Cari @ Amanz

Carl Pei iaitu pengasas bersama OnePlus, atau individu yang menjadi “muka” OnePlus akhirnya selepas bertahun berkhidmat meninggalkan syarikat ini dan menubuhkan Nothing. Antara spekulasi kenapa beliau berhijrah adalah jenama OnePlus yang telah hilang identitinya. Lihat sahaja peranti OnePlus Nord yang mirip peranti Realme, Nord N10 yang mirip Oppo siri A, kemaskini yang kerap membawa masalah serta di Malaysia sendiri ada masalah menuntut jaminan peranti.

CEO OnePlus iaitu Pete Lau turut terlibat dengan perancangan produk Oppo dan Realme, di mana ini seakan ketiga-tiga jenama mengaku dan menyedari mereka adalah satu – iaitu di bawah naungan BBK Electronics. Contohnya aplikasi HeyMelody yang dilancarkan OnePlus untuk menggunakan TWS Oppo ke peranti bukan Oppo. Terkini, [peranti OnePlus di China dilihat akan kembali menjalankan sistem operasi Oppo – iaitu Color OS. Kali terakhir peranti OnePlus menjalankan sistem operasi Oppo adalah pada OnePlus One, iaitu pada tahun 2014. 7 tahun selepas itu, Hydrogen OS nampaknya bertemu hayat.

OnePlus 9 dijangka akan menjadi siri pertama OnePlus di China yang akan menjalankan sistem operasi ini. Buat masa ini, pengguna global masih akan menjalankan Oxygen OS dan tiada sebarang kepastian jika pengguna global juga akan beralih ke Color OS. Hydrogen OS dan Oxygen OS adalah 90% hampir sama, beza paling ketara adalah Hydrogen mempunyai banyak aplikasi gendut China dan perkhidmatan OnePlus di China dan tidak mempunyai GMS. Itu pun hanya pasang APK Play Store, Hydrogen OS akan mengaktifkan GMS.

Bukan itu sahaja, peranti OnePlus 9 di China juga akan dijual di kedai-kedai Oppo. Ini adalah pertama kali OnePlus melakukan hal sedemikian. Sedangkan sebelum ini peranti OnePlus dijual di laman web rasmi, kedai tersendiri dan pengedar rasmi sahaja. Peminat di China turut meluahkan perasaan dan berasa geram atas keputusan OnePlus ini (Forum OnePlus China: 1, 2 dan 3)

Adakah kerana peminat OnePlus sudah semakin berkurangan sehinggakan Pete Lau mengambil langkah untuk menarik perhatian peminat Oppo pula? Apa kata anda?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd