Apple Melabur RM185 Juta Kepada Corning Gorilla Glass – Mungkin Untuk Kaca Boleh-Lipat

Diterbitkan pada Mei 11, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Corning Gorilla Glass adalah syarikat yang cukup terkenal dalam penawaran kaca perlindungan untuk pelbagai telefon pintar dan juga tablet. Hampir semua pengeluar peranti menggunakan Gorilla Glass, yang mana antara yang terkini adalah Victus yang digunakan pada peranti Samsung atau iterasi Apple Ceramic Shield untuk iPhone 12.

Permintaan kaca daripada Corning juga mencatatkan jumlah tertinggi pada suku kedua tahun ini dan Corning mungkin akan meningkatkan kos. Jika kos meningkat, harga peranti juga akan meningkat. Terkini, Apple telah melabur sebanyak $45 juta iaitu sekitar RM185 juta kepada Corning untuk pengeluaran kaca perlindungan yang akan digunakan pada peranti-peranti Apple.

Masih tidak pasti lagi peranti apakah yang akan menggunakan kaca baharu ini dan apakah inovasi atau teknologi yang Corning akan tawarkan dengan dana yang telah diterima daripada Apple. Apple dijangka akan hadir dengan peranti skrin boleh-lipat pada tahun 2023. Mungkin mereka akan hadir dengan pesaing kepada kaca buatan Samsung, UTG iaitu kaca ultra nipis. Mungkin Apple dan Corning boleh hadir dengan kaca untuk skrin boleh-lipat yang lebih tahan lasak?

BOE turut masih berusaha untuk menjadi pembekal kepada Apple, namun masih belum berjaya. Tetapi itu tidak menghalang BOE untuk hadir dengan UTG mereka tersendiri. Harga peranti akan datang mungkin akan lebih mahal, bukan sahaja kerana Corning tetapi turut juga kerana permintaan cip yang tinggi. TSMC tidak lagi menawarkan harga diskaun kepada pengeluar, walaupun mereka borong. Jadi simpan duit sekarang jika inginkan peranti yang lebih hebat kelak.

Sama-sama kita nantikan.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami