Cari @ Amanz

Mi Band adalah penjejak kesihatan Xiaomi dalam bentuk gelang tangan. Ia antara peranti boleh pakai yang popular kerana harga jualan yang murah dan mempunyai ciri dan fungsi yang menarik. Variasi yang terkini adalah Mi Band 5 yang mana dilancarkan pada tahun lepas. Mi Band 6 dijangka akan dilancarkan pada tahun ini dengan saiz skrin yang lebih besar.

Amazfit Band 6

Mi Band 6 juga dikatakan mungkin akan hadir dengan sejumlah ciri kecergasan dan mod sukan tambahan baru. Mi Band dihasilkan oleh Huami, iaitu syarikat yang menghasilkan jenama Amazfit dan Zepp. Amazfit Band 5 yang dilancarkan pada tahun lepas juga dilihat mirip dengan Mi Band 5 tetapi lebih berkuasa. Terkini, terdapat beberapa butiran dalam aplikasi Zepp memberi petanda mengenai ciri yang akan tiba pada Mi Band 6.

Amazfit Band 6

Pertama, Xiaomi mungkin akan menggunakan antaramuka baharu. Ia mungkin akan selari dengan rekaan seakan MIUI for Watch yang digunakan pada Mi Watch dan Mi Watch Lite. Kemudian, Mi Band 6 juga akan mempunyai sensor untuk membaca SpO2, sokongan pembantu digital (mungkin Alexa), GPS juga dikatakan mungkin akan disertakan kerana ada petanda dalam kod pada perisian.

Mi Band 6 juga akan mempunyai 30 mod sukan berbanding Mi Band 5 yang ada 11 mod sahaja. Antara yang baru adalah tarian, zumba dan kickboxing. Mi Band 6 mungkin juga boleh menjadi Amazfit Band 6 yang dijenamakan semula dengan sedikit perubahan. Amazfit Band 6 sudah disenaraikan pada tahun lepas, tetapi dalam masa yang singkat – laman web AliExpress yang menyenaraikan produk ini dipadam.

Tahun lepas Mi Band 5 diperkenalkan sekitar bulan Jun, jadi kita boleh jangka yang Mi Band 6 akan dilancarkan sekitar waktu yang sama. Sama-sama kita nantikan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd