OnePlus Watch adalah jam tangan pintar dari OnePlus yang tidak pernah dilancarkan. Semasa pelancaran OnePlus 8T, OnePlus memberitahu yang mereka akhirnya akan memasuki arena peranti boleh pakai. Bulan Ogos kita mula lihat nama OnePlus Watch tersenarai di Singapura. Jam ini dilaporkan adalah berbentuk bulat dan mungkin akan menggunakan sistem operasi tersendiri.
Kini akhirnya kita tahu, kenapa pelancaran OnePlus Watch ditangguhkan dan kenapa bertahun lamanya jam ini tidak direalisasikan. Menurut Input dalam temuramah bersama Pete Lau, projek pembangunan jam tangan pintar OnePlus ini tidak menentu. Kadangkala mereka aktif, kadangkala mereka hentikan. Alasan utama adalah Wear OS tidak stabil. Pete Lau mengesahkan yang mereka sedang bekerjasama dengan Google untuk hadir dengan jam tangan Wear OS terbaik.

Secara tidak langsung mengesahkan yang OnePlus Watch akan menggunakan Wear OS dan bukannya sistem operasi tersendiri. Tetapi, mungkin OnePlus akan mengikut jejak langkah Oppo dengan mempunyai pelancar tersendiri serta modifikasi ringan akan dilakukan ke atas Wear OS.
OnePlus inginkan produk mereka ini menjadi satu ekosistem yang baik dan setiap peranti boleh digunakan bersama-sama di antara satu sama lain. Contohnya antara peranti Android dengan Android TV. OnePlus inginkan pengguna mempunyai pengalaman penggunaan dengan ekosistem yang baik, bermakna jam vs telefon vs televisyen ia boleh digunakan bersama-sama. Mungkin dari segi kawalan, notifikasi dan banyak lagi. Wear OS boleh pergi jauh dan boleh menjadi lebih baik.