Google Mewajibkan Televisyen Android TV Baharu Menyokong Codec Video AV1

Diterbitkan pada Jan 18, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

AV1 adalah salah satu format video baru yang memfokuskan kepada penawaran video melalui internet yang terbuka dan bebas-royalti. Ia dibangunkan untuk meneruskan kejayaan format video VP9, selain bersaing dengan format video popular H.265/HEVC. 

YouTube sudah menguji sokongan ini, kemudian ia diperkenalkan pada aplikasi YouTube Android TV, Netflix pula menyokong codec ini melalui mod penjimatan data dan sejumlah perkhidmatan Google berkaitan video juga sudah mula menggunakan format ini. Sedar dengan kebaikan format ini, Google kini mewajibkan semua televisyen pintar Android TV baharu hadir dengan sokongan ini.

Masalah dengan peraturan baru Google ini adalah, AV1 ini perlu mempunyai perkakasan yang menyokongnya sahaja – ia tidak boleh diberikan secara perisian. Televisyen Android TV dengan Android 10 adalah yang diwajibkan dengan sokongan ini. Ini bermakna, cip pemprosesan yang digunakan haruslah cukup berkuasa untuk menyokongnya.

Antara televisyen yang menyokong codec ini adalah Skyworth SUC6500/7000/7500 dan siri televisyen Motorola Revou TV (dijana Mediatek MT9602). Baru-baru ini, flatpanelshd melaporkan yang semua televisyen Google TV Sony menyokong format ini. Kemudian beberapa televisyen Samsung dan LG juga sudah menyokong sokongan codec ini.

Tahun ini mungkin akan menjadi tahun di mana penggunaan codec AV1 ini meluas. Dengan kes Covid-19 yang semakin menjadi-jadi, orang ramai kembali bekerja dari rumah dan/atau belajar dari rumah. Trafik Internet akan menjadi sesak, dengan sokongan penggunaan codec ini penggunaan data lebih jimat dan trafik juga mungkin akan lebih terkawal – lagi-lagi Netflix. Antara peranti lain yang menggunakan codec ini adalah peranti yang dijana dengan cip pemproses siri MediaTek Dimensity 1000, Samsung Exynos 2100, siri Intel generasi ke-11, dan yang dipadankan dengan cip/kad grafik siri NVIDIA RTX 30000 dan siri AMD Radeon RX 6000.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami