BOE adalah pengeluar panel skrin yang agak besar, tetapi tidak sebesar Samsung. Mereka menyasarkan boleh menandingi pasaran OLED Samsung menjelang tahun 2024. BOE turut dikatakan menjadi pilihan Apple untuk digunakan pada iPhone, yang mana diuji sejak tahun 2019 lagi. Bukan itu sahaja, BOE turut hadir dengan pelbagai inovasi dalam teknologi skrin. Antaranya adalah pengimbas 3D di bawah skrin atau juga cermin kereta yang kegelapannya boleh dilaras.

Terkini, menurut sumber dari ETNews – BOE dikatakan akan hadir dengan 20 juta skrin boleh lipat dengan panel Kaca Ultra Nipis (KUN) atau gelaran yang Samsung berikan adalah UTG (Ultra Thin Glass). BOE sudah pun ada pasukan khusus yang memfokuskan terhadap pengeluaran panel skrin ini. Mereka dikatakan sudah bersedia untuk mempromosikan serta menjadi pembekal kepada jenama-jenama besar telefon pintar.
UTG mula diperlihatkan pada Samsung Galaxy Z Flip, yang mana adalah peranti boleh lipat jenis clamshell. Ia menggunakan panel OLED boleh lengkung dan mempunyai kaca ultra nipis UTG untuk mengukuhkan lagi binaan skrin tersebut. Kemudian untuk perlindungan tambahan, pelindung skrin lembut seperti Galaxy Z Fold pertama digunakan. UTG masih lagi kaca dan ia boleh dilipat kerana binaannya yang sangat nipis sehinggakan apabila dibengkokkan ia tidak akan pecah.

Walau bagaimanapun, jenama apakah dan untuk peranti apakah yang akan menggunakan skrin UTG dari BOE ini masih tidak diketahui. Huawei, Samsung, Xiaomi dan Apple adalah antara pelanggan BOE. Mungkin kita akan ketahui lebih lanjut di masa akan datang.