Spesifikasi Siri Huawei Nova 8 Kini Tertiris – Mungkin Hadir Dengan Cip Kirin 985

Spesifikasi Siri Huawei Nova 8 Kini Tertiris – Mungkin Hadir Dengan Cip Kirin 985

Diterbitkan pada Dis 15, 2020 oleh .

Siri Huawei Nova 8 disahkan bakal diperkenalkan secara rasmi pada 23 Disember ini. Huawei dijangka memperkenalkan sekurang-kurangnya dua model berbeza – iaitu Huawei Nova 8 dan Huawei Nova 8 Pro. Menjelang pelancaran rasmi, spesifikasi untuk kedua-dua peranti ini kini telah tertiris ke arena web.

Melaluinya, ia mempelihatkan siri Huawei Nova 8 dipercayai hadir dengan cip Kirin 985, sekaligus sokong rangkaian 5G secara terbina. Jika anda perasan, ini adalah cip yang sama digunakan oleh Huawei Nova 7 dan Honor 30 sebelum ini. Seterusnya, ia juga mungkin dipadankan dengan memori 8GB RAM dan pilihan storan dalaman sehingga 256GB. Kedua-duanya juga akan menampilkan sokongan pengecasan pantas 66W.

Namun begitu, masih terdapat beberapa perbezaan untuk sejumlah aspek. Nova 8 dikatakan mempunyai skrin dengan kadar segar semula 90Hz. Manakala, Nova 8 Pro pula mungkin dilengkapi skrin 120Hz. Untuk kamera utama, masing-masing dilaporkan menggunakan sensor utama 64-Megapixel.

Namun, terdapat kelebihan pada versi pro – di mana dikatakan hadir dengan dwi-kamera hadapan. Sementara itu, kamera hadapan Nova 8 pula dilengkapi lensa tunggal. Seperti biasa, maklumat dikongsi masih lagi di peringkat ura-ura dan belum diketahui mengenai kesahihannya. Benar atau tidak, segalanya bakal terjawab pada acara pelancaran rasmi kelak.

Sekadar selingan, kepada anda yang mempunyai perancangan untuk memiliki Huawei Nova 7i dan Huawei Nova 7 SE. Kini, Huawei hadir dengan tawaran menarik di mana anda boleh membelinya pada harga yang lebih rendah berbanding harga asalnya. Di mana, Huawei Nova 7i kini berharga RM899, sementara Huawei Nova 7 SE pula ditawarkan pada RM1,299.



Paling Popular