Pada bulan Mei lepas, ARM telah mengumumkan kehadiran CPU Cortex-A78, Cortex-X1 dan GPU Mali-G78. Ia adalah untuk kegunaan cip pemprosesan pada tahun 2021 kelak. Salah satu cip pemproses ini adalah dari Samsung, iaitu Exynos 1080 yang akan dilancarkan pada 12 November ini.
Terkini, MediaTek dikhabarkan akan hadir dengan dua cip pemprosesan berasaskan Cortex-A78 dengan rekaan 5nm dan 6nm. Menurut sumber, cip ini adalah cip untuk kelas mercu sebagai pengganti kepada Dimensity 1000. Seperti yang ramai sedia maklum, walaupun spesifikasi cip MediaTek di atas kertas kelihatan hebat dan dikhususkan untuk peranti mercu – ia masih lagi terhad. Dimensity 1000 dan 1000+ dilihat hanya digunakan pada peranti iQOO Z1 5G, Realme X7, Redmi K30 Ultra dan LG Velvet edisi T-Mobile.
Kemudian disebabkan cip pemprosesan MediaTek berharga murah, ia banyak digunakan pada peranti kelas pertengahan. Contoh Samsung Exynos 1080 akan datang adalah untuk peranti kelas pertengahan. Exynos 1080juga telah mempunyai skor tanda aras lebih hebat dari Snapdragon 865+, adakah ini bermakna kita akan lihat cip MediaTek baharu yang lebih hebat dari Snapdragon?