Cari @ Amanz

Trend semasa di kalangan pengeluar peranti ialah menggunakan nama Pro, Max dan Ultra untuk memberitahu orang ramai peranti yang ditawarkan adalah edisi paling berkuasa. Era hanya satu peranti dilancarkan dalam suku yang sama telah berakhir kerana pengguna inginkan variasi dan peranti “satu saiz untuk” semua tidak lagi dihasilkan.

Galaxy S21 Ultra ialah percubaan ketika Samsung untuk menghasilkan penghulu segala peranti. Galaxy S20 Ultra tahun lalu muncul dengan zum 100X manakala Galaxy Note20 Ultra pula adalah kemuncak peranti yang menyasarkan golongan profesional. Masing-masing mempunyai masalah sendiri seperti pemfokusan yang kurang baik (S20 Ultra) dan pemproses Exynos 990 yang dibenci ramai.

Ulasan ini cuba menjawab persoalan sama ada Samsung berjaya menghasilkan peranti mercu yang sempurna untuk tahun 2021 ataupun adalah sekadar Ultraman yang mula nazak dibantai raksasa dengan lampu dada mula berkelip-kelip.

Spesifikasi Dan Rekaan

Samsung Galaxy S21 Ultra
Skrin6.8″ Dynamic AMOLED 2X
WQHD+, 120Hz, HDR10+
PemprosesExynos 2100 (5nm)
Cip1 X 2.9 GHz Cortex X1
3 X 2.8 GHz Cortex A78
4 X 2.2 GHz Cortex A55
Cip GrafikMali G78 MP14
RAM12/16GB LPDDR5
Muatan Dalaman256/512GB UFS 3.1
Kamera Utama108+12+10+10 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/4.9, Zum 100X, Ultra sudut lebar, OIS
Kamera Swafoto40 Megapixel f/2.2
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 21W
Pengecasan nirwayar 15W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 5299/5899

Skrin 6.8″ yang digunakan kini adalah lebih rata jika dibandingkan dengan S20 Ultra tahun lalu. Lengkungan sisi hampir tidak disedari kali ini tetapi kami rasakan rekaan skrin S21+ adalah lebih baik. Dengan skrin yang lebih rata, isu video melimpah keluar sehingga skrin sisi tidak lagi berterusan. Teknologi Dynamic AMOLED 2X diteruskan lengkap dengan kadar segar semula 120Hz dan sokongan HDR10+. Dua penambahbaikan paling ketara pada skrin S21 Ultra ialah akhirnya menyokong kadar segar semula adaptif 10-120Hz pada resolusi tertinggi WQHD+.

Tahun lalu sekiranya anda ingat, kedengaran ura-ura 120Hz pada WQHD+ akan diberikan menerima kemas kini tetapi sehingga kini tidak kunjung tiba. Skrin tahun ini juga dipertingkatkan lagi dengan keterangan puncak 1500 Nits.

Penambahbaikan lain ialah pengimbas cap jari yang kini 1.7 kali lebih besar zon imbasannya dan proses mengimbas meningkat 50% lebih pantas. Sensor dari jenis ultrasonik ini memang lebih pantas dan boleh menyahkunci dalam pelbagai situasi. Peranti dinyahkunci tanpa perlu menekan pengimbas dengan kuat. Ia berfungsi sebaik seperti yang diiklankan.

Yang mengujakan bagi kami ialah akhirnya tiba sokongan stylus S Pen berteknologi S Pen pada siri Galaxy S. Ini mungkin satu lagi petanda awal Galaxy Note akan direhatkan dalam waktu terdekat. Kami akan bercakap lebih banyak mengenai sokongan S Pen di dalam segmen khas di bawah nanti.

Jika satu kekurangan boleh dikatakan mengenai skrin ini ialah ia tidak mempunyai pengimbas nadi terbina seperti pada Xiaomi Mi 11. Jika ada satu ciri Galaxy S10 yang kami rindukan ialah pengimbas nadi terbina. Dengan pengimbas kami tidak memerlukan jam tangan pintar untuk melihat kadar degupan jantung.

Skrin Samsung jarang sekali mengecewakan. Tahun lalu skrin mereka hanya tewas kepada Xperia 1 II dalam anugerah peranti Amanz kerana resolusinya lebih rendah dan tiada penawaran waran BT.2020. Skrin S21 Ultra cemerlang kerana tiada color banding atau ghosting kami sedari sepanjang penggunaan selama dua hari ini. Kandungan HDR disokong di bawah format HDR10+ yang kini semakin popular. Penggunaan di bawah matahari terik juga tidak bermasalah dengan antaramuka boleh dilihat dengan jelas.

Skrin cantik dipadankan dengan kerangka aluminium yang teguh. Kami katakan teguh kerana tanpa bahagian skrin melengkung yang prominen, bingkai sisi kini lebih besar. Akibatnya peranti kini lebih tebal dan lebih berat. Ia sedap dipegang di dalam tangan dan tidak terasa licin. Ketebalannya tidak begitu terasa kerana bahagian sisi masih dibulatkan. Bercakap mengenai sisi, kedua-dua butang kuasa dan laras audio terletak di sisi kanan. Kedudukan butang kesemua peranti Samsung kini konsisten selepas beberapa kali diubah.

Sungguhpun begitu izinkan kami bercakap mengenai bonggol kamera S21 Ultra yang amat lah besar. Ia sungguh besar sehingga bersambung dengan bahagian bingkai. Kita mulakan dengan positif dahulu. Kami akui rekaan Contour Cut Design kelihatan lebih cantik di depan mata daripada kesemua imej pengolokan yang dikongsi Samsung lebih-lebih lagi pada peranti berwarna Phantom Silver. Kami difahamkan hanya warna Phantom Silver dan Phantom Black akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia buat masa ini.

Dengan bonggol logam yang besar, lensa kamera lebih terlindung. Dengan ini masalah permukaan kaca luar pada bonggol yang pecah S20 Ultra tidak berulang. Ramai mungkin menyangka dengan bonggol logam yang besar peranti pastinya tidak seimbang kerana berat pada bahagian atas. Tetapi sebenarnya tidak kerana peranti mempunyai penyebaran berat yang agak seimbang,Perkara negatif pula ialah ia menyebabkan peranti terjongkang-jongkit apabila berada di atas meja.

Seterusnya pada bahagian bawah terdapat kekisi speaker, port USB-C dan talam SIM. Masa untuk bercakap tentang talam SIM. Adakah anda sudah bersedia? Talam SIM ini menyokong dwi SIM bersaiz nano tanpa ruang untuk kad mikro SD. Pada tahun 2021, Samsung merasakan tiba masanya untuk tidak lagi menyokong penambahan storan dalaman.

Adakah ini tindakan yang baik? Anda sahaja boleh menjawab soalan ini. Secara peribadi kami sendiri sudah lima tahun tidak menggunakannya kerana storan kini semakin besar. Di Malaysia storan yang ditawarkan ialah 256 dan 512 GB yang boleh kami katakan boleh bertahan sehingga tiga tahu. Maka ketiadaan slot mikro SD adalah dikesali tetapi mungkin tidak ditangisi.

Masa untuk menyentuh spesifikasi pula. Cip terkini Exynos 2100 dipadankan dengan memori 12/16 GB dan storan sehingga 512GB. Di atas kertas ini ialah kombinasi yang cukup padu kerana Exynos 2100 adalah cip Android paling berkuasa setakat ini berdasarkan ujian sintetik yang telah kami lakukan. Artikel perbandingan cip Exynos 2100 akan kami terbitkan esok untuk memberikan analisa yang lebih mendalam. Buat masa ini yang boleh kami katakan ialah peranti memang terasa pantas dan tiada masalah pemanasan yang ketara ditemui.

Sistem kamera pula menjalani proses perubahan yang drastik berbanding S20 Ultra. Sensor 108MP dipadankan dengan lensa sudut lebar, 12MP dengan lensa ultra sudut lebar, 10 MP dengan lensa telefoto optikal 3X dan 10MP lagi dengan lensa telefoto 10X optikal periskop yang menyokong zum sehingga 100X. Space Zoom masih wujud tetapi dengan sistem Zoom Lock yang menstabilkan imej seakan sebuah tripod. Kesemua ini dapat dilakukan walaupun sensor kamera telefoto tahun ini lebih kecil berbanding S20 Ultra (48MP vs 10MP).

