Cari @ Amanz

TCL tidak lagi asing sebagai pengeluar peranti yang cukup berinovasi. Seperti Samsung, TCL juga adalah syarikat yang menghasilkan skrin tersendiri dan ada sahaja beberapa pengeluar peranti lain menggunakan skrin daripada TCL. Antara inovasi yang mereka bawakan adalah engsel DragonHinge, peranti skrin boleh-lipat dengan rekaan siku-sika atau dengan engsel kupu-kupu. Antara yang terkini adalah konsep skrin tri-lipat dan boleh-tarik keluar dan juga konsep boleh gulung.

Menggabungkan semua konsep ini menjadi satu, TCL memperlihatkan konsep peranti dengan skrin yang boleh-gulung dan juga yang boleh dilipat – TCL Fold ‘n Roll.

Ia adalah peranti dengan skrin yang dilipat keluar seperti Huawei Mate X, menjadikan skrin peranti ini akan sentiasa terdedah. Mod pertama adalah mod telefon pintar dengan skrin 6.87-inci, yang mana apabila dibuka ia akan menjadi phablet dengan skrin 8.87-inci. Melalui satu butang, teknologi skrin boleh-gulung mula diperlihatkan dengan mengubah peranti ini menjadi tablet dengan skrin 10-inci. Engsel yang digunakan adalah engsel kupu-kupu yang sama diperlihatkan sebelum ini.

Seperti biasa, ini hanyalah konsep sahaja. TCL mungkin akan hadir dengan peranti tersendiri dengan teknologi ini atau boleh juga dilesenkan kepada pengeluar peranti lain. Konsep boleh gulung juga belum wujud, skrin boleh-lipat pula baru dengan perlahan berkembang. Gabungan kedua-duanya? Pasti lama lagi untuk kita lihat peranti ini menjadi realiti.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd