Cari @ Amanz

MediaTek adalah syarikat yang menghasilkan cip pemprosesan untuk peranti mudah alih. Qualcomm, Samsung dan Apple adalah antara pesaing mereka, yang mana kini semua mempunyai masalah yang sama – iaitu kekurangan bekalan cip. Tetapi untuk MediaTek, ini bukan satu halangan.

Baru-baru ini, MediaTek dilaporkan menjadi yang pertama menempah cip 4nm dan 3nm sebelum Apple dan Qualcomm. Ini menjadikan MediaTek kelak mungkin akan menjadi pembekal cip yang jauh lebih maju daripada 5nm, dengan 5G terbina sehinggalah cip untuk peranti mercu. Antara pelanggan MediaTek adalah Oppo, Vivo dan Xiaomi yang mana di China sudah pun banyak menjual peranti berkuasa mampu milik dengan cip MediaTek. Cip yang menjadi trend sekarang adalah Dimensity 1100 dan 1200 dengan teknologi 6nm. Cip 5nm mereka Dimensity 2000 hanya akan dilancarkan pada 2022. Jadi untuk cip 4nm dan 3nm mungkin akan tiba bermula 2024 ke atas?

TSMC dijangka akan menaikkan harga cip pemprosesan sehingga 25 peratus, bermula dengan cip 4nm dan 3nm kelak. Dengan kenaikan harga ini juga, pengeluar peranti yang ingin menempah turut tidak akan menerima diskaun kerana diskaun harga pukal sudah dihentikan. Menurut sumber, harga kenaikan ini mungkin mencecah $80 iaitu sekitar RM330. Dengan kenaikan harga ini, harga jualan peranti kelak turut akan meningkat.

Selain daripada permintaan cip yang semakin tinggi menjadi faktor kepada kenaikan harga, proses pembuatan yang sukar juga menjadi sebab penting. Cip 4nm dan 3nm jauh lebih berkuasa, efisien dan lebih sukar untuk dibuat berbanding cip 5nm atau cip lain dengan 5G terbina.

Apa-apa pun, peranti dengan cip 4nm dan 3nm masih jauh lagi. Mungkin 2023? Masalah bekalan cip juga dikatakan akan berlanjutan sehingga 2023, jadi mungkin lebih lewat lagi untuk kita melihat peranti yang dijana cip ini menjadi realiti. Mungkin masa inilah untuk mereka yang inginkan peranti berkuasa kumpul duit. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd