TicWatch Pro 3 GPS Dilancarkan – Snapdragon Wear 4100, Dwi-Skrin, Wear OS Dan Bateri 45 Hari

TicWatch Pro 3 GPS Dilancarkan – Snapdragon Wear 4100, Dwi-Skrin, Wear OS Dan Bateri 45 Hari

Diterbitkan pada Sep 25, 2020 oleh .

TicWatch Pro adalah jam tangan pintar Wear OS paling menarik yang pernah kami gunakan di Amanz. Walaupun pengalaman penggunaan adalah mengecewakan kerana prestasi yang perlahan, tetapi ketahanan bateri dan konsep dwi-skrin pada jam ini membuatkan kami tinggalkan Apple Watch untuk seketika.

Jam ini kemudian dikemaskini ke versi 4G yang menyokong eSIM, tetapi terhad dengan pelan Verizon di luar negara sahaja. Kemudian, TicWatch Pro 3 mula disenaraikan di Amazon UK – membuatkan kami tidak sabar kehadiran jam ini. Akhirnya, ia sudah rasmi – Mobvoi melancarkan TicWatch Pro 3 GPS. Ia dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon Wear 4100, yang mana adalah pertama dunia. Skrin adalah 1.4-inci Retina AMOLED dan panel Dual Display 2.0 mungkin kekal FSTN LCD. Memori adalah 1GB RAM dan storan dalaman 8GB.

Ia turut kekal menjalankan Wear OS, hadir dengan sensor pengimbas nadi PPG, sensor pemecut, barometer, GPS, giroskop, sensor cahaya ambien, enjin getaran dan mempunyai dua butang fizikal. Untuk bercakap dengan Google Assistant, ia hadir dengan pembesar suara serta mikrofon. Ia turut mempunyai perlindungan IP68, ketahanan bateri mod Wear OS mencapai 3 hari serta mod LCD sehingga 45 hari. Bahan binaan adalah gabungan keluli tahan karat dan plasti untuk memastikan jam ini lebih nipis dan ringan.

Kaedah pengecasan masih lagi jenis dermaga bermagnet, dan turut kekal dengan perlindungan IP68. Mengikut trend semasa, jam ini turut menyediakan kemampuan mengukur tahap oksigen dalam darah melalui TicOxygen. TicWatch Pro 3 GPS turut mempunyai beberapa mod baru seperti senama bernafas, memantau tahap tekanan diri serta memberi amaran mengenai pencemaran bunyi.

Dengan Snapdragon Wear 4100, jam ini mempunyai 150% peningkatan kemampuan GPU, 85% CPU, serta 25% penjimatan kuasa. Terdapat satu warna sahaja yang ditawarkan, iaitu Shadow Black pada harga $299.99 – iaitu sekitar RM1,250.



TIPS & ULASAN