Cari @ Amanz

Sebelum ini, terdapat laporan berhubung Vivo S9 yang dipercayai hadir dengan cip MediaTek Dimensity 1100. Peranti pintar ini juga dikhabarkan bakal menjadi pengganti kepada siri Vivo S7 dan keupayaan kamera swafoto sekali lagi dijangka menjadi fokus utama.

Ia berikutan tersebarnya poster tertiris didakwa memperlihatkan rekaan panel belakang pada peranti. Pada masa sama, ia turut mendedahkan peranti berkenaan akan mempunyai kamera swafoto sebesar 44-Megapixel. Spekulasi awal mengatakan peranti ini akan menyertakan sokongan dwi-kamera swafoto seperti Vivo S7.

Melaluinya juga, kita boleh lihat rekaan yang digunakan pada peranti ini tidak jauh bezanya dengan sejumlah model Vivo sebelum ini – menampilkan modul kamera berbentuk segi empat bersama sokongan tri-kamera utama dalam susunan segi tiga pada panel belakang.

Vivo S7 5G

Untuk spesifikasi, peranti ini dipercayai menggunakan skrin 6.44-inci AMOLED FHD+ dengan sokongan kadar segar semula 90Hz, dijana cip Dimensity 1100, pilihan memori sehingga 12GB RAM, bateri 4000mAh dan menjalankan Android 11 dengan antaramuka OriginOS.

Vivo S9 dijangka diperkenalkan sekitar bulan Mac kelak. Begitupun, sehingga kini masih tiada sebarang kenyataan daripada Vivo berhubung perkara ini. Tetapi, jika ianya benar Vivo nampaknya cuba melangkau penjenamaan untuk peranti di bawah siri Vivo S mereka untuk kali ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd