Pelayar web terbaru Microsoft adalah Microsoft Edge, iaitu pengganti kepada Internet Explorer. Versi yang terkini dibina berasaskan Chromium, tetapi ciri dan fungsi diusahakan sendiri oleh Microsoft. Edge juga pernah menjadi pelayar web kedua popular dunia melangkaui Firefox, walaupun Firefox sudah lama hadir dengan pelayar web.
Terkini, Microsoft telah mengemaskini pelayar web mereka dengan lebih banyak ciri dan fungsi. Pertama yang paling jelas, elemen rekaan baharu mereka iaitu Fluent Design System digunakan pada pelayar web ini. Tulisan, tab, antaramuka dan banyak lagi kini selari dengan rekaan baharu Microsoft. Microsoft juga janjikan yang semakin banyak produk mereka akan menggunakan rekaan ini.
Fungsi menyelarikan tab dan sejarah laman web yang dilayari juga kini diedarkan secara meluas. Ini membenarkan pengguna log masuk akaun yang sama dan boleh teruskan aktiviti pada mana-mana peranti yang mempunyai sokongan pelayar web ini. Kemudian, Microsoft turut tawarkan sokongan tema yang akan mengubah warna serta imej latar pada laman utama Edge. Ada 24 tema, kebanyakannya adalah tema dari Xbox.
Fungsi menambahkan prestasi pelayar web juga diperkenalkan, di mana tab yang tidak digunakan akan tidur. Memori lebihan akan fokus pada tab terbuka. Kemudian, pengguna juga kini mempunyai lebih banyak kawalan membenarkan sesuatu laman web mengakses atau menolak kebenaran.
Pelayar web ini juga akhirnya menyokong sistem menyimpan kata laluan dan turut boleh menjana kata laluan tersendiri. Ia adalah perkhidmatan percuma, jadi pengguna lebih mudah cipta kata laluan yang berbeza dan simpan tanpa perlu ingat atau menggunakan kata laluan sama.
Banyak lagi yang Microsoft bawakan pada kemaskini ini. Inntegrasi Bing juga kini lebih baik dengan paparan informasi dalam bentuk cards, sokongan bar sisi yang lebih baik, integrasi Outlook yang lebih mendalam dan lebih mudah untuk mencari kerja. Microsoft turut mengikut jejak langkah Google dengan integrasi paparan cuaca yang lebih jelas, pencarian resipi memasak yang mudah serta maklumat kecergasan.