Carian
Vivo S9 Bakal Diperkenalkan Secara Rasmi Pada 3 Mac 2021
February 22, 2021 Amy Maizuraa

Vivo sedia hadir dengan pelbagai penawaran peranti pintar di bawah pelbagai siri – salah satu daripadanya adalah siri Vivo S yang dilihat turut memfokuskan kepada keupayaan kamera lebih baik. Terkini, mereka bakal mempeluaskan lagi penawaran di bawah siri berkenaan dengan memperkenalkan Vivo S9 pula.

Peranti ini telah disahkan bakal hadir secara rasmi pada minggu hadapan – iaitu 3 Mac 2021. Perkara ini dikongsi oleh pihak Vivo China menerusi beberapa video promosi pendek di laman Weibo. Ia bagaimanapun, tidak mendedahkan sebarang spesifikasi khusus pada peranti.

Tangkap Layar Video Pendek Promosi

Namun begitu, video promosi sedikit sebanyak masih memberikan gambaran kasar mengenai penawaran pada produk – di mana, keupayaan kamera nampaknya masih menjadi fokus utama pada model kali ini. Tapi seperti biasa, penawaran lebih lanjut bakal terjawab ketika pelancaran rasmi kelak.

Vivo S9 mula menjadi bualan ramai selepas tersebarnya laporan yang mendakwa peranti ini bakal menjadi antara terawal yang menggunakan cip MediaTek Dimensity 1100. Jika benar, maka peranti ini akan dilengkapi sokongan rangkaian 5G secara terbina. Tidak lama selepas itu, terdapat laporan berasingan yang mendakwa tersebarnya poter acah yang memperlihatkan rekaan panel belakang peranti dan bakal mempunyai kamera swafoto sebesar 44-Megapixel.

Poster Awal Tertiris

Menurut spekulasi awal juga, Vivo S9 dipercayai hadir dengan paparan 6.44-inci bersama kadar segar semula tinggi 90Hz. Seterusnya, ia juga dikhabarkan dilengkapi kamera utama dengan sensor 64-Megapixel, memori 12GB RAM dan bateri 4000mAh bersama pengecasan pantas 33W. Dalam pada itu, terdapat juga laporan mendakwa mereka bakal hadir dengan Vivo S9e yang dipercayai menggunakan cip MediaTek Dimensity 820.

Komen