Tiga tahun yang lalu SpaceX berkongsi video acah yang menunjukkan sistem roket yang mampu membawa penumpang ke mana-mana sahaja destinasi di bumi dalam masa yang pantas. Sistem roket bumi ke bumi ini akan menggunakan Starship yang turut boleh digunakan untuk ke bulan dan seterusnya ke Marikh. Elon Musk pagi ini menghantar ciapan yang mengatakan ujian pertama roket bumi ke bumi akan dilakukan dalam masa 2-3 tahun.
There will be many test flights before commercial passengers are carried. First Earth to Earth test flights might be in 2 or 3 years.
— Elon Musk (@elonmusk) June 16, 2020
Roket ini tambah beliau lagi akan dilancarkan dari pad pelancaran yang terapung di permukaan laut di luar kawasan bandaraya utama. Dengan platform pelancaran terapung ini, pelancaran dan pendaratan roket dapat dilakukan dengan selamat tanpa perlu diletakkan terlalu jauh dari bandaraya utama. Roket Starship bumi ke bumi ini dapat memendekkan perjalanan dari Shanghai ke New York dari 15 jam ke hanya 39 minit. SpaceX menjanjikan perjalan ke mana-mana destinasi dunia dapat dilakukan dalam masa kurang sejam.
Impian SpaceX untuk menggunakan Starship sebagai sistem pengangkutan hipersonik menerima pelbagai kritikan kerana akan meningkatkan pencemaran bunyi dan pada waktu yang sama diramalkan terlalu mahal untuk dikomersialkan. Oleh sebab itu pesawat hipersonik seperti Skylon dan supersonik senyap QueSST sedang dibangunkan juga bagi memenuhikeperluan penumpang yang tidak mahu menghabiskan masa di dalam kapal terbang yang perlahan.