Oppo Reno4 SE Dilancarkan – Sokong Tri-Kamera Utama, Pengecasan Pantas 65W

Oppo Reno4 SE Dilancarkan – Sokong Tri-Kamera Utama, Pengecasan Pantas 65W

Diterbitkan pada Sep 21, 2020 oleh .

Oppo Reno4 dan Oppo Reno4 Pro telah diperkenalkan sebelum ini dengan sejumlah teknologi yang inovatif, selain tampil dalam reka bentuk penuh bergaya. Namun begitu, variasi untuk pasaran Malaysia adalah berbeza dengan penawaran untuk pasaran China dari segi pemproses dan sokongan kamera utama.

Dalam perkembangan terkini, sebuah lagi model di bawah siri ini telah dilancarkan di China. Dikenali sebagai Oppo Reno4 SE, peranti ini dilihat masih ‘meminjam’ sejumlah spesifikasi daripada adik-beradiknya yang lain seperti pengecasan pantas 65W dan sokongan rangkaian 5G terbina. Namun masih terdapat perbezaan yang agak ketara untuk sejumlah aspek.

Oppo Reno 4 SE hadir dengan skrin bersaiz 6.43-inci AMOLED bersama kadar segar semula standard 60Hz. Seterusnya, ia dijanakan oleh cip pemproses MediaTek Dimensity 720 dengan memori 8GB RAM (LPPDR4x) dan storan sehingga 256GB (UFS 2.0). Bagaimanapun, ruangan ini tidak boleh dikembangkan.

Untuk kamera, konfigurasi tiga lensanya terdiri dengan 48-Megapixel (utama) (f/1.7) + 8-Megapixel (ultra-lebar) (f/2.2) + 2-Megapixel (makro) (f/2.4). Kamera hadapannya pula sebesar 32-Megapixel (f/2.4). Baterinya pula sebesar 4,300mAh yang menyokong teknologi pengecasan pantas 65W Super VOOC Fast Charge 2.0. Spesifikasi lain termasuk sokongan dwi SIM, rangkaian 5G terbina, Bluetooth 5.0, sambungan USB-C dan bicu audio 3.5mm.

Oppo Reno 4 SE hadir dalam tiga pilihan warna seperti Super Flash Black, Super Flash White dan Super Flash Blue. Peranti ini ditawarkan pada harga bermula RMB2,499 (~RM1,518) untuk versi asas. Buat masa ini, ia hanya ditawarkan untuk pasaran China sahaja.



TIPS & ULASAN