Jika anda ingat kami katakan Space Zoom tahun lalu adalah gimik kerana imej bergoyang-goyang seperti berada di atas dek kapal yang dihentam badai. Tahun ini Zoom Lock memastikan imej adalah lebih stabil (masih lagi bergoyang sebenarnya pada tetapan zum 100X) bagi membolehkan kawasan gambar yang ingin diambil sentiasa di dalam kawasan viewfinder kamera.

Seterusnya kita bergerak pula kepada bateri sebesar 5000 mAh. Ini ialah kapasiti yang sama seperti model tahun lalu. Perubahan hanya dilakukan pada sistem pengecasan kini hanya sehingga 25W dan bukannya 45W seperti pada S20 Ultra. Mengapa pengecasan lebih perlahan digunakan? Ini soalan yang belum sempat kami utarakan kepada wakil Samsung. Teori kami ialah tahun lalu beza waktu pengecasan di antara 25W dan 45W hanyalah 10 minit. Bukanlah perbezaan yang besar maka tidaklah diteruskan.

Pengecasan nirwayar kekal 15W dengan pengesan berbalik peranti lain Wireless PowerShare pula juga kembali tetapi kuasa pengecasannya tidak pula dikongsi. Sebagai kesimpulan pengecasan berwayar S21 Ultra adalah lebih perlahan berbanding S20 Ultra dengan sistem lain kekal sama.

Melengkapi spesifikasi peranti ialah sokong WiFi 6E, Bluetooth 5.1, kesemua sistem GPS di muka bumi dan kemampuan kalis air IP68. Pakej menjadi semakin lengkap dengan sokongan sistem audio Dolby Atmos menerusi pembesar suara stereo. Rangkaian 5G juga disokong tetapi terasa sedikit membazir kerana ia hanya akan dilancarkan pada penghujung 2022 atau awal 2023. Ini membuatkan peranti sudah agak berusia sebelum 5G boleh dinikmati pemilik.

Penggunaan Dan Perisian

Android 11 dipadankan dengan pelancar One UI 3.1. Ini ialah versi pelancar paling terkini yang setakat ini hanya digunakan pada siri S21. Sekilas pandang tidak banyak perbezaan dapat dilihat pada antaramuka One UI 3.1 berbanding One UI 3.0. Rekaannya masih minimalis dengan pilihan warna yang tidak menyakitkan mata. Trend di platform Android sejak dua tahun kebelakangan ini ialah untuk kelihatan seperti Android asli.

Ini mungkin penyebab untuk pertama kalinya pada skrin kiri Home yang selama ini hanya menunjukkan Samsung Daily kini digantikan dengan dua pilihan Google Discovery atau Samsung Free (yang menggantikan Samsung Daily). Google Discovery ialah ciri yang telah lama kami inginkan walaupun seorang peminat peranti Samsung. Samsung Daily tidak sebaik Google Discovery kerana Bixby yang tidak selancar Google Assistant. Peng-Googlelan peranti Samsung sudah dapat dilihat jelas kali ini.

Tetapi ini tidak bermakna Bixby dianaktirikan sepenuhnya. Pembantu maya Samsung ini masih mempunyai hak eksklusif diseru menggunakan butang kuasa. Samsung belum bersedia membenarkan pengguna menyeru Google Assistant terus dengan menekan butang kuasa tahun ini. Mungkin ia akan berlaku tahun depan.

Penambahbaikan kepada Nearby Share turut dilakukan. Apabila dipilih pengguna boleh memilih untuk membuang data meta pada gambar yang ingin dikongsi. Proses membuang data meta adalah semudah menekan butang pilihan sebelum penghantaran Nearby Share dilakukan. Ciri lain yang menarik ialah pengguna boleh mengkustomasi imej latar belakang apabila panggilan diterima dari individu tertentu. Video animasi untuk latar belakang panggilan individu tertentu juga boleh dihasilkan menerusi sistem AR Emoji.

Ciri lain yang kembali ialah Edge Panels, DeX, sokongan Your Phone pada Windows 10, Multi Window dan Always On Display. Oleh itu penggunaan peranti tiada bezanya dengan peranti mercu Samsung yang dilancarkan sebelum ini. Kombinasi pemproses yang berkuasa, saiz RAM yang besar dan skrin 120Hz memberikan pengalaman penggunaan awal yang amat lancar. Bagi mengetahui prestasi sebenar cip Exnos 2100 berbanding cip lain di pasaran, anda boleh membacanya di segmen penanda aras di bawah nanti.

Sokongan S Pen

Sokongan S Pen pada peranti ini adalah yang pertama kali dalam sejarah Galaxy S. Untuk memenuhi keperluan pengguna, Samsung menawarkan dua kerangka khas dengan tempat simpanan S Pen secara terbina. S Pen tidak diberikan dengan setiap pembelian S21 Ultra.

Di antara dua kerangka yang kami cuba, kerangka silikon tanpa penutup adalah yang paling selesa digunakan. Ia hanya menambah beberapa milimeter kepada kelebaran peranti dengan tempat simpanan pada bahagian kiri peranti (sama seperti Note20 tahun lalu).

Dua versi S Pen ditawarkan untuk S21 Ultra. Versi pertama adalah lebih panjang dan besar berbanding pada siri Note. Ia Lebih selesa digunakan untuk melakar kerana saiznya yang lebih menyerupai pensel sebenar. Kepekaan 4200 dpi dikekalkan tetapi sokongan bluetooth tidak pula disertakan pada versi ini. Dengan kata lain S Pen S21 Ultra lebih mirip pada Note 8.

Versi kedua ialah S Pen Pro dengan sokongan bluetooth. Oleh itu ciri Air Gesture seperti mengawal kamera dan gestur tanpa sentuhan skrin boleh dilakukan. Ketika sesi awal S Pen Pro tidak diperlihatkan kepada pihak media. Oleh itu kami tidak mengetahui sama ada ia lebih baik ataupun tidak. Yang diketahui adalah ia bersaiz lebih besar berbanding S Pen versi pertama dan akan hanya dijual di tarikh yang belum diumumkan lagi.

Boleh Ke Gantikan Galaxy Note?

Tetapi persoalan yang pasti ingin dijawab oleh khususnya kepada peminat Note20 Ultra ialah adakah S21 Ultra boleh menggantikan Note? Jawapan kami pada waktu ini ialah Ya. Ya kerana tiada perbezaan langsung menggunakan S Pen pada S21 Ultra. Sama laju, sama lancar dan sama ketepatan ketika menulis atau melakar. Kesemua ciri diimport dari Note20 Ultra ke dalam tubuh S21 Ultra.

Kami yakin apabila S Pen Pro mula dipasarkan kelak, keperluan mereka yang masih memerlukan sokongan Air Gesture dan Air Command Menu akan dipenuhi. Perbezaan hanyalah skrin yang tidak lagi melengkung dan tidak lagi berkotak. Oleh itu ura-ura Note21 tidak akan dilancarkan tahun ini dapat diterima dengan hati yang lebih terbuka.

Penanda Aras

Dalam ujian Geekbench 5, Exynos 2100 mencatatkan 1066/3345 markah berbanding Apple A14 Bionic yang mencatatkan 1598/3971 markah dan Snapdragon 865+ pula mencatatkan 1006/3341 markah. Dalam ujian Antutu 3D pula, ia mencatatkan 631,702 markah beranding 667,807 markah (Apple A14 Bionic) dan650,975 markah (Snapdragon 865+). Ini masih lagi ujian awal tetapi nampaknya takhta pemproses terbaik masih lagi di tangan Apple.

Ini semua adalah sekadar ujian sintetik tetapi bagaimana pula dengan penggunaan di dunia sebenar? Jawapannya mudah memang tiada masalah. Kesemua aplikasi utama dapat kami jalankan dengan pantas. Pelancaran aplikasi permua berat seperti COD Mobile, PUBG Mobile dan Genshin Impact adalah setanding dengan pengalamannya di iPhone 12 Pro Max.

Perbezaan yang paling ketara ialah haba. Tahun lalu Exynos 990 menjadi agak hangat selepas hanya dua pusingan MP COD Mobile. Pada Exynos 2100 kami bertarung selama 30 minit dalam gelanggang MP dan peranti hanya terasa sedikit suam. Kejutan lebih tinggi kerana kami memilih tetapan paling tinggi dan resolusi maksimum WQHD+ 120Hz sepanjang masa.

