Cari @ Amanz

Aplikasi YouTube untuk Android kerap dikemaskini. Layanan yang diberi oleh Google adalah seperti aplikasi lain, iaitu ujian A/B untuk fungsi/ciri baharu serta pengoptimasian untuk penjimatan data. Baru-baru ini ia menerima kemaskini pemilihan kualiti video seakan Netflix. Kemudian sebelum ini, fungsi tekan untuk langkau telah dibuang untuk pengguna Android.

Terkini, pemain video YouTube turut dikemaskini. Video Chapter yang diperkenalkan pada Mei lepas, kini lebih mudah digunakan. Pengguna kin akan melihat imej kecil terpapar untuk lebih mudah melangkau ke bahagian yang diinginkan. Butang mengaktifkan sari kata ataupun auto-main turut diubah lokasinya agar mudah digunakan oleh pengguna. Kemaskini ini dikatakan turut akan diuji untuk pengguna desktop tidak lama lagi.

Kawalan gestur baharu turut hadir dalam kemaskini ini. Pengguna kini hanya perlu membuat satu tatalan ke atas untuk memainkan video dalam skrin penuh. YouTube turut kini boleh menyokong cadangan pengalaman menonton yang lebih baik. Misalnya, jika sesuatu video itu lebih baik ditonton dalam mod VR – YouTube akan keluarkan cadangan tersebut.

Seperti biasa, beberapa kemaskini baharu ini akan diedarkan secara berperingkat. Pada peranti OnePlus 8T kami, fungsi ini masih belum kelihatan lagi. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd