Kadar Radiasi Di Permukaan Bulan Didapati 200 Kali Ganda Lebih Tinggi Berbanding Bumi

Kadar Radiasi Di Permukaan Bulan Didapati 200 Kali Ganda Lebih Tinggi Berbanding Bumi

Diterbitkan pada Okt 7, 2020 oleh .

Satu langkah kecil untuk seorang lelaki, satu lompatan gergasi untuk manusia sejagat. Ini ialah kata-kata keramat yang diucapkan oleh Neil Amstrong ketika menjejakkan kaki di permukaan bulan. Selepas lebih lima dekad, Misi Artemis akan mengembalikan manusia ke satelit semula jadi bumi menjelang 2024. Kali ini dengan harapan membuka sebuah pangkalan di permukaan bagi melancarkan misi ke Marikh dan seterusnya.

Tetapi tidak seperti di bumi, bulan tidak mempunyai lapisan atmosfera yang menghalang radiasi dari matahari. Radiasi pada permukaan bulan telah akhirnya disukat oleh saintis dari Kiel University, German Aerospace Center (DLR), dan Chinese Academy of Science.

Kadar radiasi di permukaan bulan mencecah 60 mikrosieverts sejam yang bersamaan dengan sekitar 200 kali lebih tinggi berbanding d permukaan bumi. Ini juga bersamaan dengan 2.6 kali ganda lebih tinggi berbanding radiasi ke atas angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa.

Bacaan dilakukan menggunakan dosimeter yang diletakkan pada robot bulan Chang’e 4 yang dilancarkan China ke permukaan sisi jauh bulan pada tahun 2018. Dosimeter ini diletakkan di dalam sebahagian sut angkasawan bagi mendapatkan bacaan dedahan radiasi yang tepat pada tubuh mereka

Keputusan bacaan yang dilakukan hanya diterbitkan penghujung bulan lalu kerana ia adalah kajian dedahan radiasi masa panjang. Ini merupakan kali pertama ukuran radiasi permukaan bulan jangka panjang pernah dilakukan. Dengan data yang dikumpul, besar kemungkinan pangkalan bulan dan loji bahan api yang akan dibina NASA serta JAXA kelak perlu dibina bawah tanah bagi mengurangkan impak radiasi ke atas tubuh angkasawan.



TIPS & ULASAN