Xiaomi baru-baru ini telah menyertai arena jam tangan pintar, selepas sekian lama memfokuskan kepada penjejak kesihatan seperti Mi Band. Melalui beberapa variasi jam tangan pintar mereka seperti Mi Watch dan Mi Watch Color, Xiaomi bakal tambah satu lagi mod baharu yang mungkin akan dijual pada harga yang lebih murah.

Mi Watch adalah jam tangan pintar sebenar yang menjalankan MIUI for Watch berasaskan Wear OS. Mi Watch Color pula adalah variasi yang lebih rendah dengan sistem operasi tersendiri. Ia lebih seakan penjejak kesihatan, tetapi dalam bentuk jam. Model terkini pula dikatakan adalah Mi Watch Lite. Mi Watch Lite, dilihat mempunyai fungsi seakan Mi Watch Color dan Mi Band. Ia adalah jam tangan pintar asas.

Melalui rekaan yang tertiris, ia kelihatan seakan Amazfit Bip. Huami iaitu syarikat yang menghasilkan Mi Band, adalah syarikat di sebalik jenama Amazfit. Mungkin Mi Watch Lite ini mengambil inspirasi yang sama. Tetapi besar kemungkinan, tidak dihasilkan oleh Huami seperti Mi Watch Color.

Mi Watch Lite akan menggunakan skrin HD berwarna 1.41-inci, hadir dengan sokongan imbasan nadi 24 jam, perlindungan air 50 meter dengan sokongan mod berenang, pelbagai mod sukan terbina dan juga GPS. Bergantung kepada pasaran, jam ini turut mungkin akan menjadi Redmi Watch seperti yang dikhabarkan sebelum ini.