Kami tidak ada termometer tetapi di dalam tangan ia terasa lebih sejuk jika dibandingkan dengan Snapdragon 865 (pada S20 FE 5G) selepas melakukan perkara yang sama tetapi pada resolusi FHD+ 120Hz. Masalah tahun lalu nampaknya telah berjaya diselesaikan.

Yang masih menjadi isu ialah pemanasan ketika mengambil gambar. Selepas sesi rakaman 8K selama 2 minit kemudian mengambil sekitar 40 gambar secara berterusan (dengan mod kecerdasan buatan diaktifkan) panel belakang terasa agak panas. Lebih panas dari sesi 30 minit permua yang kami katakan tadi. Terasa aneh mengambil gambar dengan post processing menghangatkan S21 Ultra lebih pantas dari sesi permua kental.

Kamera

Kuad-kamera tahun ini berbeza dengan konfigurasi Ultra tahun lalu. Sensor utama 108MP adalah dari keluarga ISOCELL HM3 yang kini mengambil gambar dalam mod 12-bit yang membolehkan lebih 68 bilion warna ditangkap. Sementara itu dua sensor telefoto 10MP digunakan masing-masing dengan kemampuan zum optikal 3X dan 10X serta Space Zoom sehingga 100X. Samsung mengambil tips dari Huawei P40 Pro+ untuk sistem zum yang lebih baik tahun ini. Akhir sekali sensor sudut lebar masih lagi 12 MP.

Walaupun sensor lensa utama ialah 108MP, gambar yang diambil hanyalah 12 MP sahaja. Sembilan sensor digabungkan menjadi satu untuk saiz pixel yang besar 2.4μm. Hasilnya gambar yan lebih tajam, terperinci dan paling penting sekali 50% lebih terang terutamanya dalam md malam.

Penambaikan yang lebih penting ialah penggunaan laser untuk sistem pemfokusan untuk menguburkan isu besar sukar memfokus pada S20 Ultra tahun lalu. Ini ialah sistem yang sama pada Note20 Ultra yang secara peribadi kami rasakan adalah kamera terbaik 2020 untuk lebih banyak situasi harian.

Kombinasi sensor lebih baik, dua zum telefoto dan sistem laser nyata membuahkan hasil. Memang tiada masalah pemfokusan tahun ini. Kamera pantas memfokus objek walaupun dalam mod makro dengan subjek terletak lebih kurang 5cm dari lensa. Pengguna peranti Samsung tahu makro bukanlah kekuatan peranti mereka tetapi ini mod makro dipilih secara automatik apabila objek dikesan hampir dengan lensa. Syabas kepada Samsun kerana pada iPhone 12 Pro Max sekalipun ini sukar dilakukan dengan pantas.

Prestasi video juga lebih baik dengan sokongan rakaman HDR10+. 8K 24p dan Steady Shot 4K 60p. Di atas kertas kamera S21 Ultra ialah yang terbaik pernah ditawarkan oleh Samsung kepada pengguna telefon pintar mereka.

Kualiti Gambar

Kualiti gambar adalah amat baik. Sejak Note20 Ultra algoritma kamera Samsung telah ditala semual untuk kelihatan lebih semula jadi. Bagi mereka yang gemarkan gambar dengan saturasi tinggi Samsung mereka mungkin kecewa kerana color science yang telah berubah. Tetapi ini ialah perubahan untuk kebaikan memandangkan pengguna kini lebih sukakan gambar yang terang dan tepat dari menghasilkan gambar yang lebih fantasi berbanding realiti.

Kerana PKP kami tidak mampu melakukan ujian sebenar di kawasan-kawasan yang indah. Maka sampel-sampel di bawah mungkin tidak mempunyai nilai estetika yang tinggi. Tetapi kami percaya ia masih menujukkan kemampuan kamera S21 Ultra dengan baik.

Tanpa memilih mod malam sekalipun, gambar dalam suasana gelap masih lagi terang. Sumber cahaya tidak mencapah atau blooming. Julat dinamik yang tinggi pula memastikan kawasan gelap masih dapat dilihat tanpa isu hingar yang ketara. Biarkan sampel gambar di bawah sahaja berbicara.

Pretasi zum seperti dijangka adalah baik. Gambar masih kelihatan tajam sehingga 10X. Di bawah ialah sampel gambar menggunakan mod ultra lebar, 1X, 30X dan 100X. Pada zum 30X kualiti gambar masih lagi baik tetapi mula menunjukkan softening. Pada tetapan 100X pula gambar semakin hilang ketajaman tetapi tidak berubah menjadi mozek seperti pada S20 Ultra.

Perbezaan yang amat ketara pada sistem penstabilan imej S21 Ultra dapat dirasai. Walaupun pada zum 100X sekalipun imej tidak lagi terhoyong hayang seperti kelasi di atas dek kapal. Perkaataan STAR yang terletak jauh dari kedudukan kami dapat dimasukkan ke dalam bingkai viewfinder tanpa penggunaan tripod. Namun begitu kami masih merasakan zum 100X adalah gimik dan tiada kegunaan di dunia sebenar dan hanya akan menjadi ciri gajah putih S21 Ultra.

Audio

Pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos disertakan. Satu pembesar suara pada bahagian atas skrin menghala ke depan dan satu lagi menghala ke bawah. Samsung tidak boleh melawan fizik dan konfigurasi ini menyebabkan audio kurang seimbang. Speaker bawah lebih lantas kerana kekisi audio yang lebih besar. Sekali lagi perisian tidak dapat melawan hukum fizik. Untuk audio lebih baik kekisi atas yang lebih besar perlu disertakan tetapi ini mustahil kerana rekaan bezel nipis yang digunakan.

Sungguhpun begitu audio menerusi pembesar suara fizikal S21 Ultra masih lagi antara yang terbaik pernah kami nikmati. Treble garing, bass padu dan vokal terang. Audio hanya jadi sedikit berkecamuk pada tetapan paling tinggi. Ini ialah isu pada kesemua telefon pintar kecuali ASUS ROG Phone 3.

Ok pasti ada yang ingin tahu adakah ia lebih baik berbanding iPhone 12 Pro Max? Jawapan mudah ya. Pada 12 Pro Max speaker bawah adalah jauh lebih lantang mengakibatkan audio menjadi lebih tidak seimbang. Apabila sistem Dolby Atmos S21 Ultra dihidupkan, audio kedengaran lebih penuh dan menyeluruh. Audio 12 Pro Max kedengaran lebih mendatar.

Pengalaman audio menggunakan aksesori nirwayar juga tidak kurang hebatnya jika anda ada aksesori yang setanding. Kami menguji sistem audio S21 Ultra dengan sepasang Sony WHX1000M3 dengan LDAC diaktifkan. Kombinasi telefon pintar premium denan fon kepala premium adalah seperti pinang dibelah tua. Tiada benda buruk boleh kami tulis kerana langsung tidak mengecewakan.

Bateri

Menguasai peranti ialah bateri sebesar 5000 mAh yang sama dengan S20 Ultra tahun lalu. Ia sekadar mengecas pada kuasa maksimum 25W dan bukannya 45W pada S20 Ultra. Waktu pengecasan adalah 65 minit sahaja yang pada hemat kami adalah tidaklah buruk tetapi pastinya tidak sepantas Huawei, Xiaomi, Oppo dan Vivo. Pengecasan nirwayar disokong pada 15W dan juga Wireless PowerShare. Tiada pengecas disertakan dengan pembelian oleh itu pengecasa 25W PD dijual oleh Samsung pada harga RM95 sebuah.

Prestasi pengecasan adalah kurang memberangsangkan berbanding pesaing tetapi prestasi bateri adalah mengagumkan. Kami berjaya mencatatkan hayat penggunaan hampir 24 jam dengan SOT selama 9.5 jam walaupun pada resolusi WQHD+ 120Hz.

Hayat bateri ini TIDAK PERNAH kami lihat pada mana-mana peranti sebelum ini. Tahun lalu S20 Ultra hanya mencatatkan hayat maksimum 13 jam dengan SOT selama 5 jam 15 minit dalam mod yang sama. Apakah resipi rahsia S21 Ultra tidak kami ketahui tetapi kami terkejut dengan keputusan ujian.

Kerana kekangan masa dan pandemik, kami tidak mampu melakukan ujian berat menggunakan hanya LTE dan banyak bergerak. Bolehlah diramalkan hayat bateri pada tetapan FHD+ 60Hz pastinya lebih baik dan lama.

Pesaing

Samsung Galaxy S21 UltraApple iPhone 12 Pro MaxXiaomi Mi 11
6.8″ Dynamic AMOLED 2X, 1440 x 3200, HDR10+, 120Hz (515 ppi)6.7″ OLED, 1284 x 2778, Dolby Vision, 60Hz (458 ppi)6.81″ AMOLED, 1440 x 3200, HDR10+, 120Hz (515 ppi)
Exynos 2100 (5nm)
1 X 2.9 GHz Cortex X1
3 X 2.8 GHz Cortex A78
4 X 2.02GHz Cortex A55
Apple 14 Bionic (5nm)
2 X 3.1 GHz Firestorm
4 X 1.8 GHz Icestorm
Snapdragon 888
1 X 2.84 GHz Kryo 680 Prime
3 X 2.42 GHz Kryo 680 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 680 Silver
Mali-G78 MP14Apple GPUAdreno 660
12/16 GB LPDRR56 GB8/12 GB LPDDR5
256/512 GB UFS 3.1128/256/512 GB nVMe
128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama 108+12+10+10 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/4.9),OISKamera Utama 12+12+12+3DToF Megapixel (f/1.6+f/2.2+f/2.4), OISKamera Utama 108+13+5 Megapixel (f/1.9+f/2.4+f/2.4),OIS
Kamera Hadapan
40-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
20-Megapixel
IP68IP68IP68
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Audio Stereo Dolby AtmosAudio Stereo Dolby AtmosAudio Stereo
5000mAh (Berwayar 25W, Nirwayar 15W) 3687 mAh (Berwayar 20W, Nirwayar 15W)4600 mAh (Berwayar 55W, Nirwayar 50W)
Harga bermula 5299Harga bermula 5299Harga bermula RM2480*

Kesimpulan

Samsung Galaxy S21 Ultra ialah peranti yang berjaya mengembalikan maruah Samsung yang tercalar tahun dan membersihkan arang dari skrin Dynamic AMIOLED tahun lalu kerana siri Galaxy S20 yang dihantui pelbagai isu. Rekaan yang baik selesa di dalam tangan dengan bonggol yang kurang menjengkelkan berbanding tahun lalu. Ini dipadankan prestasi MAKSIMUM, kamera berkemampuan PRO, ciri tambahan yang banyak dan paling penting sekali ialah bateri yang memang ULTRA prestasinya.

Maka Samsung Galaxy S21 Ultra ialah peranti yang perkasa seperti Ultraman. Kesemua masalah tahun lalu berjaya dihapuskan menggunakan Ultra Beam. Kini S21 Ultra kembali ke Planet Ultra untuk menanti saingan yang bakal diberikan oleh Xiaomi, Oppo, Vivo, Huawei, Honor, Poco, Apple dan banyak lagi sepanjang 2021. Adakah ia akan terus mencatatkan kejayaan? Nantikan sahaja di ulasan-ulasan lain ini di Amanz.

Pro

  • Kemasan yang premium. Selesa di dalam tangan walaupun bersaiz besar dan agak berat.
  • Kombinasi pemproses, RAM dan storan yang amat baik.
  • Skrin yang semakin rata kini menyokong 120Hz pada resolusi tertinggi.
  • Kemampuan kamera yang amat baik.
  • Sokongan S Pen buat pertama kali.
  • Pengimbas cap jari bawah skrin besar dan pantas.
  • Bateri yang bertahan lama.

Kontra

  • Bonggol kamera masih agak tinggi.
  • Tiada pengecas dan fon telinga dengan pembelian.
  • Hilang pula sokongan kad mikro SD.
  • Pengecasan agak perlahan berbanding pesaing lain.
  • Isu pemanasan ketika mengambil gambar dan video.
  • Harga jualan yang agak tinggi untuk sokongan perisian selama 3 tahun sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd