Cari @ Amanz

Mi MIX Fold adalah peranti dengan skrin boleh-lipat pertama Xiaomi. Ia menggunakan rekaan seakan Galaxy Z Fold2, hadir dengan lensa cecair pertama dunia dan juga dijual pada harga agak mampu milik untuk kategorinya. Jika dibandingkan dengan Samsung, Motorola, Huawei semuanya jual pada harga model asas yang mencapai lebih RM8000. Xiaomi menjual pada harga sekitar RM6300 sahaja.

Xiaomi memaklumkan yang pada hari jualan, Mi MIX Fold telah berjaya dijual hampir 30,000 unit dalam masa seminit. Xiaomi juga berjaya mengutip RMB400 juta, iaitu sekitar RM250 juta untuk jualan peranti ini. Ini membuktikan penawaran model asas untuk peranti dengan skrin boleh-lipat yang “murah” berbanding pesaing adalah yang orang ramai inginkan. Tahun lepas Royole FlexPai 2 5G yang dijual pada harga RM6000, menerima tempahan sebanyak 150,000 unit.

Mungkin jualan Xiaomi tidak mencapai sehebat Royole, tetapi tahun ini pengeluar peranti ada masalah kekurangan cip dan komponen. Jadi Xiaomi mungkin terpaksa mengehadkan unit yang boleh ditempah.

Sebagai peringatan, peranti ini adalah jenis yang lipat ke dalam dengan skrin 8.01-inci, HDR10+, Dolby Vision dan skrin luar 6.52-inci 90Hz. Ia dijana dengan cip Snapdragon 888, memori mencapai 16GB RAM, storan sehingga 512GB, dan kamera 108MP. Jika peranti mudah dibeli di Malaysia, adakah anda akan cuba membelinya?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd