Carian
OnePlus Tidak Akan Menghantar OnePlus 9 Untuk Ujian DXOMark
March 15, 2021 Fahim Zahar

Siri OnePlus 9 akan dilancarkan pada 23 Mac ini, di mana menurut ura-ura akan ada tiga peranti merangkumi OnePlus 9R atau Lite, OnePlus 9 dan OnePlus 9 Pro. OnePlus 9 buat pertama kalinya menggunakan sistem kamera yang bekerjasama dengan jenama kamera lain – iaitu Hasselblad. Setakat yang mereka kongsi, hasil gambar OnePlus 9 kelihatan hebat berbanding peranti mereka sebelum ini.

Antara keunikan kamera OnePlus adalah mereka menggunakan sensor Sony IMX766 50MP yang sama dengan Oppo Reno5 Pro+. Selain itu, salah satu lensa pada peranti ini juga adalah jenis freeform di mana boleh mengurangkan kesan herotan agar imej sudut ultra lebar kelihatan lebih kemas. Kebiasaannya, kehebatan kamera sesebuah peranti akan diuji oleh DXOMark iaitu syarikat yang membuat ujian tanda aras untuk pelbagai lensa kamera dan kamera. OnePlus tidak asing lagi dengan bekerjasama dengan syarikat ini. Tetapi untuk OnePlus 9 menurut Pete Lau, ia tidak akan dihantar ke DXOMark untuk diuji.

Pete Lau tidak kongsi sebarang sebab kenapa mereka tidak ingin hantar ke pihak DXO, sedangkan baru sahaja peranti lepas mereka OnePlus 8T diuji oleh mereka. Ada spekulasi menyatakan DXOMark bersifat tidak adil. Apa-apa pun, adakah anda setuju dengan keputusan OnePlus? Atau adakah OnePlus menyembunyikan sesuatu agar pihak DXOMark tidak bongkar rahsia di sebalik kamera OnePlus 9? Sama-sama kita nantikan.

Komen