Realme V15 Bakal Dilancarkan Secara Rasmi Pada 7 Januari 2021
Amy Maizuraa
Pembukaan tahun 2021 menyaksikan Realme dilihat berkongsi mengenai perancangan untuk pelancaran produk baharu mereka. Dikenali sebagai Realme V15 5G, peranti pintar ini bakal dilancarkan secara rasmi pada 7 Januari 2021 dalam sebuah acara pelancaran yang diadakan di China. Perkara ini dikongsi sendiri oleh Ketua Pegawai Pemasaran Realme iaitu Xu Qi Chase menerusi beberapa entri di laman Weibo – ia termasuklah poster pelancaran peranti.

Melaluinya boleh dilihat, peranti pintar ini bakal hadir dengan kemasan cerun menarik pada panel belakang. Pada masa sama, ia turut memperlihatkan kemasan slogan Realme – Dare To Leap pada panel belakang ini – kemasan yang sama kita boleh lihat pada Realme X7 Pro sebelum ini. Ramai pihak menyasarkan peranti ini adalah Realme Koi . Di tambah pula, panel belakang peranti juga dilihat sepadan dengan imej sebenar yang tertiris sebelum ini.

Namun, apa yang menjadi persoalan kini adalah berkaitan cip pemprosesnya – kerana terdapat sumber mengatakan Realme V15 mungkin menggunakan cip MediaTek Dimensity 800U dan bukannya Snapdragon 888 seperti yang digembar-gemburkan. Ia bagaimanapun, masih kekal menjadi tanda tanya kerana tiada maklumat lanjut berkaitan spesifikasi yang dikongsi buat masa ini. Seperti biasa, segala persoalan ini pastinya terjawab pada pelancaran rasmi kelak.