Cari @ Amanz

Untuk misi ke bulan mereka yang pertama sejak 1972 NASA telah memilih SpaceX sebagai pemenang kontrak bernilai $2.9 bilion (~RM 11.9 bilion) menghasilkan roket yang akan digunakan. SpaceX berjaya mengalahkan Blue Origin dan Dynetics yang kesemuanya dipilih untuk memperlihatkan rekaan konsep roket pada bulan Mei tahun lalu.

Kapal angkasa Starship akan digunakan untuk Misi Artemis. Ini ialah roket yang sudah beberapa kali meletup dalam ujian yang dilakukan sejak lima bulan yang lalu dan juga ingin digunakan oleh SpaceX untuk misi mereka ke Marikh kelak. Selain ke angkasa lepas, Starship turut boleh berfungsi sebagai pengangkut penumpang ultra pantas dengan tentera turut A.S berminat menggunakannya untuk penghantaran kargo.

Modul misi bulan SpaceX, Dynetics dan Blue Origin

Kontrak bernilai $2.9 bilion kelihatan seperti agak besar tetapi sebenarnya jauh lebih murah berbanding $23 bilion mengikut nilai mata wang semasa yang dibelanjakan oleh NASA untuk menjayakan misi Apollo pada dekad 60an yang lalu. SpaceX dipercayai dipilih kerana sistem mereka mempunyai kos yang paling rendah berbanding dua pesaing.

Sekiranya semua berjalan lancar, pendaratan ke permukaan bulan akan dilakukan seawal 2024 dengan perancangan membina markas kekal pertama manusia di sana sebagai platform pelancaran ke planet-planet lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd