Cari @ Amanz

Peranti boleh-gulung yang dijual secara terbuka masih lagi belum wujud. Tetapi tahun ini kebarangkalian ia menjadi realiti adalah amat tinggi kerana dua prototaip telahpun diperlihatkan kepada umum. Yang terawal menunjukkan prototaip berfungsi ialah Oppo menerus Oppo X 2021 dan hari ini kami bernasib baik dapat melihatnya dengan keempat-empat mata sendiri.

Masa yang diberikan untuk bersama adalah terlalu pendek kerana perlu berkongsi dengan media yang lain. Oppo Malaysia hanya membawa satu sahaja Oppo X 2021 ke negara kita. Tetapi masa yang terhad ini sudah cukup untuk memberikan kami gambaran apa yang dilakukan dengan baik dan apa pula kekurangan yang wujud dalam peranti dengan rekaan skrin bergulung sekiranya ia dilancarkan secara komersial kelak

Spesifikasi Dan Rekaan

Oppo X 2021
Skrin 6.7″ – 7.4″ OLED boleh-gulung
Pemproses?
Cip?
Cip Grafik?
RAM?
Muatan Dalaman?
Kamera Utama48 Megapixel
2 X 3D TOF
Kamera Swafoto?
Bateri?
Pengecasan berwayar ?W
Pengecasan nirwayar ?W
SIM/Telefoni?
NFC?
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Harga JualanTiada

Terkejut dengan lebih banyak tanda soal di dalam senarai spesifikasi di atas? Ketiadaan spesifikasi lengkap adalah kerana X 2021 hanyalah sebuah peranti konsep. Hanya beberapa komponen sahaja yang berfungsi. Yang paling mendapat perhatian ialah skrin 6.7″ OLED yang boleh mengembang ke sisi (seperti tubuh penulis) ke 7.4″. Oppo amat berbangga dengan teknologi yang mereka gunakan kerana ia adalah binaan yang cukup kompleks.

Dapat proses tergulung, skrin mempunyai tiga bezel sisi yang agak tebal untuk standard 2021. Ia diperbuat daripada bahan plastik berwarna hitam yang melindungi skrin dari menyentuh permukaan rata seperti meja. Pada sisi kiri, skrinnya melengkung mengikut diameter silinder penggulung yang digunakan. Sebuah lubang untuk gagang telinga diletakkan pada bezel atas.

Untuk proses menggulung, terdapat dua motor linear yang bergerak selari di antara satu sama lain untuk mengekalkan ketegangan skrin semasa ia ditarik keluar dan dalam. Panel kaca pada bahagian belakang akan turut bergerak dan harus diakui semasa proses membuka, peranti nampak sungguh bergaya dan futuristik. Ia mengingatkan kami kepada sistem badan melungsur Oppo Find X tetapi 10 kali ganda lebih seksi.

Terdapat lapisan plastik yang mengelakkan kerosakan pada bahagian skrin boleh-gulung. Tidak seperti teknologi skrin boleh-lipat Samsung, Oppo masih tidak mempunyai teknologi UTG yang boleh digulung. Akibatnya apabila jari diletakkan pada permukaan skrin X 2021, ia mengingatkan kami kepada skrin Galaxy Fold generasi pertama.

Dalam pelbagai imej pengolokan yang dikongsi, skrin nampak tegang sepanjang masa. Tetapi pada peranti sebenar dapat dilihat skrin tidak begitu rata. Di beberapa kawasan dapat kami lihat sedikit berkedut lebih-lebih lagi pada segmen yang digulungkan. Untuk mengelakkan jari menembusi skrin, beberapa rel logam telah diletakkan pada bahagian bawah skrin.

Proses menggulungkan skrin adalah unik. Tatalan pada bingkai kanan dilakukan dan skrin akan terbuka dalam masa tiga saat. Apabila tatalan dilakukan sekali lagi pada bingkai, skrin akan kembali mengecil dalam masa tiga saat juga. Semasa ia mengembang dan mengecut, proses tidak boleh dihentikan. Oleh itu skrin peranti adalah terhad kepada dua saiz yang kami sebutkan di atas tadi. Tiada kebebasan diberikan kepada pengguna untuk memilih saiz yang diinginkan.

Satu isu yang wujud ialah sistem menatal untuk mengaktifkan skrin gulung ini adalah agak sensitif. Ketika sesi media, peranti ingin ditelangkupkan tetapi sebaik sahaja dipegang ia mengembang tanpa disuruh. Bayangkan jika perkara ini berlaku secara tidak sengaja di alam poket pengguna. Pastinya menimbulkan kesipuan yang besar.

Mungkin pada peranti sebenar Oppo boleh meletakkan satu suiz kekunci yang mengelakkan kejadian mengembang tanpa disengajakan ini dapat dielakkan.

Bercakap mengenai butang, hanya terdapat satu butang kuasa pada bahagian sisi yang agak besar memberikan petunjuk ia turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Tiada butang lain seperti laras audio dapat dilihat. Apabila disoal wakil Oppo mengatakan peranti ini adalah konsep maka butang laras suara tidak disertakan.

Bagaimana pula dengan prestasi mengesan sentuhan? Kami tidak boleh memberikan anda jawapan kepada soalan ini kerana tidak dibenarkan untuk menggunakan peranti tanpa pengawasan kakitangan Oppo. Dari apa yang dapat kami lihat peranti tidak berapa responsif. Menurut Oppo ini adalah kerana peranti ini masih lagi prototaip dengan perisian yang tidak dioptimasikan sepenuhnya. Beberapa kali juga kami melihat terdapat sedikit sela masa semasa video ingin dilancarkan.

Sepasang pembesar suara diletakkan pada bahagian atas (menembak ke depan) dan bawah tubuh peranti (menembak ke sisi). Pada hemat kami bunyi yang dilontar adalah lantang dan jelas. Hanya satu video boleh dimainkan maka kami tidak boleh benar-benar menguji prestasi audio.

Satu-satunya port pada peranti ialah USB-C pada bahagian bawah untuk pengecasan. Di MWC Shanghai tempoh hari, Oppo mengesahkan X 2021 turut menyokong pengecasan nirwayar jarak jauh Wireless Air Charging yang juga masih lagi konsep.

Sebagai sebuah peranti konsep Oppo X 2021 pada hemat kami adalah peranti yang kelihatan amat menarik perhatian kerana keunikan pada skrinnya. Kami memahami mengapa rekaan yang di luar dari kotak ini berani dilakukan Oppo memandangkan ia memang mempunyai beberapa situasi penggunaan menarik seperti menonton video atau menaip kertas kerja.

Tetapi pada waktu yang sama beberapa kelemahan yang ketara dapat dilihat contohnya ialah skrin yang tidak berapa terang, berkedut dan proses menggulung yang agak perlahan. Pada peranti boleh-lipat proses membuka skrin hanya sekitar 1 saat. Berapa ramai pengguna di luar sana boleh menanti tiga saat untuk skrin berubah saiz? Tanpa lapisan kaca, ketahanan jangka pandang skrin juga sedikit meragukan.

Jadi oleh sebab itulah Oppo mengesahkan pada waktu ini X 2021 akan kekal sebagai prototaip sahaja. Ini ialah langkah yang kami rasakan bijak kerana kekurangan rekaan ini masih melangkaui kelebihan.


© 2024 Amanz Media Sdn Bhd