Cari @ Amanz

Hari ini, OnePlus secara rasmi telah mengacah kehadiran peranti OnePlus 8T 5G versi Ultra. Dengan Oxygen OS yang mengambil inspirasi One UI dari Samsung, tidak terkejut jika nama peranti mercu dengan spesifikasi paling tinggi ini adalah OnePlus 8T Ultra 5G (mirip Galaxy S20 Ultra 5G).

Dalam video acah ini, OnePlus turut memperlihatkan sedikit imej pengolokan rasmi. Ia mengesahkan yang OnePlus 8T Ultra 5G ini akan menggunakan skrin rata. Serta jelas kelihatan tiada kamera swafoto di bucu skrin, mungkin rekaan skrin berlubang untuk kamera swafoto kali ini adalah di tengah-tengah.

Laman Instagram rasmi OnePlus Malaysia turut mula mengacah kehadiran peranti ini. Pertama mereka mengubah nama dari @oneplus.nord.my kepada @oneplus.msia. Kemudian, ini memberi petanda yang peranti mercu baru OnePlus ini akan dibawa masuk secara rasmi oleh OnePlus sendiri dan bukan lagi pengedar pihak ketiga.

Kapsyen imej di Instagram ini turut memberi petanda yang sesuatu “ultra” menarik bakal tiba. OnePlus 8T 5G dikhabarkan akan menggunakan sistem pengecasan pantas 65W, skrin 120Hz dan akan dilancarkan secara rasmi 14 Oktober ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd