilkan sebagai aksesori Moto Mods untuk Moto Z dan Z Play tahun lalu.

Kesemua peranti-peranti ini dihasilkan dengan tujuan memudahkan pengguna menonton video atau melakukan pembentangan tanpa memerlukan projektor. Idea yang menarik tetapi tidak mendapat sambutan menggalakkan.

Mengapa Rekaan Ini Pupus?

Penggunaan bateri yang tinggi, paparan kurang jelas, hayat mentol yang pendek dan masalah kepanasan membuatkan peranti dengan projektor terbina tidak praktikal. Moto Mods yang dihasilkan Lenovo adalah rekaan yang paling baik pernah kami lihat tetapi harga jualannya adalah agak mahal. Di akhir hari peranti niche dengan pasaran yang kecil ini pupus kerana kurangnya minat dari pengguna.

6. Tongkat Terbina

Peranti pintar kini menjadi pemain media mudah alih paling popular di dunia. Lebih ramai menonton video menggunakannya berbanding pada kaca TV atau komputer. Oleh itu peranti dengan tongkat terbina HTC Evo muncul di pasaran pada Jun 2010. Ini ialah rekaan yang membolehkan peranti ditegakkan di mana-mana permukaan dengan mudah. Beberapa peranti HTC dan Motorola turut menggunakan rekaan inovatif ini sebelum ia tiba-tiba tidak lagi ditemui di pasaran sekarang.

Mengapa Rekaan Ini Pupus?

Trend peranti yang semakin nipis membuatkan rekaan tongkat terbina tidak lagi boleh dihasilkan. Ia memakan ruang sekaligus membuatkan peranti menjadi tebal. Kami pernah memiliki HTC HD7 dan dari pengalaman peribadi tongkat akan menjadi longgar selepas hampir setahun. Bagi yang memerlukan tongkat, terdapat banyak kerangka yang menyertakan fungsi ini. Menyertakan tongkat terbina pada peranti tidak lagi diperlukan.

7. Peranti Pintar Merangkap Konsol Mudah Alih

Sony Ericsson Xperia Play ialah peranti yang mempunyai banyak potensi tetapi gagal kerana muncul terlalu awal di pasaran. Ia bukan peranti mudah alih pertama yang cuba menggabungkan konsol mudah alih dengan telefon mudah alih. Nokia N-Gage ialah bapa kepada trend ini dan seperti Xperia Play turut gagal mencapai potensinya.  Kedua-duanya hadir dengan pengawal permainan terbina yang lebih responsif berbanding kawalan skrin sesentuh.

Mengapa Rekaan Ini Pupus?

Kerana teknologi yang belum cukup matang. Kualiti grafik pada N-Gage dan Xperia Play adalah rendah dengan masalah tidak lancar. Peranti Android dan iOS semasa mempunyai permainan yang kualiti grafiknya setanding dengan PlayStation 3. Teknologi bateri pada waktu dulu juga tidak cukup berkuasa untuk memberikan hayat penggunaan yang baik.

Kini terdapat banyak permainan klasik dihasilkan dalam versi permua Android dan iOS. GTA III dan Crazy Taxi misalnya tidak mempunyai feel yang sama dengan kawalan skrin sentuhan. Berita baik bagi golongan gamer ialah kini terdapat banyak aksesori alat kawalan yang boleh digunakan pada peranti pintar seperti Moto Mod  Gamepad yang dihasilkan untuk peranti Motorola.

8. Skrin 3D

Hey masihkah anda ingat kegilaan peranti dengan skrin 3D pada tahun 2011. Penggunaan kaca mata 3D tidak sesuai untuk peranti mudah alih dan teknologi skrin 3D tanpa kaca mata Nintendo 3DS digunakan. HTC Evo 3D dan LG Optimus 3D ialah dua peranti skrin 3D yang memasuki pasaran Malaysia. Dengan wujudnya skrin 3D, pengeluar berharap akan menjadi pelopor kepada trend 3D pada peranti mudah alih yang dijangka meletup. Kita kini di tahun 2017 dan umum diketahui trend tiga dimensi pada peralatan elektronik telah lama pupus.

Mengapa Rekaan Ini Pupus?

Sekali lagi ini adalah kerana limitasi teknologi. Skrin 3D yang digunakan membuatkan pengguna terasa mual. Video 3D pada peranti mudah alih tidak mengujakan langsung seperti menonton pada skrin IMAX panggung wayang. Jika mahu menonton 3D sekarang tiada peranti mahal perlu dimiliki. Pengguna hanya perlu mempunyai sebuah Google Cardboard yang jauh lebih murah.

9. Rakaman Gambar Dan Video 3D

Teknologi skrin 3D muncul pada waktu yang sama dengan rakaman gambar dan video 3D. HTC dan LG menjadi pelopor teknologi ini dan taruhan mereka tidak mendatangkan hasil. Seperti kami katakan di atas, video 3D pada skrin peranti yang kecil (Evo 3D mempunyai skrin 4.3″) tidak mengujakan. Video yang dirakam juga sukar dikongsi kepada pengguna lain. Seperti teknologi skrin 3D, rakaman 3D juga pupus walaupun semakin banyak peranti di pasaran sekarang dilengkapi dwi-kamera.

Mengapa Rekaan Ini Pupus?

Sama seperti sebab mengapa skrin 3D pupus dari pasaran. Ia tidak diperlukan langsung oleh majoriti pengguna.

10. Skrin Boleh Lipat

Kyocera Echo, satu-satunya peranti dalam ingatan kami yang menggunakan teknologi unik skrin boleh lipat. Dua buah skrin 3.5″ digunakan pada peranti dwi-skrin ini. Pada tahun 2011 semasa ia dilancarkan, saiz skrin gabungan yang dihasilkan boleh dianggap besar. Ia bukanlah peranti yang praktikal dengan masalah tiadanya sokongan meluas dari pembangun aplikasi. Sony S2 turut menggunakan skrin boleh lipat berganda dan seperti Echo, tiada peranti susulan dihasilkan.

Walaubagaimanapun tidak seperti sembilan gimik sebelum ini, skrin dengan skrin boleh lipat akan kembali kerana sedang diuji oleh Samsung menerusi Project Valley. Sekiranya Samsung tidak melakukan kesilapan yang sama seperti Kyocera, mungkin gimik skrin boleh lipat ini akan menjadi ikutan pengeluar lain pula.

Mengapa Rekaan Ini Pupus?

Tidak praktikal, tiada sokongan pembangun aplikasi dan memakan bateri. Ini mungkin gimik paling gagal dalam sejarah peranti pintar.


Ini ialah senarai 10 gimik yang tidak mendatangkan hasil. Edge Sense pada U11 sebenarnya akan lebih berguna sekiranya terdapat sokongan aplikasi lebih mendalam. Kami berharap ia boleh diperhalusi supaya tidak menerima nasib yang sama seperti senarai di atas. Menarik sekali kebanyakan “inovasi” di atas pernah digunakan pada peranti HTC dan kini tidak lagi diteruskan. Bagaimana pula dengan anda? Apakah gimik jualan yang anda rasakan gagal?

Komen